Tuesday, December 29, 2009

Menanti Doa Bersambut

Majalah ‘Ayu’ saya selak satu persatu, keluarannya bertarikh Jun 1996. Bila dikira-kira, saya masih darjah dua lagi waktu itu. Masya-Allah..dah begitu lama majalah ni, Alhamdulillah masih tersimpan lagi di rumah..pengisiannya sangat bermakna, bila dilihat, ketua pengarang kumpulan majalah ini rupanya adalah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, seorang penulis dakwah yang saya kagumi. Memang dah lama saya tak nampak majalah ni, mungkin sudah tidak diterbitkan lagi.

Sekarang, sudah banyak majalah-majalah yang berkonsepkan Islam di pasaran.. ada majalah Nur, Aniqah, Anis, Al-Islam, i-Islam, Solusi..tapi tak kurang juga hebatnya dengan lambakan majalah hiburan di pasaran yang mengagung-agungkan artis, dan tak lekang dengan gosip-gosip panas. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk memilih yang mana terbaik untuk diri masing-masing. Jika lapar, perut akan berbunyi..tapi jika yang laparnya adalah hati? Bagaimana ya? Jika hati ada suara, pasti ia akan menjerit minta dikenyangkan..renung-renungkan & sama-sama kita tarbiah our rohani : )
Ada monolog yang ingin saya kongsikan bersama kalian..mungkin ia nukilan penulis dalam ruangan majalah ni, Nurul Iman. Jom kita bangunkan hati yang tidur dan aktifkan iman yang lesu.

Menanti Doa Bersambut

Mengapa permintaanku masih belum diperkenankanNya?
Doa bagaikan tidak bersambut…rintihan dan munajat bagai tidak kesampaian.

Kerana Dia masih mahu terus mendengar rayuan dan rintihanmu.

Tapi sampai bila?
Sampai engkau terima, bahawa apa yang diinginkan oleh Tuhan itulah yang terbaik untukmu.

Tapi bukankah aku layak untuk berdoa, dan bukankah Tuhan suka hamba-hambaNya berdoa?
Ya, tapi berdoa dengan hati yang merendah, yang tahu diri maha hina dan lemah. Kerana yang kuat, yang mampu hanya Dia. Maka padanya kita meminta…bukan doa seorang tuan. Ibarat seorang pesuruh istana, tanpa adab sopan, menerjah ke ruang istana, meminta-minta pada Sultan, mungkinkah akan diperkenan?

Tapi aku amat memerlukan, kerana itu aku meminta-minta, merayu-rayu..
Berdoalah, merayu-rayulah terus, merintih dan adukanlah segalanya yang menjadi kesulitan hidupmu pada Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Tahu. Jadilah seperti pesakit yang mendedahkan segala derita dan penyakitnya kepada doctor. Urusan ubat, bukan pesakit yang menentukan, tetapi doctor.

Jadi?
Yang kita rasa perlu untuk kita, belum tentu itu yang Tuhan mahu untuk kita. Boleh jadi, apa yang kita tidak sukai itulah yang terbaik buat kita. Dan boleh jadi pula apa yang kita sukai itulah yang tidak baik bagi kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih, sedangkan kita maha lemah lagi jahil. Terimalah ketentuan Tuhan itu sebagai sahutan dari munajat dan doamu..

-Cahayahati88-

Thursday, December 17, 2009

Holiday at Home

Cuti semester ni kena siapkan thesis, walaupun projek yang saya buat still in progress tapi kena juga siapkan dua chapter, chapter 1 adalah introduction manakala chapter2 adalah literature review. Buat sikit-sikit, lama-lama siaplah tu..huhu (pujuk hati sendiri)

Jika ada masa, saya akan baca buku-buku yang saya beli sebelum balik kampung hari tu, salah satu buku yang saya beli bertajuk “Untukmu Wanita” ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman..memang tak boleh masuk kedai buku, mesti ada je yang nak beli..at least satu pun jadi. =)



Banyak cerita yang boleh tengok time cuti ni..tapi..
Ada yang bagus, ada yang tak..lebih-lebih lagi rancangan realiti yang makin popular sekarang, ‘Sehati Berdansa’..ape dah jadi??????

Saya bukanlah ustazah, bukan pelajar sekolah agama, bukan student Akademi Pengajian Islam..sebab dulu ada beberapa kawan yang bertanya… :)..Saya adalah saya..seorang manusia biasa yang juga ada khilafnya..seorang yang dikurniakan nikmat iman, islam, akal dan ilmu untuk digunakan ke arah jalan yang diredhaiNya..sama dengan kalian..semoga Allah sentiasa membimbing kita…amin..

Melalui pembacaan dan bila difikirkan semula, ada sesuatu yang ingin saya katakan..sebab saya kecewa dengan rancangan –rancangan yang ntah ape-ape..!!

Rancangan itu mengaburi mata ramai orang, mengaburi mata anak-anak muda sekarang dan lebih teruk lagi kanak-kanak yang masih dibangku sekolah...jika yang menonton cetek pengetahuan agamanya, rancangan itu dilihat ok je..mereka kumpul dana untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan..lagipun yang masuk rancangan ni kan pasangan yang sudah berkahwin..mungkin ini antara tanggapan mereka-mereka yang menyokong..astaghfirullah, sama-sama kita memohon keampunanNya.

Tertipunya mereka yang menyokong, membazirnya mereka yang mengundi, dayusnya suami, hilangnya maruah isteri, di dunia dirai, di akhirat penyesalan tak henti.. Jika akar umbi telah rosak, sukar untuk pucuk tumbuh sempurna. Bagaimana anak-anak akan terdidik jiwanya dengan peribadi seorang muslim jika ibu bapa berkelakuan sebegitu?

Mengapa saya katakan suami itu dayus? Kerana dia berasa bangga apabila kecantikan isterinya dilihat dan dipertontonkan di khalayak ramai, dilihat oleh jutaan manusia yang bukan mahram. Kerana dia tidak menjaga kehormatan isterinya dengan membenarkan isterinya tidak menutup aurat dengan sempurna. Dia adalah lelaki yang dayus kerana perbuatan yang dilakukan oleh isterinya sememangnya jelas di depan matanya!

Sabda Nabi :

Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Bagi mereka yang sama fitrah kejadiannya dengan saya, berpeganglah pada ayat ini iaitu surah An-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat 32. Bukalah tafsir di mana tiada keraguan akan kebenaranNya…

"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)

"Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)

Elakkan dari melakukan kesalahan seperti gambar di bawah..ia perlukan usaha dan latihan, doa serta istiqamah..insyaAllah ALLAH akan membantu dan mempermudahkan urusan kita..


Dalam kelembutanmu Suburkan ketegasan Berlandaskan ilmu Keredhaan Ilahi..

-Cahayahati88-

Positive About the Journey



Tika wajah penat memikirkan dunia..
Maka berwudhuklah..
Tika tangan letih menggapai cita-cita..
Maka serulah Allahuakbar..!
Tika bahu tiada kuasa memikul amanah..
Maka bersujudlah..
Ikhlaskan semuanya moga diberkati Allah..
Agar kita bisa teguh disaat yang lain runtuh..
Agar kita bisa tegar disaat yang lain terdampar..

-Cahayahati88-

Wednesday, November 25, 2009

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang..

Diari kehidupan ini akan menjadi lengkap apabila putaran hidup ini mencapai kesempurnaannya. Ia seolah-olah sebuah jarum penunjuk yang berpusing 360 darjah, dan akhirnya akan kembali ke titik asalnya semula. Begitulah dengan kehidupan manusia, kehidupan saya, kehidupan kamu…kita datang dari Allah yang telah menciptakan setiap yang bernyawa dan akhirnya kepada Allah jua kita akan kembali.. satu tahun lagi saya semakin dekat untuk bertemu Ilahi.. semakin muda untuk ke saat itu..saat di mana setiap amalan anak Adam akan terputus..pintu taubatnya telah tertutup..yang tinggal hanyalah ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah serta doa anak-anak yang soleh dan solehah..saat di mana kita akan berpisah dengan dunia untuk menuju akhirat yang abadi..

Kini semakin banyak perkara baru yang dipelajari..perkara yang tidak pernah dialami..sungguh, masalah atau kesusahan yang Allah berikan pasti disertakannya dengan kebaikan. Setiap insan mempunyai dugaan mereka yang tersendiri, yang telah Allah tetapkan..kerana dengan dugaan tersebutlah kita dapat merasai kasih sayang Allah..Bagi saya ia terpulang kepada hati individu itu sendiri tentang bagaimana ia menerima kesusahan dan masalah tersebut. Jika hatinya mengeluh, membentak, menyalahkan keadaan, atau lebih teruk lagi apabila ia menyalahkan Allah dan berputus asa dari rahmat Allah, dia tidak akan dapat melihat kebaikan yang disertakan bersama kesusahan tersebut.

Dalam surah al-Insyirah, ayat 5-6 , Allah telah berfirman :

“ Maka, sesungguhnya beserta kesukaran itu ada kemudahan. Sesungguhnya beserta kesukaran itu ada kemudahan..”

Dua kali Allah mengulang ayat ini, kenapa? Untuk meyakinkan hamba-hambaNya bahawa setiap kesusahan itu disertakanNya dengan kemudahan. Jadi tiada alasan untuk kita berputus asa.

Allahlah yang menciptakan hati, dan semestinya Allah tahu bagaimana untuk menguatkan hati kita. Yakinlah dan jangan jemu untuk meminta kepadaNya. Allah Maha Pemberi, Allah Maha Penyayang..kadangkala pertolongan itu datang dari arah yang kita tidak sangka..kadangkala ia datang dari orang-orang tertentu..kadangkala ia juga datang daripada pembacaaan yang tidak disengajakan..kadangkala juga ia datang daripada Al-quran itu sendiri, melalui maksud kalam-kalam Allah yang dibaca untuk difahami..

Di kehidupan ini juga,

Setiap insan telah diletakkan di jalan-jalan yang berbeza. Jalan yang berbeza haluannya tapi jalan-jalan itu mempunyai tujuan yang sama. Iaitu kembali untuk bertemu Allah SWT dalam redhaNya.. Jika dia berada di jalan yang betul dengan pandu arah yang tepat, maka bersyukurlah dan bantulah mereka yang lain..mereka tidak minta untuk berada dalam kegelapan, mungkin mereka jadi begitu kerana mereka tidak merasai pengalaman yang kita rasai..kerana itulah hidup ini perlu saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Lihatlah ke langit, di situ pasti ada kedamaian. Walaupun seringkali ada hujan dan petir, tapi di situ juga akan hadirnya pelangi. Awan yang mendung akan berarak untuk digantikan oleh senyuman sang suria.. Begitulah juga dengan kehidupan ini, ada sedih, ada kecewa, ada suram, ada riang, ada ketawa, ada gembira. Kadangkala juga, insan merasakan kehidupan ini seperti tiada apa-apa rasa, terasa suatu saat dirinya kosong, seperti ada sesuatu yang hilang. Tatkala itu, lihatlah ke langit di situ kan ada kedamaian, kita bernaung di bawah langit Ilahi.. ke mana pun kita melangkah kita masih di bawah langit Ilahi..untuk insan memikirkan dan menghayati keagunganNya.. dan tatkala diri ini jatuh, pandanglah ke langit, kita masih ada Tuhan..yakni Allah untuk kita minta pertolongan..

Akhir kata,

Masalah itu semakin mematangkan diri dalam membuat keputusan. Masalah itu semakin memudahkan kita mencari identiti dalam kehidupan..

Sama-sama kita mencari redhaNya..

-Cahayahati88-

Monday, November 9, 2009

Ya Hayyu..Ya Qayyum..Doa Untuk Palestin


"Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Turunkan para Malaikatmu untuk membantu para Mujahidin di Gaza dan Seluruh Palestina,

Sebagaimana telah kau turunkan ribuan Malaikat di Badar, di Khandaq dan di Tabuk.

Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Ringankanlah penderitaan saudara-saudara kami di Gaza,

Kuatkanlah terus generasi baru dari antara anak-anak mereka,

Menjadi generasi yang akan membawa kami pada kejayaan Islam lewat Jihad fii Sabiilillah.

Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Janganlah Kau biarkan kami termasuk orang-orang yang berpangku tangan melihat kezaliman atas saudara-saudara kami.

Daftarkan nama-nama kami dalam daftar panjang para Mujahidin Mukhlisin dan para Syuhada yang menjemput Syurga-Mu.

Jangan Kau biarkan dunia yang hina ini melingkupi kehidupan kami sampai lupa pada Negeri Akhirat-Mu.

Ya Hayyu Ya Qayyum, Wahai Yang Maha Hidup Yang Maha Memelihara,

Anugerahkan kepada kami kesabaran memegang teguh agama-Mu dan wafatkan kami dalam keadaan Muslim."

-Cahayahati88-

Saturday, October 31, 2009

Seronok lihat telatah adik : )

Seorang anak kecil katanya sangat jujur. Seorang anak kecil juga sangat peka, mudah menyerap segala sesuatu dengan cepat. Seorang anak kecil juga telatahnya sangat mencuit hati walaupun kadangkala menguji kesabaran. Dunia anak kecil penuh dengan riang ketawa. Bebas dari masalah dan tanggungjawab. Seorang anak kecil umpama kain putih yang belum dicorakkan. Anak kecil bersih daripada dosa..mungkin saja mereka lebih mulia daripada kita…


Akhi kecil saya yang comel,tengok jarinya menunjukkan yang dia sekarang lima tahun..huhu

Balik cuti ni, saya sangat seronok melihat telatah adik..

“Kak Ngah tahu x nak tunggang kete ayah?” adik saya Muhammad Aiman bertanya sewaktu dalam perjalanan pulang. Serta merta berderai kami ketawa.. muka adik pelik melihat kami yang sangat geli hati.

“Abang, tunggang untuk haiwan, kalau kereta ‘pandu’ ” kata ayah.

“Ooo…tunggang kuda!” adik saya menyatakan kefahamannya.

Balik ni juga, adik saya sudah pandai baca ikrar. Dia pun mengangkat tangannya ke paras bahu, seperti gaya orang yang akan berikrar. Tak sabar rasanya nak tahu ikrar apa..huhu

“Up, .. bismillahirabba..wabil islamidina..” adik saya baca sehingga habis beserta pengertiannnya sekali.

Seronok tengok adik baca dengan pelatnya walaupun ada beberapa part yang tidak lancar. Saya sendiri sudah lama tidak membaca ikrar tersebut, ikrar sebagai seorang Islam. Mengakui bahawa Allah itu Tuhan kita, Muhammad itu nabi kita dan Islam itu agama kita.. Hari itu saya belajar dari seorang adik kecil..Alhamdulillah.













Adik saya, Aiman seorang yang lincah dan petah bercakap.

“Abang cayang ayah…!”
“Abang cayang emak…!”
“Abang cayang kak Long, kak Ngah, kak Suria, kak Achik…!” kata Muhammad Aiman.

Itulah yang selalu diucapkannya. Bagaikan tiada rasa jemu. Tetapi mengapa kadangkala ia sukar dilakukan oleh orang dewasa?

Balik hari tu juga, entah apa kesalahan yang telah dilakukan, adik berulang kali meminta maaf daripada mak.

“Mak maafkan abang tak?” kata adik saya berulang kali.. tersenyum kami melihatnya. Aduh adikku, sudahlah dirimu tiada dosa, mudah pula meminta maaf dan mengakui kesalahan.

SEMOGA ADIK-ADIKKU MEMBESAR MENJADI SEORANG YANG BERGUNA KEPADA DIRI, AGAMA DAN MASYARAKAT..kak Ngah sayang kamu semua… ! : )

-Cahayahati88-

Friday, October 30, 2009

Apa Khabar Mata Hati?

Ketika sedang menunggu bas selepas habis kuliah, saya terlihat seorang lelaki yang buta penglihatannya, berjalan berseorangan menggunakan tongkat. Kelihatan seperti dia akan menuju ke library. Sampai di suatu selekoh ada lori yang mahu lalu…bimbang juga kalau ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, mujur lelaki itu berhenti. Seakan dia tahu akan kehadiran lori tadi, tangannya menyentuh objek-objek yang berada dekat dengannya..tangan digunakan untuk merasa, telinga digunakan untuk mendengar..

Benarlah firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 46 :

“Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati).”

Walaupun matanya buta, dia masih mampu untuk berjalan berseorangan, dia masih ada semangat untuk belajar kerana hatinya celik akan kepentingan ilmu. Melihatkannya, ada satu rasa menyelinap ke dalam jiwa….

Kalau mata hati kita buta, kaki kita masih boleh berjalan tetapi hakikatnya kita lumpuh!! Orang yang celik mata hatinya, sedar tentang dari mana dia datang, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Dia mendapat matlamat yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dalam fikiran, jiwa dan emosinya ada perjuangan untuk memperbaiki diri. Jika kita sedar, dalam hidup ini akan sentiasa berlaku perubahan. Jika tidak menaik, kita pasti akan menurun. Usaha memperbaiki diri adalah suatu perjalanan, ia bukan suatu suratan.

Adakah kita mempunyai hati yang hidup? Apa khabar hati kita?

Dalam surah Al-Anfal, ayat 2 :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.”

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ketika mereka ditimpa waswas daripada syaitan, maka mereka akan segera mengingati Allah dan ketika itu juga mereka menyedari kesilapan mereka.” (Al-A’raaf : 201)

Pandangan mata hati yang hidup mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang celik mata hati bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah. Hamba Allah tak kan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menyatakan bahawa tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Mari kita berusaha celikkan mata hati… : )

Kerana Nabi kita telah bersabda :

“Allah tidak menilai rupa lahir kamu, tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.” (Riwayat Muslim)

-Cahayahati88-

Saturday, October 24, 2009

Ahli Politik yang Ikhlas

Selepas Nabi Muhammad dan empat orang sahabat karib baginda, iaitu Abu Bakar, Umar bin Khatab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abu Talib meninggal dunia, Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang mula-mula berusaha mengamalkan dasar-dasar pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda.

Walaupun beliau lahir sebagai putera kepada seorang raja yang kaya raya, sebaik-baik beliau menjadi pemimpin, beliau dan isterinya menyerahkan semua hartanya kepada perbendaharaan negara dan hidup sebagai seorang yang miskin.

Beliau juga mengarahkan supaya semua kaum keluarganya yang memiliki harta kekayaan yang diperoleh dengan cara-cara yang salah supaya menyerahkan harta-harta itu ke perbendaharaan negara. Akibatnya ramai yang membenci tindakannya itu dan akhirnya beliau dibunuh.

Umar bin Abdul Aziz adalah cicit kepada Umar bin Khatab. Semasa pertabalan beliau sebagai ketua negara menggantikan ayahnya, ramailah rakyat jelata berkunjung mengucapkan tahniah kepada beliau. Antara yang berkunjung adalah para utusan daripada seorang tokoh yang bernama Hijaj.

Seorang kanak-kanak yang berusia belasan tahun tampil menjadi jurucakap rombongan utusan Hijaj itu. Kanak-kanak itu cuba memulakan ucapannya tetapi ditahan Umar bin Abdul Aziz.

“Saudara duduk. Berikan peluang kepada orang yang lebih tua bercakap dahulu,” kata Umar tegas.

Sebelum duduk kanak-kanak itu sempat berkata, “Tuan, Tuhan menguatkan tuan dengan kelembutan hati dan lidah. Apabila Tuhan menjadikan lidah untuk bercakap dan hati bagi memelihara diri, maka saya berhak bercakap.”

Kemudian, dia meneruskan lagi, “Dan apabila yang dipersoalkan adalah usia, sudah tentu ada orang lain yang lebih layak menggantikan tuan sebagai pemimpin,” tegur kanak-kanak itu kepada Umar bin Abdul Aziz.
Umar terkejut mendengar kata kanak-kanak itu. Kata-katanya menyentuh jiwa Umar yang dididik dengan kerendahan diri dan kemuliaan. Lalu Umar membalas dengan gaya bersyair:

“Belajarlah
Sebab manusia itu tidak dilahirkan pandai,
Dan tidak sama orang berilmu dengan orang yang bodoh,
Seorang pembesar negara,
Apabila dia tidak berilmu,
Dia kecil
Di mata rakyatnya.”

Melalui kisah ini, kita dapat lihat bagaimana seorang yang masih kanak-kanak berani menegur seorang pembesar negara, dia yakin dengan apa yang diyakininya dan berani mengatakan hakikat kebenaran. Kanak-kanak yang sebeginilah yang bakal menjadi seorang remaja muslim dan pejuang agama yang kuat jati dirinya.

Melalui kisah ini juga kita dapat lihat kerendahan hati seorang pembesar negara. Seorang ahli politik yang mentadbir dengan ikhlas, akan dapat menerima suatu teguran dengan hati yang lapang tanpa sifat kesombongan. Kedudukan dan jawatan adalah suatu amanah bukan suatu anugerah. Politik dilihat sebagai suatu peluang untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Alangkah makmur dan berkatnya sesebuah negara jika ahli-ahli politiknya ikhlas dan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat…

-Cahayahati88-

Friday, October 16, 2009

Final Exam


Final exam is just around the corner. Semakin hampir dengan final, semakin banyak pula assignment yang perlu disiapkan. Mulalah kerisauan dan kebimbangan datang bermain dalam diri.. Kadangkala merasakan masa tak cukup, seperti banyak lagi yang perlu diulangkaji dan difahami. Tapi itulah lumrah menjadi seorang pelajar, ujian demi ujian , peperiksaan demi peperiksaan silih berganti..

Teringat saya pada kata-kata ayahanda pengetua kolej kami, juga bekas pensyarah saya semasa di asasi sains dahulu. Ayahanda seorang yang ‘mesra rakyat’..pagi tadi beliau melambai kami yang sedang menunggu bas di hadapan kolej. Setiap butir bicaranya berisi nasihat dan pandangan yang berguna. Saya masih ingat lagi pada kata-kata ayahanda, lebih kurang begini, “Ujian yang sebenarnya bagi setiap mukmin adalah ujian menghadapi saat kematian.” Terima kasih ayahanda kerana mengingatkan.

Kita sibuk mempersiapkan diri dengan final exam yang kita tahu tarikhnya, dan seharusnya kita lebih lagi mempersiapkan diri untuk menghadapi ‘final exam’ yang kita tidak tahu bila ia akan tiba. Sekiranya berlaku emergency, mudah-mudahan kita telah bersedia untuk ‘final exam’ itu.

Pernahkah kita bayangkan bagaimana sakitnya sakaratulmaut? Kesakitannya adalah kesakitan yang luar biasa melebihi kesakitan seorang ibu ketika melahirkan, melebihi kesakitan di tetak 300 mata pedang yang berkilau tajam. Saat itu diri akan didatangi malaikat maut samaada dengan berwajah indah atau bengis. Pada saat itu juga, diri akan didatangi oleh segerombolan syaitan yang tujuannya hanya satu, untuk menukar akidah kita! Nauzubillah..sama-sama kita berlindung dengan Allah daripada ujian yang hebat itu.

Imam Syafie pernah berkata:

“Sesiapa yang mahukan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali, maka hendaklah juga dengan ilmu.”

Rasulullah pernah bersabda:

“Sesiapa yang merintis jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan untuk ke syurga.”

Dalam Al-quran pula, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“….dan Allah akan meninggikan orang yang beriman daripada kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat..” (Al-Mujadilah:11)

Subhanallah..sayangnya Allah pada kita semua. Allah telah memberikan kita motivasi melalui Al-quran untuk kita meraih ilmu sebanyak yang boleh. Dengan meraih ilmu, kita akan menjadi orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan ditinggikan Allah beberapa darjat.

Jadi, jangan tension-tension..tenangkan fikiran dan jadikan ayat itu sebagai motivasi untuk kita belajar dengan lebih rajin dan focus tanpa mengeluh dan berasa putus asa.. dan sebagai seorang Islam ada satu perkara yang perlu kita ingat, ada ‘final exam’ yang lebih penting sedang menunggu kita. Sama-sama kita mempersiapkan diri…

-Cahayahati88-

Monday, October 12, 2009

Sebuah Pertemuan





Menitis air mata ini keharuan,
Kepada sebuah pertemuan,
Sungguh terasa kasih Ilahi,
Dikurniakan seorang sahabat sejati…
Salam perkenalan yang awak hulurkan,
Rupanya adalah salam persahabatan,
Indah sungguh aturan Tuhan…
Lembaran diari asrama itu,
kita buka helai demi helai,
kita harung suka duka kehidupan,
Kita bina sebuah kejayaan..
Kadangkala ada sendu, kadangkala ada ketawa,
Menitis air mata tatkala mengenangnya semula..
Saat diri perlukan kekuatan ,
Awak hadir berikan keyakinan dan harapan,
Mengusap air mata kesedihan,
Untuk mengukir sebuah senyuman..
Saat diri dalam kesusahan,
Awak hadir berikan bantuan,
Sanggup berkorban demi sebuah persahabatan..
Kini, kita telah terpisah,
Demi mengejar cita-cita dan impian,
Sungguh perpisahan ini menambahkan kerinduan,
Mengeratkan lagi sebuah persahabatan…
Kerana rahmatnya ukhuwah ini bagaikan satu diri,
Seperti kita dapat merasa keadaan yang terjadi,
Sungguh indah ukhuwah ini,
Moga berkekalan ke syurga abadi…

-Cahayahati88-

Saturday, October 10, 2009

Yang Dikatakan Sahabat..


Sukarnya mencari sahabat yang sejati, seperti mencari mutiara dalam timbunan kaca, kilauannya kelihatan seakan-akan sama, namun nilainya berbeza. Sahabat adalah kawan tapi kawan tak semestinya seorang sahabat.

Seorang sahabat mendapat tempat yang khusus dalam hati sahabatnya. Ia tidak terjalin secara tiba-tiba, tetapi memerlukan suatu proses yang panjang. Ia diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur, disakiti, didengar, diabaikan, dibantu, ditolak, namun semua ini bukanlah disengajakan apa lagi untuk menimbulkan perselisihan. Kerana dia faham bahawa sahabatnya bukanlah seorang yang sempurna, begitu juga dengan dirinya. Tetapi mereka sama-sama berusaha untuk menjadikan persahabatan itu sempurna. Saling memahami, memaafkan, menyayangi, menghormati dan menghargai. Ia hanya akan dapat dicapai dengan adanya keikhlasan dan kejujuran..semata-mata mengharapkan keredhaan Ilahi.

Seorang sahabat itu..
Apabila kamu rapatkan persahabatan kamu dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu,
Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya dia akan menerima dengan baik dan menghargainya,
Jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung-hitungkan,
Tetapi jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupinya dan takkan biarkan kamu terus begitu..kerana dia mahu yang terbaik untuk kamu..
Dia akan menjaga rahsia kamu, kerana dia tahu itu maruah kamu..
Jika kamu meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya, kerana dia tidak mahu mengecewakan kamu..

Jika kamu diam, dia akan menyapamu dahulu..kerana dia risau jika ada sesuatu kesusahan atau kesedihan yang menimpamu..dia akan menanyakan kesusahanmu, meringankan dan menghiburkanmu..
Dia akan cuba memahami andai ada perselisihan yang terjadi , dia suka menghulurkan maaf dan memaafkan kesalahan…walaupun itu bukan kesalahannya semata-mata mahu menjaga persahabatan denganmu..

-Cahayahati88-

Tuesday, October 6, 2009

Happy Birthday

Masa yang pergi takkan kembali lagi..Ia akan pergi jauh..jauh dan jauh.. Sedar tak sedar, sudah hampir 21 tahun saya di atas bumi Allah ini, mengharungi liku-liku kehidupan dengan kasih dan sayangNya.. Dari ‘single number’ sekarang sudah menjadi ‘double number’. Angka itu tidak akan membawa apa-apa makna jika ia tidak diisi dengan sebaiknya. Masa muda hanya sekali, “Kita enjoy dulu..!!” hhurm…macam pernah dengar je ayat ni, tapi di mana ya…? Dalam cerita Puteri kat tv3. Dulu masa kecik-kecik, suka sangat bila birthday tiba. Dapat makan kek..ingat lagi kek saya dulu ada jelly berwarna merah berbentuk hati di atasnya., cantik sangat., dapat pula banyak hadiah dari saudara-mara..



Tapi bila usia semakin bertambah, seiring dengan kematangan fikiran meniti kehidupan, ‘mindset’ itupun berubah. Semasa saya di sekolah berasrama penuh dahulu, ada segolongan penghuni asrama yang meraikan birthday kawan mereka dengan ‘mengenakan’ kawan tersebut. Mereka menyimbah kawan itu dengan air, malah dicampurkan pula dengan bedak. Kemudian mereka bersorak melihat kawan itu basah. Suasana malam jadi gamat. Tanpa mereka sedar, mereka telah mengganggu ketenteraman penghuni asrama yang lain. Adakah itu ‘just kidding’ atau ‘just for fun’?

Sedarlah sahabat, usia yang datang itu adalah peringatan untuk insan. Allah mengingatkan bahawa kita semakin hampir kepadaNya. Entah esok kita masih bernafas atau tidak. Meraikan seseorang itu perlu tapi biarlah dalam keadaan yang diredhai Ilahi, bukan dengan hilai tawa seakan-akan kita akan hidup seribu tahun lagi.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Cukuplah kematian sebagai peringatan.”
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w pergi ke masjid, tiba-tiba ada sekelompok orang ramai sedang bergurau dan ketawa, lalu baginda bersabda : “Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaanNya, kalau kamu tahu apa yang aku ketahui, tentulah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Jangan pula kawan-kawan selalu mengingati mati sehingga menjadi seorang yang muram, pemenung dan tak ceria, nanti saya pula dipersalahkan.. Sebenarnya, jika kita selalu mengingati mati, kita akan menjadi lebih fokus untuk menyediakan bekalan untuk ‘hidup selepas mati’. Secara automatic diri akan terdorang untuk melakukan kebaikan, kerana dia tahu erti hidup pada memberi, semoga hasilnya dapat dituai di akhirat nanti. Dia akan cuba melakukan sesuatu dengan terbaik. Hari-hari yang datang adalah peluang untuk memperbaiki diri sebelum nyawa diambil Ilahi. Mari kita bertanya pada diri..adakah solat ini solatku yang terakhir? Adakah puasa ini puasaku yang terakhir? Adakah raya ini rayaku yang terakhir?

Sahabat yang sejati akan selalu mengingati, menasihati dan mengasah hati. Doakan kebaikan dan kesejahteraan buat insan yang diraikan. Pandanglah usia baru itu dengan pandangan mata hati agar kita semua dapat menyingkap hikmah Ilahi. Sama-sama kita mencari redhaNya..

Untuk sahabat-sahabat yang bakal, sedang mahupun sudah menyambut ‘usia baru’, saya tujukan bait-bait lagu ini untuk kalian…(^_^)

Awan berarak ceria tiada titisan hujan,
Pohon melambai tanda sokongan,
Kususuri perjalanan bertemankan senyuman,
Dihari lahirmu sahabatku,

Dedaun berguguran,
Membuktikan kedewasaan,
Walau tanpa madah dan hadiah,
Namun cukup untukmu sekadar ucapan...

Selamat Hari Lahir,
Iringan doa kuhulur,
Bersyukur kepada-Nya,
Atas nikmat usia,

Usiamu ibarat mutiara,
Tiada berganti lagi,
Hiaskan iman bersulam taqwa,
Agar sempat menuju haruman syurgawi..

-Cahayahati88-

Sunday, October 4, 2009

Indahnya Hidup Bersama Ilahi


"Aku menurut sangka hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku; Apabila dia mengingati-Ku sendirian maka Aku akan mengingatinya sendirian pula. Kalau dia mengingati-Ku bersama orang ramai maka Aku mengingatinya pula bersama orang yang lebih daripada itu (malaikat). Kalau dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatinya sehasta. Kalau dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Kalau dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari." (Riwayat Bukhari)