Saturday, October 31, 2009

Seronok lihat telatah adik : )

Seorang anak kecil katanya sangat jujur. Seorang anak kecil juga sangat peka, mudah menyerap segala sesuatu dengan cepat. Seorang anak kecil juga telatahnya sangat mencuit hati walaupun kadangkala menguji kesabaran. Dunia anak kecil penuh dengan riang ketawa. Bebas dari masalah dan tanggungjawab. Seorang anak kecil umpama kain putih yang belum dicorakkan. Anak kecil bersih daripada dosa..mungkin saja mereka lebih mulia daripada kita…


Akhi kecil saya yang comel,tengok jarinya menunjukkan yang dia sekarang lima tahun..huhu

Balik cuti ni, saya sangat seronok melihat telatah adik..

“Kak Ngah tahu x nak tunggang kete ayah?” adik saya Muhammad Aiman bertanya sewaktu dalam perjalanan pulang. Serta merta berderai kami ketawa.. muka adik pelik melihat kami yang sangat geli hati.

“Abang, tunggang untuk haiwan, kalau kereta ‘pandu’ ” kata ayah.

“Ooo…tunggang kuda!” adik saya menyatakan kefahamannya.

Balik ni juga, adik saya sudah pandai baca ikrar. Dia pun mengangkat tangannya ke paras bahu, seperti gaya orang yang akan berikrar. Tak sabar rasanya nak tahu ikrar apa..huhu

“Up, .. bismillahirabba..wabil islamidina..” adik saya baca sehingga habis beserta pengertiannnya sekali.

Seronok tengok adik baca dengan pelatnya walaupun ada beberapa part yang tidak lancar. Saya sendiri sudah lama tidak membaca ikrar tersebut, ikrar sebagai seorang Islam. Mengakui bahawa Allah itu Tuhan kita, Muhammad itu nabi kita dan Islam itu agama kita.. Hari itu saya belajar dari seorang adik kecil..Alhamdulillah.













Adik saya, Aiman seorang yang lincah dan petah bercakap.

“Abang cayang ayah…!”
“Abang cayang emak…!”
“Abang cayang kak Long, kak Ngah, kak Suria, kak Achik…!” kata Muhammad Aiman.

Itulah yang selalu diucapkannya. Bagaikan tiada rasa jemu. Tetapi mengapa kadangkala ia sukar dilakukan oleh orang dewasa?

Balik hari tu juga, entah apa kesalahan yang telah dilakukan, adik berulang kali meminta maaf daripada mak.

“Mak maafkan abang tak?” kata adik saya berulang kali.. tersenyum kami melihatnya. Aduh adikku, sudahlah dirimu tiada dosa, mudah pula meminta maaf dan mengakui kesalahan.

SEMOGA ADIK-ADIKKU MEMBESAR MENJADI SEORANG YANG BERGUNA KEPADA DIRI, AGAMA DAN MASYARAKAT..kak Ngah sayang kamu semua… ! : )

-Cahayahati88-

Friday, October 30, 2009

Apa Khabar Mata Hati?

Ketika sedang menunggu bas selepas habis kuliah, saya terlihat seorang lelaki yang buta penglihatannya, berjalan berseorangan menggunakan tongkat. Kelihatan seperti dia akan menuju ke library. Sampai di suatu selekoh ada lori yang mahu lalu…bimbang juga kalau ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, mujur lelaki itu berhenti. Seakan dia tahu akan kehadiran lori tadi, tangannya menyentuh objek-objek yang berada dekat dengannya..tangan digunakan untuk merasa, telinga digunakan untuk mendengar..

Benarlah firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 46 :

“Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati).”

Walaupun matanya buta, dia masih mampu untuk berjalan berseorangan, dia masih ada semangat untuk belajar kerana hatinya celik akan kepentingan ilmu. Melihatkannya, ada satu rasa menyelinap ke dalam jiwa….

Kalau mata hati kita buta, kaki kita masih boleh berjalan tetapi hakikatnya kita lumpuh!! Orang yang celik mata hatinya, sedar tentang dari mana dia datang, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Dia mendapat matlamat yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dalam fikiran, jiwa dan emosinya ada perjuangan untuk memperbaiki diri. Jika kita sedar, dalam hidup ini akan sentiasa berlaku perubahan. Jika tidak menaik, kita pasti akan menurun. Usaha memperbaiki diri adalah suatu perjalanan, ia bukan suatu suratan.

Adakah kita mempunyai hati yang hidup? Apa khabar hati kita?

Dalam surah Al-Anfal, ayat 2 :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.”

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ketika mereka ditimpa waswas daripada syaitan, maka mereka akan segera mengingati Allah dan ketika itu juga mereka menyedari kesilapan mereka.” (Al-A’raaf : 201)

Pandangan mata hati yang hidup mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang celik mata hati bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah. Hamba Allah tak kan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menyatakan bahawa tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Mari kita berusaha celikkan mata hati… : )

Kerana Nabi kita telah bersabda :

“Allah tidak menilai rupa lahir kamu, tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.” (Riwayat Muslim)

-Cahayahati88-

Saturday, October 24, 2009

Ahli Politik yang Ikhlas

Selepas Nabi Muhammad dan empat orang sahabat karib baginda, iaitu Abu Bakar, Umar bin Khatab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abu Talib meninggal dunia, Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang mula-mula berusaha mengamalkan dasar-dasar pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda.

Walaupun beliau lahir sebagai putera kepada seorang raja yang kaya raya, sebaik-baik beliau menjadi pemimpin, beliau dan isterinya menyerahkan semua hartanya kepada perbendaharaan negara dan hidup sebagai seorang yang miskin.

Beliau juga mengarahkan supaya semua kaum keluarganya yang memiliki harta kekayaan yang diperoleh dengan cara-cara yang salah supaya menyerahkan harta-harta itu ke perbendaharaan negara. Akibatnya ramai yang membenci tindakannya itu dan akhirnya beliau dibunuh.

Umar bin Abdul Aziz adalah cicit kepada Umar bin Khatab. Semasa pertabalan beliau sebagai ketua negara menggantikan ayahnya, ramailah rakyat jelata berkunjung mengucapkan tahniah kepada beliau. Antara yang berkunjung adalah para utusan daripada seorang tokoh yang bernama Hijaj.

Seorang kanak-kanak yang berusia belasan tahun tampil menjadi jurucakap rombongan utusan Hijaj itu. Kanak-kanak itu cuba memulakan ucapannya tetapi ditahan Umar bin Abdul Aziz.

“Saudara duduk. Berikan peluang kepada orang yang lebih tua bercakap dahulu,” kata Umar tegas.

Sebelum duduk kanak-kanak itu sempat berkata, “Tuan, Tuhan menguatkan tuan dengan kelembutan hati dan lidah. Apabila Tuhan menjadikan lidah untuk bercakap dan hati bagi memelihara diri, maka saya berhak bercakap.”

Kemudian, dia meneruskan lagi, “Dan apabila yang dipersoalkan adalah usia, sudah tentu ada orang lain yang lebih layak menggantikan tuan sebagai pemimpin,” tegur kanak-kanak itu kepada Umar bin Abdul Aziz.
Umar terkejut mendengar kata kanak-kanak itu. Kata-katanya menyentuh jiwa Umar yang dididik dengan kerendahan diri dan kemuliaan. Lalu Umar membalas dengan gaya bersyair:

“Belajarlah
Sebab manusia itu tidak dilahirkan pandai,
Dan tidak sama orang berilmu dengan orang yang bodoh,
Seorang pembesar negara,
Apabila dia tidak berilmu,
Dia kecil
Di mata rakyatnya.”

Melalui kisah ini, kita dapat lihat bagaimana seorang yang masih kanak-kanak berani menegur seorang pembesar negara, dia yakin dengan apa yang diyakininya dan berani mengatakan hakikat kebenaran. Kanak-kanak yang sebeginilah yang bakal menjadi seorang remaja muslim dan pejuang agama yang kuat jati dirinya.

Melalui kisah ini juga kita dapat lihat kerendahan hati seorang pembesar negara. Seorang ahli politik yang mentadbir dengan ikhlas, akan dapat menerima suatu teguran dengan hati yang lapang tanpa sifat kesombongan. Kedudukan dan jawatan adalah suatu amanah bukan suatu anugerah. Politik dilihat sebagai suatu peluang untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Alangkah makmur dan berkatnya sesebuah negara jika ahli-ahli politiknya ikhlas dan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat…

-Cahayahati88-

Friday, October 16, 2009

Final Exam


Final exam is just around the corner. Semakin hampir dengan final, semakin banyak pula assignment yang perlu disiapkan. Mulalah kerisauan dan kebimbangan datang bermain dalam diri.. Kadangkala merasakan masa tak cukup, seperti banyak lagi yang perlu diulangkaji dan difahami. Tapi itulah lumrah menjadi seorang pelajar, ujian demi ujian , peperiksaan demi peperiksaan silih berganti..

Teringat saya pada kata-kata ayahanda pengetua kolej kami, juga bekas pensyarah saya semasa di asasi sains dahulu. Ayahanda seorang yang ‘mesra rakyat’..pagi tadi beliau melambai kami yang sedang menunggu bas di hadapan kolej. Setiap butir bicaranya berisi nasihat dan pandangan yang berguna. Saya masih ingat lagi pada kata-kata ayahanda, lebih kurang begini, “Ujian yang sebenarnya bagi setiap mukmin adalah ujian menghadapi saat kematian.” Terima kasih ayahanda kerana mengingatkan.

Kita sibuk mempersiapkan diri dengan final exam yang kita tahu tarikhnya, dan seharusnya kita lebih lagi mempersiapkan diri untuk menghadapi ‘final exam’ yang kita tidak tahu bila ia akan tiba. Sekiranya berlaku emergency, mudah-mudahan kita telah bersedia untuk ‘final exam’ itu.

Pernahkah kita bayangkan bagaimana sakitnya sakaratulmaut? Kesakitannya adalah kesakitan yang luar biasa melebihi kesakitan seorang ibu ketika melahirkan, melebihi kesakitan di tetak 300 mata pedang yang berkilau tajam. Saat itu diri akan didatangi malaikat maut samaada dengan berwajah indah atau bengis. Pada saat itu juga, diri akan didatangi oleh segerombolan syaitan yang tujuannya hanya satu, untuk menukar akidah kita! Nauzubillah..sama-sama kita berlindung dengan Allah daripada ujian yang hebat itu.

Imam Syafie pernah berkata:

“Sesiapa yang mahukan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali, maka hendaklah juga dengan ilmu.”

Rasulullah pernah bersabda:

“Sesiapa yang merintis jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan untuk ke syurga.”

Dalam Al-quran pula, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“….dan Allah akan meninggikan orang yang beriman daripada kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat..” (Al-Mujadilah:11)

Subhanallah..sayangnya Allah pada kita semua. Allah telah memberikan kita motivasi melalui Al-quran untuk kita meraih ilmu sebanyak yang boleh. Dengan meraih ilmu, kita akan menjadi orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan ditinggikan Allah beberapa darjat.

Jadi, jangan tension-tension..tenangkan fikiran dan jadikan ayat itu sebagai motivasi untuk kita belajar dengan lebih rajin dan focus tanpa mengeluh dan berasa putus asa.. dan sebagai seorang Islam ada satu perkara yang perlu kita ingat, ada ‘final exam’ yang lebih penting sedang menunggu kita. Sama-sama kita mempersiapkan diri…

-Cahayahati88-

Monday, October 12, 2009

Sebuah Pertemuan





Menitis air mata ini keharuan,
Kepada sebuah pertemuan,
Sungguh terasa kasih Ilahi,
Dikurniakan seorang sahabat sejati…
Salam perkenalan yang awak hulurkan,
Rupanya adalah salam persahabatan,
Indah sungguh aturan Tuhan…
Lembaran diari asrama itu,
kita buka helai demi helai,
kita harung suka duka kehidupan,
Kita bina sebuah kejayaan..
Kadangkala ada sendu, kadangkala ada ketawa,
Menitis air mata tatkala mengenangnya semula..
Saat diri perlukan kekuatan ,
Awak hadir berikan keyakinan dan harapan,
Mengusap air mata kesedihan,
Untuk mengukir sebuah senyuman..
Saat diri dalam kesusahan,
Awak hadir berikan bantuan,
Sanggup berkorban demi sebuah persahabatan..
Kini, kita telah terpisah,
Demi mengejar cita-cita dan impian,
Sungguh perpisahan ini menambahkan kerinduan,
Mengeratkan lagi sebuah persahabatan…
Kerana rahmatnya ukhuwah ini bagaikan satu diri,
Seperti kita dapat merasa keadaan yang terjadi,
Sungguh indah ukhuwah ini,
Moga berkekalan ke syurga abadi…

-Cahayahati88-

Saturday, October 10, 2009

Yang Dikatakan Sahabat..


Sukarnya mencari sahabat yang sejati, seperti mencari mutiara dalam timbunan kaca, kilauannya kelihatan seakan-akan sama, namun nilainya berbeza. Sahabat adalah kawan tapi kawan tak semestinya seorang sahabat.

Seorang sahabat mendapat tempat yang khusus dalam hati sahabatnya. Ia tidak terjalin secara tiba-tiba, tetapi memerlukan suatu proses yang panjang. Ia diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur, disakiti, didengar, diabaikan, dibantu, ditolak, namun semua ini bukanlah disengajakan apa lagi untuk menimbulkan perselisihan. Kerana dia faham bahawa sahabatnya bukanlah seorang yang sempurna, begitu juga dengan dirinya. Tetapi mereka sama-sama berusaha untuk menjadikan persahabatan itu sempurna. Saling memahami, memaafkan, menyayangi, menghormati dan menghargai. Ia hanya akan dapat dicapai dengan adanya keikhlasan dan kejujuran..semata-mata mengharapkan keredhaan Ilahi.

Seorang sahabat itu..
Apabila kamu rapatkan persahabatan kamu dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu,
Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya dia akan menerima dengan baik dan menghargainya,
Jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung-hitungkan,
Tetapi jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupinya dan takkan biarkan kamu terus begitu..kerana dia mahu yang terbaik untuk kamu..
Dia akan menjaga rahsia kamu, kerana dia tahu itu maruah kamu..
Jika kamu meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya, kerana dia tidak mahu mengecewakan kamu..

Jika kamu diam, dia akan menyapamu dahulu..kerana dia risau jika ada sesuatu kesusahan atau kesedihan yang menimpamu..dia akan menanyakan kesusahanmu, meringankan dan menghiburkanmu..
Dia akan cuba memahami andai ada perselisihan yang terjadi , dia suka menghulurkan maaf dan memaafkan kesalahan…walaupun itu bukan kesalahannya semata-mata mahu menjaga persahabatan denganmu..

-Cahayahati88-

Tuesday, October 6, 2009

Happy Birthday

Masa yang pergi takkan kembali lagi..Ia akan pergi jauh..jauh dan jauh.. Sedar tak sedar, sudah hampir 21 tahun saya di atas bumi Allah ini, mengharungi liku-liku kehidupan dengan kasih dan sayangNya.. Dari ‘single number’ sekarang sudah menjadi ‘double number’. Angka itu tidak akan membawa apa-apa makna jika ia tidak diisi dengan sebaiknya. Masa muda hanya sekali, “Kita enjoy dulu..!!” hhurm…macam pernah dengar je ayat ni, tapi di mana ya…? Dalam cerita Puteri kat tv3. Dulu masa kecik-kecik, suka sangat bila birthday tiba. Dapat makan kek..ingat lagi kek saya dulu ada jelly berwarna merah berbentuk hati di atasnya., cantik sangat., dapat pula banyak hadiah dari saudara-mara..



Tapi bila usia semakin bertambah, seiring dengan kematangan fikiran meniti kehidupan, ‘mindset’ itupun berubah. Semasa saya di sekolah berasrama penuh dahulu, ada segolongan penghuni asrama yang meraikan birthday kawan mereka dengan ‘mengenakan’ kawan tersebut. Mereka menyimbah kawan itu dengan air, malah dicampurkan pula dengan bedak. Kemudian mereka bersorak melihat kawan itu basah. Suasana malam jadi gamat. Tanpa mereka sedar, mereka telah mengganggu ketenteraman penghuni asrama yang lain. Adakah itu ‘just kidding’ atau ‘just for fun’?

Sedarlah sahabat, usia yang datang itu adalah peringatan untuk insan. Allah mengingatkan bahawa kita semakin hampir kepadaNya. Entah esok kita masih bernafas atau tidak. Meraikan seseorang itu perlu tapi biarlah dalam keadaan yang diredhai Ilahi, bukan dengan hilai tawa seakan-akan kita akan hidup seribu tahun lagi.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “Cukuplah kematian sebagai peringatan.”
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w pergi ke masjid, tiba-tiba ada sekelompok orang ramai sedang bergurau dan ketawa, lalu baginda bersabda : “Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaanNya, kalau kamu tahu apa yang aku ketahui, tentulah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Jangan pula kawan-kawan selalu mengingati mati sehingga menjadi seorang yang muram, pemenung dan tak ceria, nanti saya pula dipersalahkan.. Sebenarnya, jika kita selalu mengingati mati, kita akan menjadi lebih fokus untuk menyediakan bekalan untuk ‘hidup selepas mati’. Secara automatic diri akan terdorang untuk melakukan kebaikan, kerana dia tahu erti hidup pada memberi, semoga hasilnya dapat dituai di akhirat nanti. Dia akan cuba melakukan sesuatu dengan terbaik. Hari-hari yang datang adalah peluang untuk memperbaiki diri sebelum nyawa diambil Ilahi. Mari kita bertanya pada diri..adakah solat ini solatku yang terakhir? Adakah puasa ini puasaku yang terakhir? Adakah raya ini rayaku yang terakhir?

Sahabat yang sejati akan selalu mengingati, menasihati dan mengasah hati. Doakan kebaikan dan kesejahteraan buat insan yang diraikan. Pandanglah usia baru itu dengan pandangan mata hati agar kita semua dapat menyingkap hikmah Ilahi. Sama-sama kita mencari redhaNya..

Untuk sahabat-sahabat yang bakal, sedang mahupun sudah menyambut ‘usia baru’, saya tujukan bait-bait lagu ini untuk kalian…(^_^)

Awan berarak ceria tiada titisan hujan,
Pohon melambai tanda sokongan,
Kususuri perjalanan bertemankan senyuman,
Dihari lahirmu sahabatku,

Dedaun berguguran,
Membuktikan kedewasaan,
Walau tanpa madah dan hadiah,
Namun cukup untukmu sekadar ucapan...

Selamat Hari Lahir,
Iringan doa kuhulur,
Bersyukur kepada-Nya,
Atas nikmat usia,

Usiamu ibarat mutiara,
Tiada berganti lagi,
Hiaskan iman bersulam taqwa,
Agar sempat menuju haruman syurgawi..

-Cahayahati88-

Sunday, October 4, 2009

Indahnya Hidup Bersama Ilahi


"Aku menurut sangka hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku; Apabila dia mengingati-Ku sendirian maka Aku akan mengingatinya sendirian pula. Kalau dia mengingati-Ku bersama orang ramai maka Aku mengingatinya pula bersama orang yang lebih daripada itu (malaikat). Kalau dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatinya sehasta. Kalau dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Kalau dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari." (Riwayat Bukhari)