Sunday, November 28, 2010

Baraka Allahu Lakuma

Assalamualaikum buat semua..semoga kalian dan saya sentiasa dalam rahmatNya, sentiasa dalam pengawasanNya, sentiasa dalam kasih-sayangNya..

Rindu saya untuk menulis di blog ini..catatan perjalanan hidup ini ingin sekali saya abadikan agar setiap peristiwa yang berlaku tidak luput ditinggalkan ingatan..moga jejak-jejak yang saya tinggalkan boleh dibaca oleh bakal si kecil saya yang soleh dan solehah.. =) tak salah berniat ke arah itu kan.. =) moga diberikan kesempatan olehNya..ameen

Alhamdulillah, selesai dan selamat sudah majlis walimah kak Long. Tarikh 10/10/ 2010 (majlis di rumah pihak perempuan) dan 21/11/2010 (majlis di rumah pihak lelaki) meninggalkan kenangan yang tersendiri buat mereka berdua, juga buat kami sekeluarga. Bersatu sudah dua hati atas jalan yang diredhaiNya.. semoga Allah memberkahimu dan memberkahi atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan..ameen..

Ini majlis walimah pertama yang diadakan oleh kami sekeluarga. Bagai mimpi rasanya walaupun bukan saya yang berkahwin. Memandangkan kakak akan bergelar raja sehari pada hari itu, maka tanggungjawab menguruskan perjalanan majlis tergalas besar di bahu saya. Moga-moga dapat meringankan tugas-tugas emak dan ayah yang sedari awal tak lekang bertungkus-lumus menguruskan ini dan itu agar majlis berjalan lancar. Hikmahnya, banyak perkara yang saya pelajari daripada majlis walimah kakak saya.

Bermula dengan hal persetujuan tarikh dari kedua-dua belah pihak agar masing-masing tidak ada halangan pada hari tersebut. Kemudian urusan meletakkan nama di papan masjid untuk makluman jemaah masjid dan penduduk kampung (ini tugas ayah ) Terkadang, tarikh yang dipersetujui telah sesuai tapi terlalu banyak pula majlis walimah yang diadakan pada sesuatu hari. Jadi tarikh lain perlu difikir semula. Tempahan kad jemputan kahwin: hal designnya, kos, bilangan jemputan, pengagihan sehinggalah sampai ke tangan mereka yang dijemput.

Juga urusan sewa khemah, pinggan mangkuk dan segala peralatan memasak yang diperlukan.Perancangan menu hidangan untuk tetamu dan keluarga daripada pihak pengantin lelaki : kos bahan mentahnya , pembelian dan pengurusan bahan masakan, daging lembu, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan sehinggalah selamat sampai ke mulut tetamu. Kos dapat dijimatkan kerana kami tak gunakan khidmat catering. Disebabkan kami duduk di kampung, jadi kami bergotong-royong menyediakan hidangan =) muhibah sekali! Terima kasih yang tak terhingga buat saudara-mara kami yang sangat-sangat membantu kelancaran perjalanan majlis walimah ini. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan rahmatNya..ameen.

Tak lupa juga, urusan penginapan untuk rombongan dari pihak lelaki memandangkan mereka datang dari jauh, nun dari Perak. Jadi perlu bermalam di Melaka untuk majlis keesokan harinya. Gubahan barang-barang hantaran pula kebanyakkannya adalah hasil air tangan kakak dan saya.

Banyak lagi urusan, panjang pula jadinya entri ni nanti..kesimpulan yang dapat saya buat daripada majlis walimah yang pertama ini adalah perlu ada perancangan yang rapi agar tidak berlaku pembaziran. Biarlah majlis sederhana cuma, sebab keberkatan Ilahi lah yang paling didamba..

Ayah selalu berpesan kepada saya..kata ayah “ tak perlu buat kenduri besar-besar, buat ringkas je, yang penting nikah .” tersenyum saya pada ayah..mungkin ayah juga belajar daripada pengalaman pertama ini. Kata ayah lagi, hanya orang yang dah bekerja sahaja yang tahu bagaimana susahnya mencari duit. Benar kata ayah kerana saya mula merasakannya kini.

Berminggu juga saya cuba menyesuaikan diri dan fikiran untuk menerima kenyataan bahawa kakak saya yang satu ini sudah dimiliki orang. Dan saya sudah beroleh seorang abang ipar. Manakan tidak, usia kakak yang cuma setahun lebih daripada saya menjadikan kami rapat. Teringat kembali saat-saat dahulu. Pergi sekolah bersama-sama, rehat bersama, bermain bersama, belajar bersama. Kemana-mana pun pergi ditemani kakak.

Kakak.. dahulu kamu bersama kami
Kini tidak lagi..
Jauh pergi mengikuti suami..
Bukan kami tidak rela, tapi kami rindu saat bersama..
Pergilah kakak pada syurgamu
Fitrahmu perlukannya
Fitrahnya perlukanmu
Moga redha Allah kan sentiasa bersinar selalu..

Lafaz sakinah bermula.

Taat itu bukan hanya pada nama..indah ia pada maksudnya..


Ketibaan rombongan sebelah lelaki dari Ipoh, Perak.

Pengantin diraikan dengan persembahan silat.

Jumpa lagi..InsyaAllah.

-Cahayahati88-








Monday, September 27, 2010

Tiada Putusnya


Mungkin sahabat itu tidak kelihatan di hadapan..tapi ia mengiringi perjalanan hidupmu tanpa kamu lihat..tersembunyi tapi bermakna..Uniknya persahabatan tak perlu diucapkan..kerana hanya hati yang dapat merasai..Tiada kata yang tersurat hanya hadiah mewakili perasaan yang mengharap redha Tuhan..

Moga berkekalan kebaikan daripadanya biarpun roh dan jasad semakin menjauh..bukan disengajakan tapi tak siapa tahu rahsia Tuhan..

Moga berkekalan kebaikan daripadanya sehingga membawa ke syurga idaman..bukan kesedihan tapi tak siapa tahu rahsia Tuhan..

Hanya mengharap yang terbaik buatmu sahabat..

Tuesday, May 25, 2010

Kita Adalah Guru

Kini, sudah hampir sebulan saya duduk di rumah, menunggu hari konvokesyen yang menjadi impian setiap pelajar universiti. Tak sabar rasanya mahu menggenggam segulung ijazah dengan mak dan ayah di sisi tersenyum bangga dan bahagia.

Masa terluang yang ada saya isi dengan mengajar tuisyen di rumah. Seronok rasanya mengajar budak-budak sekolah rendah, lebih-lebih lagi apabila mereka faham apa yang diajar.

“ Cikgu, saya nak bagi cikgu sesuatu. Tapi cikgu jangan marah tau kalau tak cantik..” kata Qila yang duduk di sebelah saya.

“Qila nak bagi apa..? eeeh,tak kan la akak nak marah..” jawab saya. Persoalan bermain di fikiran.

“ Betul ni cikgu tak marah..? Janji tau..” kata Qila sambil tangannya mengambil sesuatu dari dalam begnya.

“Selamat Hari Guru, cikgu!” ucap Qila malu-malu.

Rupanya Qila hendak memberikan hadiah kepada saya. Terkejut, serba-salah pula mahu menerima pemberian tersebut.

“Susah-susah je.. Terima kasih ye. Akak baru dua hari ajar Qila, dah dapat hadiah..huhu..” kata saya. Tersenyum melihat telatahnya.

Itulah panggilan mereka kepada saya. Cikgu. Tapi saya lebih suka membahasakan diri sebagai akak. Lebih rapat rasanya. Lagipun saya bukan dari bidang pendidikan, hanya mengajar buat mengisi masa lapang. Walaupun hadiah itu kecil nilainya pada ringgit, tapi nilainya besar pada sebuah penghargaan. Ada sifat menghargai pada Qila, murid tahun 5 yang suka belajar. Semoga Qila juga menghargai ibu dan ayahnya dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“ Kenapa kakngah tak jadi cikgu?” tanya adik saya suatu hari. Tahun depan dia bakal menduduki peperiksaan UPSR.

Selalunya apabila ditanya kepada murid-murid sekolah rendah apakah cita-cita mereka, di antara pilihan-pilihan mereka, majoritinya pasti ada cikgu.

“ Kalau semua orang mahu jadi cikgu, siapa yang nak jadi doktor, polis, peguam, dan kerja-kerja yang lain...?” kata saya, cuba mencari-cari jawapan.

Dalam hati saya juga bertanya mengapa saya tidak menjadi guru, memilih bidang pendidikan sama macam kaklong. Terasa seronok mengajar mereka. Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu.

“Bioteknologi tu apa cikgu?” tanya adik-adik yang saya ajar, ingin tahu.

“Hem..bioteknologi tu kita belajar tentang benda-benda hidup macam haiwan, tumbuh-tumbuhan. Lagi satu, mikroorganisma yang baru kita belajar semalam..” jawab saya.

“Lepas tu, kita hasilkan sesuatu yang berguna daripada benda-benda hidup ni. Guna teknologi yang ada” saya cuba menerangkan dengan bahasa yang mudah untuk mereka faham.

“Ooh..macam tu..” mereka menganggukkan kepala.

Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu. Memilih jurusan Bioteknologi sebagai pilihan pertama. Jurusan yang saya minati. Aturan ini pastinya yang terbaik untuk saya kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Al-Alim dan al-Bari’, Maha Mengetahui dan Maha Perancang hanya Dia, ALLAH SWT.

Guru adalah pendidik. Secara tidak langsung dia juga mendidik dirinya. Guru adalah role-model, contoh ikutan kepada pelajar. Gelaran ‘cikgu’ kekal hingga ke akhir hayat. Ke mana pun pergi, dia tetap di panggil ‘cikgu’ oleh masyarakat.

Bagi saya, kita semua boleh jadi cikgu, kita semua boleh jadi guru walaupun bukan dari aliran pendidikan. Jika dia seorang kakak atau abang, dia adalah guru kepada adik-adiknya dengan menunjukkan teladan yang baik buat mereka. Jika dia seorang ibu atau ayah, dia adalah guru kepada anak-anaknya dengan mendidik dan mengasuh mereka menjadi insan yang berguna. Dan suatu kelebihan bagi lelaki, jika dia seorang suami, dia adalah guru kepada isterinya. Jadi kita semua boleh jadi guru. =)

-Cahayahati88-

Sunday, May 2, 2010

Kalam Ilahi Pelita Hati


Sekarang tinggal lagi dua paper untuk saya menamatkan semester akhir di bumi UM. Hari-hari menghadap nota-nota biotechnology, membaca dan memahami menyebabkan fikiran jadi penuh dengan teori. Uhh…

Tatkala ketepuan melanda, al-Quranlah yang menjadi penenang jiwa. Kitab suci itu, surat cinta saya dan surat cinta kamu. Kebenaran dan keindahan bergabung menjadi satu. Kekusutan terlerai, keresahan lenyap, kesedihan pasti kan terubat. Dalam al-Quran ada didikan dari Ilahi. Dalam al-Quran juga ada pujukan Rabbi.

Sedang saya membaca al-quran, sampai di suatu ayat dalam surah al-Furqaan, saya jadi terkesima. Sungguh indah kalam Ilahi. Indah sungguh. Dalam ingin mencari redhaNya, Dia memberitahu caranya. Subhanallah..

Di sini saya kongsikan sebahagian ayat daripada surah al-Furqan. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan =)

Bismillahirrahmanirrahim

Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi (61). Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat iaitu memikirkan kebesaranNya, atau mahu bersyukur akan nikmat-nikmatnya itu (62).

Dan hamba-hamba Allah yang diredhaiNya ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini (63).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (64).

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan” (65). “Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang sangat buruk” (66).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (67).

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak iaitu yang dibenarkan oleh syarak, dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian akan mendapat balasan dosanya (68). Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69). Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70). Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat (71).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya (72).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta (73).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa (74).

Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka (dalam menjalankan perkara-perkara yang tersebut khasnya, dan perintah Allah amnya) dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya (75).

Ya Muhaimin, jadikanlah kami termasuk dalam golongan hamba-hamba yang diredhaiMu..Amin.

-Cahayahati88-

Friday, March 19, 2010

Oh Tuhan..


















Masa semakin singkat
Air mata mengalir tapi tak kelihatan
Hati menjerit tapi tak kedengaran
Ku lihat arus dunia
Dan ku dengar hakikat itu
Sedari kecil Kau telah mengingatkanku
Betapa rahmatMu melimpah ruah
Tanpa cintaMu aku mati
Tanpa rinduMu aku tidak pasti
Bagaimana harus aku menjelaskan
Pada mereka-mereka yang bernafas
Bagaimana harus aku menjelaskan
Sedangkan diri sedang mujahadah
Berusaha mencapai redha Allah
Duhai mata hatiku, celiklah sentiasa
Jangan layu, jangan kabur
Subhanallah, Kau pilih diriku
Untuk menjelaskan keagunganMu
Semakin jauh langkahku
Semakin ia kuat diingatanku
Batapa Kau kasih padaku

Oh Tuhan
Ampuni diriku andai aku leka dengan arus dunia
Bantu diriku menjadi hambaMu
Yang sentiasa mensyukuri nikmatMu…

-Cahayahati88-

Sunday, March 7, 2010

Amanah Daripada Perkahwinan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..berbekalkan sedikit ilmu dan ilham daripadaNya saya menulis sebuah perkongsian.. ya Allah hambaMu ini berharap padaMu agar mengurniakan kepadaku kekuatan serta keyakinan yang mantap untukku mengamalkan dan berpegang pada setiap kata yang ku ucapkan.

Alhamdulillah, seminggu yang lalu kursus perkahwinan telah selamat saya hadiri bersama teman-teman sepengajian. Saat mereka mengajak untuk mengambil kursus itu, tak tahu mengapa hati ini dengan senangnya mengiyakan. Pada Allah dikembalikan segala urusan kerana pada kita ada tadbir (perancangan) tapi pada Allah letaknya segala takdir. Bagi saya,ia tidak terlalu awal untuk kita menghadirinya agar pemuda dan pemudi dapat melihat dan mengerti akan erti perkahwinan yang sebenarnya. Agar pemuda dan pemudi dapat membuat persediaan walaupun bukan 100% kerana bakinya boleh dibuat sepanjang perjalanan selepas perkahwinan.

Perkahwinan itu bukan hanya menghalalkan apa yang haram dilakukan oleh seorang lelaki dan wanita, tetapi hakikat kepada perkahwinan itu adalah perkongsian hidup, amanah dan tanggungjawab untuk membawa seluruh isi keluarga sama ada menuju ke syurga atau neraka. Kerana janji Allah itu pasti, kematian itu menanti, seksa kubur itu benar, syurga dan neraka itu ada, dan di situlah destinasi terakhir manusia. Kerana Allah telah berfirman :

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah at-Tahriim: ayat 6)

Tatkala lafaz “aku terima nikahnya” disahkan oleh para saksi, bermulalah perkongsian kehidupan di mana kita mempertaruhkan baki umur yang dipinjamkan oleh Allah Yang Maha Penyayang sama ada digunakan dengan sebaiknya atau sebaliknya. Kerana itulah persediaan kepada sebuah perkahwinan yang diredhaiNya, membina baitul muslim amat-amat diperlukan. Dunia remaja hanya sekali, ia bukan untuk seronok-seronok kerana yang ‘hanya sekali’ itu tak kan datang lagi. Andai tidak dipenuhkan dengan ilmu dan membina jati diri bersulamkan taqwa, pasti penyesalan yang akan menanti di kemudian hari.

Membina Baitul Muslim menjadi impian saya dan tentu juga kalian. Apakah Baitul Muslim? Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai ALLAH, keperluan mencari isteri atau suami yang diredhai ALLAH, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan ALLAH, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat. Subhanallah indahnya =)

Apalah sangat yang saya tahu mengenai perkahwinan..huhu. Sekadar membaca dan mendengar cerita-cerita orang yang sudah berumahtangga tak sama dengan merasa dan mengalami. Sebelum masuk ke dunia itu, semua impian indah-indah belaka. Tapi mungkin sahaja berbeza di alam realiti. Tak seindah impian. Permulaan yang baik bukanlah jaminan untuk tiadanya ujian di sepanjang perjalanan. Andai ujian tak tertahan,bermuhasabahlah dan kembalilah kepada Tuhan.

Saat mendengar penceramah berbicara mengenai peranan suami dan isteri, pengurusan masa, wang dan ekonomi, pengurusan stress dan konflik, namun amanah menjadikan zuriat seorang yang ‘menjadi’ masih terletak di tangga nombor satu di hati saya. Anak adalah amanah daripada Allah dan kelak Allah akan bertanya setiap penanggungjawaban ke atas amanah tersebut sama ada kita telah memeliharanya atau mensia-siakannya.

“Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya. Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya.” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Luqman Al-Hakim adalah salah satu contoh seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya. Allah sendiri telah merakamkan nasihatnya kepada anaknya:

“Wahai anak kesayanganku, jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah (untuk dihakimi atau dibalasNya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya, lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman: ayat 16)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan dan laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki mengambil berat melakukannya.” (Surah Luqman: ayat 17)

Jelas di sini Luqman seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya dalam mendidik zuriatnya. Wahai anak kesayanganku, wahai anak kesayanganku Luqman memulakan bicaranya, lembut dan bermakna sungguh nasihatnya buat permata hatinya.

Setiap orang mengimpikan keluarga yang penuh dengan mawaddah, sakinah dan rahmah. Begitu juga saya dan semestinya kalian juga. Jika kita ingin jadi orang yang pertama sampai ke garisan penamat dalam larian 100 meter, sudah tentu kita perlu kepada latihan dan berlari dengan bersungguh-sungguh di hari pertandingan. Begitu juga dengan impian untuk memiliki sebuah keluarga yang penuh mawaddah, sakinah dan rahmah, ia haruslah bermula semenjak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumahtangga. Apabila batas pergaulan dipelihara dan keberkatan pertunangan dijaga, mudah-mudahan dengan kasih-sayang Allah, rumahtangga yang bakal dibina mendapat rahmatnya. Anak-anak pula menjadi dan mudah dididik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata
(Qurratu’ayun) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”(Surah al Furqan ayat 74)

Kita selalu melafazkan doa seperti di atas, meminta agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang soleh ataupun solehah, apabila melihat kepadanya sejuk mata memandang, dingin kalbu merasakan. Tapi, renunglah kembali ke dalam diri, tanyakan pada diri, adakah kita telah berusaha ke arah itu ? Bukan sekadar meminta tapi berusaha memperbaiki peribadi diri (peringatan untuk saya juga).

Anak-anak adalah harta yang paling berharga bagi ibubapa untuk kebahagiaan di akhirat sana. Hanya doa anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat menerangi alam kubur kita selain daripada ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Alangkah bahagianya kita jika anak-anak kita membesar menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang dalam dirinya penuh dengan cinta kepada agama.

Sebesar hasrat kita, maka sebesar itulah kita perlu merancang. Perancangan yang teliti akan perihal didikan anak-anak sedari kecil lagi perlu dibuat oleh pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga. Kata-kata ini selalu mengingatkan saya, “kita telah membawa mereka lahir ke dunia, tapi bagaimana pula dengan pek bekal iman untuk mereka dihantar ke masa hadapan yang penuh cabaran?” ye..masa hadapan yang penuh cabaran..yang ketika itu kita telah tua..atau mungkin juga kita telah tiada lagi di dunia ini..masa hadapan itu yang penuh cabaran..

Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir.”(Surah Al-An’am : ayat 32)

Peringatan untuk diri saya sendiri dan kalian..
1.jika mahu anak-anak yang soleh dan solehah, berusahalah untuk menjadikan diri kamu soleh dan solehah dahulu (^_^)
2.sentiasa ingat bahawa anak adalah amanah Allah yang akan ditanya di akhirat kelak.

Jagalah batasan pergaulan selagi syariat tidak menghalalkan. Jauhilah perkara yang melalaikan agar hati sentiasa ingat pada Tuhan. Moga saya dan kalian dikurniakan teman hidup yang soleh ataupun solehah dalam membentuk baiti jannati =)

Moga bertemu lagi..insyaAllah.

-Cahayahati88-

Tuesday, February 23, 2010

Doa Solat Duha



“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”.

Monday, February 22, 2010

Tirai Rahsia Ilahi

Rezeki, jodoh dan mati adalah sebahagian daripada rahsia Allah yang Allah sahaja yang mengetahuinya. Ia diluar batasan fikiran kita sebagai hamba kepada suatu zat yang Maha Hebat, Allah Azzawajalla. Contohnya minuman yang baru sahaja siap dibuat, tertumpah ke lantai tanpa sempat dihirup..minta perhatian: pastikan adik kecil kalian tidak meletakkan cawan di tepi meja ye..(^_^) Aha..pasal jodoh..teringat cerita Ketika Cinta Bertasbih, walaupun Anna Althafunnisa telah bernikah dengan Furqan, tapi jodohnya lebih kuat dengan Khairul Azzam..masing-masing tidak menyangka ..(^_^).

Kematian pula, juga sesuatu yang tak diduga..teringat saya pada arwah Ustaz Asri, vokalis kumpulan Rabbani. Rasanya baru sahaja beberapa bulan yang lepas saya bertemu dengan arwah ketika kumpulan Rabbani datang ke kolej kami bagi memenuhi jemputan Festival Nasyid yang kami adakan. Sudah tersurat takdirNya, tak siapa menduga arwah kembali bertemu Ilahi pada tahun yang sama..sampai sekarang lagu Intifada menjadi alarm yang setia mengejutkan saya di waktu Subuh..(^_^)

Daripada ketiga-tiga rahsia Allah ini, ada dua rahsia yang perlu kita cari bagi menampung kehidupan di dunia ini iaitu rezeki dan jodoh. Manusia perlu rezeki kerana manusia perlu makan, minum dan menampung keperluan-keperluan lain. Manusia juga perlu mencari jodoh bagi memenuhi keperluan biologi, kasih-sayang dan keturunan yang berterusan.

Rezeki bukan hanya berbentuk wang, pekerjaan, rumah, kenderaan mahupun benda-benda yang berbentuk materialistic. Kesihatan, jiwa yang tenang dan ilmu yang bermanfaat juga merupakan rezeki. Saya suka mendengar lagu Hakikat Bahagia nyanyian UNIC (^_^), hakikat bahagia itu adalah suatu ketenangan, bahagia itu suatu kesyukuran, bila sihat tidak lupakan Tuhan, bahagia itu ada pada hati, kesannya zahir rupanya maknawi, terpendam bagai mutiara di lautan nurani..(^_^)

Salah satu cara untuk memudahkan kita mendapat rezeki adalah dengan melakukan solat duha. Bukan hanya bergantung pada usaha zahir sahaja ya..=) Aktiviti kerja adalah usaha dari segi zahir, manakala solat dhuha pula adalah usaha dari segi batin. Jadi, aktiviti kerja yang digandingkan dengan solat duha dapat memberikan kita keseimbangan dari segi rohani dan jasmani yang seterusnya memberikan kita kemudahan datangnya rezeki daripada setiap usaha yang kita kerjakan.

Jari ini bagai ringan untuk menaip mengenai solat dhuha = )

Dulu saya tidak melakukan solat sunat dhuha, tapi saya tahu yang solat ini pasti ada kelebihannya. Sampailah pada suatu masa, ketika menjalani latihan industry di Perak, Allah memberikan kesedaran pada hati ni tentang hakikat solat dhuha.alhamdulillah. Ketika di sana, pengarah urusan syarikat kami menyuruh para pekerja melakukan solat dhuha. Beliau sendiri mengamalkan solat dhuha..saya terkesan dengan tarbiyah yang diterapkan.. dari situlah hati ni terdidik dan mula terbuka untuk mengamalkan solat dhuha.

Jika 10 minit didarabkan dengan 60 orang pekerja, jadi, 10 jam masa telah terbuang, dan ini akan menjejaskan productivity syarikat, bagaimana pula jika 10 jam itu didarabkan dengan seminggu, sebulan?..tapi beliau tak kisah akan hal ini kerana yakinnya beliau akan kelebihan solat dhuha. Produk kesihatan yang dihasilkan terbukti kepada pelanggan, pelanggan juga bertambah.. inilah berkat dari pengamalan solat dhuha (^_^)

Pergi ke Mid Valley hari tu, masuk sekejap ke MPH (rasa tenang di situ)..(^_^), akhirnya tangan ni digerakkan untuk mencapai buku Magnet Rezeki Dengan Solat Duha..mungkin Allah mahu saya makin mengenali dan mencintai solat dhuha (^_^)

“ Dalam tubuh manusia terdapat 360 sendi yang setiap satu daripadanya wajib mengeluarkan sedekah. Lantas para sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, siapa yang mampu melakukan hal itu?’ Nabi menjawab, ‘Sepercik kahak di dalam masjid yang kau bersihkan dan benda di tengah jalan yang mengganggu laluan orang yang kamu singkirkan, adalah sedekah. Apabila kamu tidak mampu melakukannya, maka solat duha dua rakaat mencukupi kewajiban sedekahmu’. (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hiban daripada Buraidah)

“Setiap sendi kamu pada setiap hari mengeluarkan sedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil itu adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, mengajak kepada kebajikan adalah sedekah dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Semua amalan itu boleh diganti dengan mengerjakan solat duha dua rakaat” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Dzar)


Solat dhuha merupakan magnet rezeki. Moga kita dapat menyingkap tirai rahsia Ilahi (^_^)

-Cahayahati88-

Wednesday, February 17, 2010

Daaiman Fi Qalbi

Begitu terasa persahabatan yang dibingkai dengan indahnya ukhuwah Islam..saling mengingatkan apabila diri kita terasa goyah, saling menegur apabila kita terasa seakan kita sahaja yang betul, berhikmah tanpa melukai perasaan, saling memahami apabila kehendak kita tidak dipenuhi, menghormati dan menghargai, kejujuran dan ketulusan…subhanallah indahnya..

Itu sekadar monolog hati daripada seorang insan yang punya banyak kelemahan, yang dirinya sentiasa mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Ilahi, itulah monolog hati saya..tapi saya sedar bahawa manusia itu tidak sempurna kerana hanya DIA YANG MAHA SEMPURNA.

Lukisan hidup ini makin dipenuhi dengan warna-warni..sebelum nampak cantiknya warna-warni tu, pelbagai warna perlu dilakar, aha..saya suka warna biru, merah hati dan hijau tapi mengapa tercalit juga warna hitam, kelabu dan oren?..hati kecil berbisik “ mungkin pada penglihatanmu, ia tidak cantik, tapi lama-kelamaan warna-warna itulah yang menambah serinya warna-warni hidupmu”..hati besar menunduk, malu dengan kata-kata hati kecil.

~Selagi kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain… itu petanda kau sendiri tidak bahagia. Kau mesti bahagia melihat “musuh-musuh”mu bahagia. Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenang perbuatan mereka. Dan paling derita, jika kau merasakan mereka sedang membina istana kebahagiaan di atas tapak kedukaanmu!

Wahai diri, ingatlah, segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua. Jika datang orang “menghadiahkan” air mata… Allah sedang mendidikmu tentang sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi “sebab”, lihat dengan mata hati yang Allah jua yang menjadi “musabbabil asbab”.

Jika kau di sakiti oleh mereka, DIA sedang mengajarmu erti reda. Kita bukan malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar insan. Namun, ada ketika-ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan… tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.~ kata-kata daripada Ustaz Pahrol.


Saya bersyukur pada Ilahi kerana Dia menghadirkan teman-teman yang selalu menemani setiap langkah saya..terima kasih kepada teman yang mengingatkan agar memaafkan kesalahan insan, terima kasih kepada teman yang selalu mendengar kisah-kisah saya, terima kasih kepada teman yang selalu bertanya khabar, terima kasih kepada teman yang menghiburkan, terima kasih kepada teman yang memberikan jalan penyelesaian, terima kasih kepada teman yang selalu memberikan sokongan, terima kasih kepada teman yang kesedihanku adalah kesedihannya.. Ya Allah, peliharalah insan-insan yang ku kasihi dalam jagaan dan kasih-sayangMu..

Biarlah masa menentukan nilai ukhuwah yang terbina..Saya dah tak boleh taip kerana air mata menitis lagi..

-Cahayahati88-

Wednesday, February 10, 2010

MTE 2010

Allah Maha Bijaksana, segala keagungan adalah milikNya. IlmuNya Maha Luas, tidak terbatas. Ilmu manusia sangat terbatas. Sehebat manapun penemuan manusia, ia masih memerlukan suatu jangka masa yang lama untuk sampai kepada penemuan tersebut. Sehebat manapun penemuan manusia di dunia, masih banyak lagi rahsia-rahsia alam yang masih terpendam.

Alhamdulillah, saya diberi peluang oleh pensyarah saya, Prof. Rosna untuk menyertai Malaysia Technology Expo ataupun ringkasnya MTE 2010 yang diadakan di Putra World Trade Centre bermula pada 4 hingga 6 Februari yang lalu. Ni pengalaman pertama saya menyertai expo yang besar bersama-sama dengan student master. Syukur, Alhamdulillah apabila kami berjaya mendapat Bronze Medal Award pada expo kali ni = )

Kami membawa tajuk 'Miniature Garden of In Vitro Planlets Derived from Somatic Embryos of Ornamental Plants'.


Lihatlah taman-taman mini ni, cantik dan menyejukkan mata = ) pokok-pokok ni dihasilkan melalui kaedah kultur tisu and can be commercialized as gifts, interior decorative item and also as scientific handicraft. Rasa seronok apabila dapat menerangkan kepada pengunjung mengenai research kami. Ada yang tak percaya apabila mereka lihat pokok kami macam pokok plastik..jangan rosakkan pokok kami ye sebab pokok kami memang pokok betul. =)




Prof boleh tak saya ambil satu nak letak kat meja study = )

Mari saya terangkan apa tu kultur tisu..Secara umumnya, kultur tisu adalah satu kaedah di mana sebahagian kecil tumbuhan diambil daripada daun, batang, akar ataupun sel-sel walaupun saiznya sebesar 5mm dan ia diletakkan di dalam medium kultur untuk tumbesaran, di bawah keadaan steril iaitu bebas daripada bacteria, fungi mahupun virus. Tanah digantikan dengan medium kultur yang mengandungi agar yang telah dicampurkan dengan nutrient-nutrien dan hormone tumbesaran tertentu yang diperlukan oleh tumbuhan.

Dalam bidang bioteknologi tumbuhan, banyak faedah yang dapat diperoleh melalui kaedah kultur tisu. Contohnya, tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan seperti herba dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan cepat. Kaedah kultur tisu ni juga menghasilkan tumbuhan yang bebas daripada penyakit dan seterusnya dapat menghasilkan buah mahupun bunga yang lebih banyak dan seragam, juga dapat menghasilkan pokok yang lebih segar..Subhanallah!

-Cahayahati88-

Adikku sayang













Hadirmu mengubat kedukaan dijiwa,
Penghibur hati keluarga jua semua,
Anugerah berharga dari yang Esa,
Kebahagiaan tersulam ceria..

Sudah tercatat sejak azali,
Hati redha ketentuan Ilahi,
Dirimu pengganti abangmu yang pergi,
Menjadi memori di kehidupan ini..

Adikku sayang,
Manis senyummu terukir mesra,
Derai tawamu penyeri suasana,
Telatahmu menyentuh rasa,
Hati bertasbih syukur padaNya..

Ku cipta kalimah indah,
Tanda kasihku untuk adikku sayang,
Agar dirimu mengerti harapan yang tersimpan,
Ingin ku lihat langkahmu teguh di persada kehidupan,
Menjadi pemuda beriman yang diredhai Tuhan..

Muhammad Aiman,
Tulus wajahmu ku lihat tak gundah,
Suci hatimu seawal fitrah,
Akan ku bimbingmu melakar kisah,
Agar hidupmu dihiasi mahmudah..

Moga kelak dirimu kan mengerti,
Erti kehidupan yang abadi,
Jadilah dirimu anak yang berbudi, insan yang sejati
Yang punyai kekuatan hati,
Mengasihi Ilahi jua mengasihi family.. = )

-Cahayahati88-

Sunday, January 31, 2010

Jadikan Allah Cinta Pertama


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Melihat sekeliling dan mendengar cerita-cerita mengenai cinta yang melanda jiwa remaja menyebabkan hati saya tergerak untuk menulis mengenai cinta. Bimbang memikirkan adik-adik di rumah yang sedang membesar menjadi remaja, moga Allah menjadikan adik-adik saya, adik-adik kalian, saya dan kalian insan yang cemerlang di dunia dan akhirat..ameen.

Cinta itu adalah fitrah hati yang datang tanpa diminta dan dipaksa. Perasaan untuk menyayangi dan disayangi itu merupakan fitrah kurniaanNya. Lihatlah alam, kita akan dapat merasai betapa hebatnya kurniaan Allah ini. Cas positif dan negative akan saling menarik, medan magnet kutub utara dan selatan tak kan menolak, tanpa anther dan stigma flower pollination tidak boleh terjadi. Kejamlah kita jika menolak bulat-bulat akan kehadiran perasaan itu kerana tanpa cinta, manusia boleh bertukar menjadi syaitan, membunuh dengan kejam, dunia porak peranda, keganasan bermaharajalela. Dengan cinta, yang keras boleh menjadi lembut, yang jahat menjadi baik, duka menjadi suka, lemah menjadi kuat, buruk menjadi cantik.

Cinta itu boleh menjadi sesuatu yang sangat indah dan boleh juga menjadi sesuatu yang sangat menyakitkan. Memang setiap yang enak dan indah itu ‘memabukkan’. Apalagi jika diteguk keterlaluan dan tanpa peraturan. Gula yang manis itu pun, jangan diambil berlebihan. Begitulah juga dengan cinta. Bila mabuk kita tak sedar, tak nampak dan tak pasti. Yang dilihat hanya yang indah-indah sahaja. Umpama sesuatu yang amat dekat di mata, tidak akan jelas kelihatan, tapi apabila dijauhkan sedikit, barulah jelas kelihatannya.

Cinta yang suci adalah hubungan hati yang terbentuk atas asas yang konkrit, tujuan yang suci, pelaksanaan yang bersih dan hasilnya yang mulia. Seorang insan tak dapat lari daripada punyai naluri untuk menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah yang telah Allah berikan kepada kita, secebis dari sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tidak salah jatuh cinta, yang salahnya adalah apabila kita tidak tahu untuk mengawal perasaan cinta itu dari menguasai dan beraja di hati. Sematkan dan selalu ingatkan hati agar mencintai Allah dan Rasul lebih daripada cinta kita kepada makhluk. Inilah cinta yang hakiki dan abadi. Tapi kita sering melihat ramai manusia telah terleka dengan cinta sesama manusia.

Seringkali saya berfikir, terfikir, dan merenung akan hakikat ini. Dalam hati, selalu berdoa agar fitrah yang ada itu dapat diuruskan dengan sebaiknya. Sering bertanya, adakah kita kuat untuk menghadapinya? Di dunia akhir zaman ini, iman kita hanyalah senipis kulit bawang..malah lebih nipis dari itu..

Cinta manusia diagung-agungkan dalam lagu..melodinya mampu membuai perasaan si pendengar. Jiwa remaja begitu mudah hanyut dengan lagu-lagu cinta. Kadangkala saya bimbang akan keadaaan ini..tanpa kita sedari, lirik lagu yang kita alunkan itu telah meletakkan Allah di tempat yang kedua! Orang yang dicintai dan dikasihi ditempat yang pertama..nauzubillah.

Kadangkala kita merasakan kuat menghadapinya. Kita sangkakan kita teguh, tapi rupanya kita rapuh..sedarlah wahai diri, bahawa kamu ada musuh, musuh yang sentiasa ada denganmu. Iaitu syaitan laknatullah, yang sentiasa dan tidak jemu berusaha untuk melalaikan hati-hati manusia. Apabila hati manusia berjaya dilalaikan daripada mengingati yang Esa dan lebih mengingati makhluk yang lain, maka syaitan pun bersorak gembira. Sedikit demi sedikit, kita jauh dariNya.

Tanyalah pada hati dengan sejujurnya, kerana kebaikan itu akan menyebabkan hati menjadi tenang dan tenteram, sedangkan kejahatan akan membawa kepada kegelisahan.Jika hati tidak tenang, maka selidiklah akan perbuatan dan amal kita, pasti ada yang tidak kena, kadangkala hati kita sendiri yang tidak mahu mengakuinya kerana nafsu telah mengusai iman. Jika apa yang kita lakukan itu mula terpesong dan melalaikan hati, maka pandai-pandailah tekan brek dan kawal stereng.

Padaku, cinta yang sejati tidak akan melalaikan, tidak akan melekakan
Sentiasa saling mengingatkan agar
lebih mencintai yang Maha Pencipta Cinta
Menjaga batas pergaulan selagi syariat tidak menghalalkan
Jelas dengan tujuan, syariat menjadi sandaran
Hati tenang dan tenteram, redha dengan segala kemungkinan..


-Cahayahati88-

Sunday, January 17, 2010

To my dear friend



To my dear friend, Cik Hana
I luv u because of Allah,
Uhibbuki fillah,
This is for u,
Hope our ukhwah is like a circle
That goes on and on for a lifetime…

Kehidupan ini seperti sebuah sekolah, kita akan terus belajar dan belajar daripada setiap peristiwa yang berlaku sehinggalah saat kita dipanggil kembali kepada-Nya..Alhamdulillah..terima kasih ya Allah kerana masih mengekalkan ukhwah kami ini..

Terima kasih atas perkongsian dan nasihatmu..hidayah Allah itu umpama hujan..yang akan tumpah pada setiap tempat, penjuru dan ceruk. Tak kira di mana kita berada, baik di negara sendiri mahupun negara orang. Allah akan sentiasa menemani. Kerana Allah Maha Melimpah-limpah rahmat dan kasih sayangNya..setiap detik..setiap saat. Mungkin kita sahaja yang tidak menyedari kerana kelalaian hati dan diri kita sendiri. Dan tadahan bagi hujan hidayah itu adalah hati-hati manusia. Terpulang pada kita untuk membuka tadahan hati kita atau menutupnya..Saya yakin kamu juga dapat merasainya kini..Alhamdulillah..

Saya ada bingkisan buat kamu yang berada di sana..semoga hari-harimu sentiasa diisi dengan terbiah dariNya..bingkisan ini datang dari sebuah novel yang saya baca ‘Mukjizat Cinta’. Ingin sangat rasa hati untuk kongsikan dengan kamu serta sahabat-sahabat yang lain..

Tatkala kamu menjerit disebabkan beratnya penganiayaan, maka kamu tidak akan mendengar selain pantulan suaramu sendiri. Ketika kamu mengeluh kerana sakit, maka kamu tidak akan mendengar selain gema keluhanmu. Tatkala mengalir dari kedua matamu air mata akibat kekalahan, maka ketahuilah bahawa kamu memiliki anak panah yang tajam yang tidak deketahui oleh orang yang menganiaya, namun tidak pernah luput dari pengetahuan Tuhan orang-orang zalim tersebut. Anak panah yang tajam itu adalah anak-panah yang meluncur dari busur doa-doamu, di saat kamu melantunkan kata : Ya Rabbi!!

Tatkala dosa-dosamu membentuk suatu bendungan yang menghalang antara kamu dengan cahaya dan ketika kesalahan-kesalahanmu menjadi suatu pengikat yang mencegahmu untuk bersegera menuju kebaikan, dan disaat penghalang itu semakin tinggi dan kunci-kunci semakin kuat, maka ketahuilah yang kamu masih mempunyai Tuhan yang Maha Pengampun dosa-dosa, bila Dia mendengar jeritan doa : Ya Rabbi!!

Tatkala kamu menempuh jalan-jalan, lantas kamu menemui bahawa jalan-jalan itu telah tertutup, kamu mengetuk pintu-pintu dan pintu-pintu tersebut telah berkunci, dan kamu mengharapkan bantuan dari orang yang boleh memberikan bantuan, namun tidak ada seorang pun yang boleh menolong kecuali orang yang lemah, maka ketahuilah bahawa semua pintu telah tertutup supaya kamu mengetuk pintuNya. Dipotong semua tali supaya kamu berpegang pada taliNya. Bahawa Dia menyukai orang yang mengalunkan seruan : Ya Rabbi!!

Semoga persahabatan kita diredhai Ilahi = )

-Cahayahati88-

Saturday, January 9, 2010

Silat Cekak Hanafi


Mempelajari ilmu seni mempertahankan diri sudah menjadi minat saya semenjak di sekolah menengah lagi. Ia datang dengan sendiri, natural. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menganugerahkan minat ini kepada saya, hambaNya yang lemah..

Tapi, saya hanya pendam sahaja minat tersebut kerana pada ketika itu, jalan untuk saya mempelajari ilmu ini bagai tidak kelihatan. Sehinggalah saya memasuki alam university, menjejakkan kaki ke University Malaya. Ketika di tahun kedua pengajian, di semester 4, syukur sekali lagi kepadaNya apabila saya bernasib baik berjaya mendaftarkan diri dalam online registration bersama tiga kawan yang lain. Walaupun pada awalnya, hampir tiada lagi kekosongan, akhirnya, kami berjaya juga menempatkan diri dalam kelas Seni Silat Cekak Hanafi.

Semangat untuk saya terus mempelajari silat ini adalah juga datangnya daripada sahabat baik saya, Fatin. Rupanya sahabat baik saya ini lebih advance daripada saya.. = ) Tahniah kepadanya kerana berjaya sampai ke ijazah tamat, dengan memakai tali pinggang putih. Dialah yang banyak memberikan saya nasihat dan pandangan untuk saya memilih seni mempertahankan diri mana yang sesuai.

Bagi saya, Seni Silat Cekak Hanafi ni sangat menarik. Ia berbeza dari seni mempertahankan diri yang lain. Mudah untuk saya katakan, silat cekak hanafi ni sangat sesuai untuk dipelajari oleh wanita. Kedudukannya menanti serangan musuh, adalah dalam keadaan berdiri sahaja, seperti berdiri di dalam solat. Cara berdiri mempertahankan diri dan kaedah-kaedah asas menangkis serangan adalah berasal daripada gerak- geri semasa bersembahyang. Ia adalah gerakan semulajadi manusia . Tiada kekuda ataupun bunga-bunga silat yang lain. Oleh sebab itu, apabila musuh menyerang di atas titi pun, kita masih boleh menangkis serangan tersebut kerana berdiri tidak memerlukan ruang yang banyak. Setiap ‘buah silat’ yang diajar juga mempunyai nilai-nilai positifnya yang tersendiri.

Kaedah tendangan dalam silat ini juga tidak akan lebih daripada paras pinggang. Tendangan tidak akan sampai ke muka musuh, kerana dalam silat ini, kita berpegang kepada walaupun orang itu adalah musuh tetapi kita masih menghormatinya sebagai manusia.

Banyak yang saya pelajari sepanjang menyertai silat ini. Ia mengasah sifat berani, berdisiplin dan yakin dalam diri. Silat bukan sekadar mengajar saya kaedah mempertahankan diri tetapi ia juga menerapkan pelbagai nilai positif yang lain. Seorang ahli silat sekak hanafi perlu berpegang kepada lima janji bahawa dia tidak akan derhaka kepada guru, tidak akan derhaka kepada ibu, tidak akan derkaha kepada ayah, tidak akan bergaduh sesama ahli dan tidak akan menghina seni silat melayu yang lain.

Walaupun saya tidak cukup ‘inci’ bak kata seorang tenaga pengajar saya, tapi itu bukan halangan. Ramai sahaja yang lebih kurang saya tingginya berjaya sampai ke ijazah tamat. Kepada kaum perempuan, saya galakkan untuk kalian mempelajari seni mempertahankan diri ini. Bukan untuk berbangga ataupun untuk menyaingi kaum lelaki, tak, jauh sekali. Bak kata orang dulu-dulu, malang tidak berbau..jadi adalah lebih baik jika kita memiliki ilmu mempertahankan diri sedikit sebanyak. Kes kecurian, ragut, rogol, bunuh, pecah rumah dan bermacam-macam lagi jenayah makin berleluasa dan tak dapat dijangka kedatangannya. Bukan hanya meminta tolong, tapi kita juga perlu bertindak sedaya yang boleh. Bukan hanya berharap bantuan daripada lelaki, tapi kita juga perlu sama-sama bertindak untuk lebih menyelamatkan keadaan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sehingga akhir semester lepas, untuk kali ke-3 berturut-turut kami berjaya menjadi johan bagi kategori umum (demonstrasi ) bagi pesta Ko-kurikulum Universiti Malaya. Terima kasih kepada barisan tenaga pengajar yang tak jemu –jemu melatih kami dan terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang bertungkus- lumus berlatih. Tapi saya agak sedih, kerana tidak dapat bergambar bersama-sama mereka pada hari bersejarah tersebut. Kerana, sejurus selepas persembahan, saya perlu bergegas ke fakulti untuk menduduki mid- sem test.. walaupun begitu, kejayaan dan pengalaman sepanjang menjalani latihan silat ini pasti akan menjadi kenangan manis bagi saya apabila sudah grade nanti = )

-Cahayahati88-