Sunday, August 21, 2011

Pasti



Bila ada di depan mata, susah sekali untuk disyukuri. Bila hilang tidak kembali, baru terasa sangat bererti.

Hari ini, Allah telah mengingatkan saya mengenai beberapa perkara:

1)Hargai ayah dan ibu selagi mereka masih ada di dunia.
2)Berdoa agar diri dapat merasai kehadiran saat kematian sekiranya ia telah hampir
menjemput agar dapat membuat persediaan terakhir.
3)Berdoa agar mendapat khusnul khatimah, mati dalam keadaan yang Allah redha.

“Nanti bila kamu ada anak, didik anak kamu dengan agama. Pentingkan agama dahulu. Ajar mereka kenal Al-Quran. Ada duit yang banyak pun, kalau takde agama, tak guna juga..”.

Itu kata-kata daripada arwah ayah Kak Azrina di saat-saat akhir kehidupan ayah beliau di dunia. Pesanan itulah yang Kak Azrina sangat-sangat ingat.

Sedikit kisah mengenai arwah ayah Kak Azrina sebagaimana beliau menceritakannya kepada saya pagi tadi :

Arwah telah menghidap kencing manis selama lebih kurang 20 tahun dalam hidupnya. Dan selama itu, Arwah mengawal pemakanannya dengan baik , menggunakan caranya sendiri daripada memakan ubat-ubat pemberian doktor.

Tetapi apa yang telah tersurat sejak azali tiba jua. Ada ketuat kecil tumbuh di kaki. Arwah pun mencabutnya kerana ketuat itu sangat kecil. Tetapi lama-kelamaan kawasan itu bernanah dan luka yang terjadi semakin besar. Infection yang berlaku menyebabkan jantung juga mengalami masalah.

Arwah memang sejak dahulu sangat suka bercakap mengenai agama. Kalau bercakap sentiasa mengenai agama dan tak henti-henti.

Di saat kematian arwah, arwah seolah-olah dapat merasa bahawa ajalnya semakin dekat. Arwah berpuasa 3 bulan berturut-turut, Rejab, Syaaban, Ramadhan. Dalam keadaan yang kurang sihat, tambah pula di suatu hari, jatuh birthday cucu arwah, iaitu anak Kak Azrina yang bongsu, Sofea.

“Kenapa ayah puasa hari ni? Kan hari ni birthday Sofea.” Kak Azrina bertanya kepada ayah beliau kerana beliau mahu menyambut birthday Sofea pada hari itu dan mereka sekeluarga sememangnya sangat rapat.

Dan apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu tak perlu tahu kenapa ayah puasa. Ini urusan ayah dengan Allah”.

Semasa di hospital, arwah sedang tenat. Terpaksa memakai alat bantuan pernafasan sepanjang masa. Tetapi, kuasa Allah, dua tiga hari sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir, arwah sihat tiba-tiba dan dapat bercakap tak henti-henti seperti orang yang tidak menanggung sakit apa pun. Jadi, mereka sekeluarga sangat gembira dan menyangkakan arwah akan dapat pulang ke rumah tidak lama lagi.

Kak Azrina pun menyatakan nazar beliau, jika ayah beliau dah sihat dan dapat pulang ke rumah nanti, Kak Azrina mahu pakai tudung. Pada ketika itu, Kak Azrina masih belum memakai tudung.

Tapi apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu jangan berharap yang ayah akan pulang ke rumah lagi.”

Pada ketika arwah sihat tiba-tiba itulah, arwah menyampaikan banyak pesanan. Di antara pesanan arwah yang membuatkan air mata Kak Azrina mengalir saat beliau bercerita kepada saya ialah ayah beliau meminta untuk anak-anaknya membuatkan haji untuknya kerana arwah tidak sempat pergi haji.

Kak Azrina berkata, ketika ayah beliau masih ada, beliau tidak begitu ambil pusing akan apa yang ayah beliau kata. Dengar-dengar juga tapi tak begitu tersemat di hati. Tetapi kini, bila ayah beliau sudah tiada, beliau sangat merindui arwah dan sering teringat pesanan-pesanan arwah.

Perbualan kami pagi tadi, hampir-hampir membuatkan air mata saya juga mengalir, kalaulah saya tidak menahannya.

Saya sentuh tangan Kak Azrina, cuba menenangkan beliau dan berkata,

“Sungguh Kak, bila Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah pasti akan berikan kita sesuatu yang lain pula, kadang-kadang sesuatu yang lebih besar. Sekarang akak pun lihat kan, akak dah dapat pakai tudung dengan konsisten. Kakak akak pun dah berubah, jadi muslimah pula tu.. =)”

Walaupun saya tak pernah berjumpa dengan ayah Kak Azrina,namun saya berasa arwah seorang yang hebat dan sangat beruntung kerana dapat merasai akan kehadiran ajalnya beberapa bulan sebelum itu dan dapat membuat persediaan yang terakhir. Arwah dapat meninggalkan banyak pesanan, nasihat dan wasiat buat mereka yang masih hidup. Arwah juga dapat berpuasa bagi memudahkan jenazahnya diuruskan kelak. Suatu rahmat yang tidak semua orang memperolehnya. Subhanallah..

Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan hamba-hambaMu yang soleh.

Terima kasih ya Allah kerana mengingatkanku kepada hari yang pasti itu.

Terima kasih Kak Azrina kerana berkongsi cerita dengan saya.

Kami bersalam dan saya memeluknya. Tanda kasih seorang adik kepada kakak. Mereka sekeluarga akan berangkat ke London dan mungkin juga ke Paris seminggu selepas raya. Sebulan lebih kami tidak akan bertemu dan pasti saya akan merindui mereka sekeluarga lebih-lebih lagi Sofea, Adhlina dan Adhlan.

Semoga selamat perjananan dan kembaramu di bumi Allah ini. Amin.

-Cahayahati88-

Monday, August 15, 2011

Mencontohi Tawakal Ayah

Sebulan sekali saya mesti akan pulang. Seperti biasa, ayah akan menjemput saya di Stesen Bas Melaka Central. Boleh saja jika saya menaiki bas ‘ting tong’ yang akan berhenti di simpang tidak jauh dari rumah. Tapi saya lebih suka jika ayah menjemput saya terus di Melaka Central kerana lebih menjimatkan masa.

Kalau menaiki bas ‘ting tong’ mahu saja hampir 1 jam baru tiba di rumah sedangkan perjalanan sebenar hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja kalau menaiki kereta dengan syarat ayahlah yang bawa..huhu . Ayah memang pandu laju tapi cekap. Kami adik-beradik lebih rasa selamat berbanding kalau emak yang pandu. Namun emak tetap berani di hati kami ! =)

Di dalam kereta, ayah suka bercerita tentang apa yang telah berlaku. Selalunya ayah akan bercerita tentang hal-hal berkaitan keluarga kami, tentang perkembangan adik saya yang bongsu, Aiman, juga mengenai hal pekerjaan ayah.

Semasa zaman ayah budak-budak, datuk saya bukanlah orang senang. Tidak kaya tetapi tidaklah terlalu miskin. Ayah berhenti sekolah semasa di tingkatan satu dan pergi mengikut datuk dan paklong saya berdagang ke Negeri Sembilan. Mencari rezeki. Nenek dan adik-beradik ayah yang lain menjaga lembu di kampung. Walaupun ayah tidak berpelajaran tinggi, tidak masuk universiti dan tidak ada ijazah macam orang sekarang, tapi kami sekeluarga tetap cukup makan dan pakai hasil tulang empat kerat ayah bekerja.

Semasa saya dan kakak masih kecil, ayah bekerja mengambil upah membawa ‘bulldozer’ orang. Kami adik beradik memanggil benda itu ‘enjin bajak’..huhu. Ada orang memanggil benda itu ‘sodok’ kerana kerjanya asyik menyodok tanah. Daripada pengalaman bekerja makan gaji dengan orang, ayah memulakan perniagaan sendiri. Ayah membeli ‘bulldozer’ ayah sendiri melalui pinjaman bank.

Saya melihat banyak jatuh bangun ayah dalam perniagaan. Ayah pernah menanggung hutang yang mencecah puluhan ribu akibat sedikit kecuaian terhadap geran hak milik bulldozer yang ayah jual. Hutang tunggakan bayaran bulanan bulldozer kepada pihak bank dipalit kepada ayah oleh si pembeli yang tidak bertanggungjawab. Ayah terpaksa meninggalkan kami berhari-hari untuk menjejak kembali bulldozer tersebut di utara. Selepas susah payah turun naik bank, akhirnya masalah besar itu berjaya ayah selesaikan.

Suatu ketika akibat kemelesetan ekonomi negara, ayah bekerja mencari dan menjual besi-besi buruk. Tin-tin susu dan minuman kami kumpul untuk ayah jual. Ayah memang cekal dan berani menghadapi risiko.

Sekarang perniagaan ayah agak baik. Ayah sudah mempunyai lori kren yang jarang-jarang dipunyai oleh orang Melayu. Puas ayah cari tapi tiada satu pun orang Melayu yang ada lori kren seperti ayah di Melaka, yang ada kepunyaan orang Cina ataupun India. Ayah beli bulldozer secondhand, baiki mana yang rosak dan jual semula. Ayah beli mesin pembancuh simen dan forklift. Ayah jual semula forklift dan beli pula mesin pemecah batu. Pandai ayah bermain modal.

Saya kagum dengan sifat tawakal ayah. Dalam berniaga, ayah tidak akan mengambil duit muka dahulu walau satu sen pun. Katakan, ada orang meminta ayah untuk menghantar barang-barang menggunakan lori kren dari Melaka ke Shah Alam, selepas barang-barang selamat sampai dan diturunkan di Shah Alam, barulah ayah akan terima upah perkhidmatan sewa lori kren itu.

Begitu juga kalau ayah meratakan tanah orang menggunakan bulldozer, ayah akan mengambil bayaran hanya selepas kerja siap sempurna.

Pernah seorang customer berasa kagum dengan ayah. Rupa-rupanya customer tersebut ada ‘link’ dengan TNB . Dia memberitahu ayah yang selama ini dia menggunakan lori kren milik bangsa lain. Kadang-kadang dia tertipu. Duit muka sebanyak dua kali ganda telah dibayar, tapi lori yang ditunggu-tunggu untuk mengangkut barang masih tidak muncul. Dia terlihat iklan ayah di internet,jadi customer itu cuba-cuba untuk menggunakan perkhidmatan sewa lori kren ayah pula dengan harapan 'orang islam, moga-moga boleh dipercayai'.

Kebanyakkan tauke-tauke akan meminta dua kali ganda daripada bayaran sebenar. Selepas mesin dipulangkan barula duit muka itu akan dipulangkan.

Saya menduga ayah kenapa ayah tidak berbuat sebegitu. Tidakkah ayah takut jika ditipu?

Ayah menjawab, "Kalau ayah minta bayaran dahulu atau ambil duit muka dua kali ganda, akan bertambah beban kepada mereka yang tiada modal. Lain kali mereka tak nak sewa mesin atau lori ayah lagi. Ayah tawakal pada Allah, kita dah buat kerja. Kalau ada rezeki kita, Alhamdulillah, kalau katakan mereka nak tipu, berserah.."

Di dalam kereta, ayah bercerita mengenai customer itu. Mahu berlinang air mata saya pada sifat tawakal ayah dan limpahan rezeki Allah pada kami sekeluarga.

Ayah tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh, bukan tawakal yang tak tentu pasal. Terima kasih ayah. =)

Menggunakan lori inilah ayah mencari rezeki.

Antara salah satu mixer ayah.

Kenangan forklift ayah.

-Cahayahati88-

Monday, August 1, 2011

Ramadhan Pertama



Nenek tua itu perlahan-lahan melangkahkan kaki menaiki anak tangga. Tangannya memaut pada penghadang tangga yang sedikit sebanyak dapat memberikannya kekuatan untuk sampai ke atas. Ada 3 tingkat kesemuanya. Ruang solat jemaah lelaki dan wanita ada di tingkat kedua manakala di tingkat paling atas adalah ruang solat untuk wanita sahaja. Semalam kali pertama saya memasuki Masjid Bulat yang terletak di seksyen 14 Petaling Jaya, lebih kurang 10 minit sahaja dari rumah kalau menaiki kereta dan kalau tidak sesak.

Melihatkan nenek tua itu, hati saya terdetik..jika nenek yang sudah tidak berapa upaya ini pun masih boleh dan mahu pergi solat terawih, inikan pula orang muda seperti saya. Sungguh malu rasanya pada diri sendiri kalau punya rasa malas. Seperti sabda nabi kita, Muhammad S.A.W , "rebutlah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara, iaitu masa mudamu sebelum datangnya hari tua, masa sihatmu sebelum kamu dilanda sakit, masa kayamu sebelum jatuh miskin, masa lapangmu sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidupmu sebelum datangnya kematian" ..

Terasa damainya hati bersolat terawih. Di tambah pula dengan infrastruktur masjid yang telah dipertingkatkan. Ada air-cond dalam ruang solat. Kata kak Syahadah, kakak sebilik saya, “kalau tahun lepas panas ni.ada kipas je..huhu”. Alhamdulillah syukur dengan nikmat Allah pada tahun ini. Keadaan bertambah selesa, bak kata nazir masjid, Prof Zul, tiada lagi la alasan untuk kita balik awal.. kalau balik awal pun apa yang kita buat..borak-borak, makan lagi dan lepas tu tidur..ha siapa macam tu ye.. Don’t 3x . =)

Selamat mentarbiyah diri sendiri di bulan ramadhan ini. Moga bertemu lagi..InsyaAllah.

-Cahayahati88-

Kata Hikmah



Pandanglah ke bawah untuk sedar nikmat yang melimpah
Pandanglah ke atas untuk insaf amalmu yang terbatas..

-Cahayahati88-