Monday, November 28, 2011

Lebih Baik Terhutang Budi

Lebih baik berasa ‘terhutang budi yang diberi’ daripada berasa ‘meminta budi kembali’.

Itulah kesimpulan saya seusai perbualan dengan adik di telefon.

Apabila kita meminta pertolongan daripada seseorang, dan orang tersebut pun menolong kita dengan rela hati, ‘sepatutnya’ kita mempunyai rasa yang kita telah terhutang budi kepada orang yang telah menolong kita itu.

Lebih-lebih lagi ‘sepatutnya’ jika orang yang menolong kita itu sanggup memenuhi permintaan kita sedangkan pada masa yang sama dia ada kerja lain yang perlu dibuat ataupun dia akhirnya memenuhi permintaan kita juga setelah kita memujuk dia.

Jika kita yang meminta pertolongan daripada seseorang ataupun kita meminta dan memujuk seseorang untuk memenuhi permintaan kita, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.

Dua patah perkataan itu, ‘terima kasih’ bukanlah susah sangat untuk dilafazkan dan dua patah perkataan itu tidak merendahkan maruah diri kita sedikit pun.

Jadilah seorang yang suka mengucapkan terima kasih jika anda ingin menjadi seorang yang disenangi.

Santunilah diri kita terlebih dahulu sebelum kita meminta seseorang menyantuni kita.

Keadaan itu adalah apabila kita yang meminta permintaan kita dipenuhi TETAPI jika kita yang memberikan budi kita kepada orang, jangan pula kita mengharapkan terima kasih daripadanya.

Jika kita mengharapkan terima kasih daripada manusia, kita boleh menjadi seorang yang sakit jiwa kerana tidak semua manusia tahu berterima kasih.

Haraplah keredhaan Allah terhadap kita semata-mata.

Di dalam situasi berhadapan dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu, jangan dilayan rasa sakit hati yang kita rasakan. Jika kita biarkan hati kita berasa sakit hati kerana apa yang kita berikan tidak dihargai, samalah ertinya dengan kita melukai hati kita sendiri.

Kita akan jadi tidak tenang dan mudah marah.

Haraplah agar Allah redha terhadap budi yang telah kita berikan kepadanya itu, bimbang diri kita terjatuh dalam jurang riak yang membakar hangus pahala dan membumbungkan rasa bangga diri.

Dalam masa yang sama, berwaspadalah dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu.

Jika mahu membenci, bencilah pada akhlaknya yang buruk itu, tetapi janganlah membenci dirinya kerana dia juga manusia yang boleh berubah.

Jadilah seorang yang sensible.

Sebagai contoh, jika kita mengajak rakan kita untuk keluar menemani kita makan kerana kita berasa tersangat lapar, bayarlah sekali harga makanan yang telah dipesan oleh rakan kita itu. Jangan meminta untuk dia membayar sendiri harga makanan yang telah dipesannya itu dan ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemani kita makan.

Jika rakan kita terhutang kita beberapa sen sahaja, janganlah kita berkira sangat.

Jika kita menumpang kereta rakan kita, berilah duit minyak kepadanya sebagai tanda kita seorang yang tahu berterima kasih.

Jika kita pula yang memberi tumpang, elakkanlah daripada meminta rakan kita itu membayar duit minyak kereta kita kecuali kita telah memberitahunya terlebih dahulu bahawa kos perjalanan perlu ditanggung bersama.

Di akhir perbualan, saya berpesan kepada adik saya supaya jangan mengharapkan terima kasih daripada orang dan berhati-hati lain kali dengan orang yang tidak tahu berterima kasih.

Lebih baik kita ‘rasa terhutang budi’ daripada ‘meminta budi kita kembali’.

InsyaAllah, kita akan disenangi penduduk langit dan bumi.

-Cahayahati88-

Sunday, November 27, 2011

Perniagaan Yang Tidak Ada Rugi



Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak ada kerugian." (Surah Faathir, ayat 29)

-Cahayahati88-

Saturday, November 26, 2011

Tahun 23 Yang Manis

22 November 2011 bersamaan 26 Zulhijjah 1432 Masihi, genaplah saya berumur 23 tahun.

Alhamdulillah, Allah memberikan saya kesempatan untuk terus bernafas lagi di atas bumiNya ini. Saya tidak tahu bila waktu saya akan berakhir. Mungkinkah esok, lusa, tahun hadapan, 10 tahun lagi, saya tidak tahu. Yang saya tahu, waktu akhir itu adalah pasti untuk saya.

Walau berapa lama pun kita hidup, ia hanya sia-sia jika umur itu tidak berkat.

Ya Allah, kurniakanlah aku serta mereka yang aku kasihi umur yang berkat serta pengakhiran hidup yang baik..amin..

Sebenarnya saya seorang yang tidak berapa kisah jika orang tidak mengingati Hari Lahir saya. Tetapi saya kisah juga bila orang yang saya sangat rapat dalam hidup ini dalam erti kata suami saya nanti dan sahabat karib saya tidak mengingati Hari Lahir saya.

'saya kisah juga’ tidak bererti ‘saya kisah sangat’, kerana saya sedar seorang bergelar insan tidak dapat lari daripada sifat kadang terlupa.

Sepotong ucapan yang lahir dari hati yang tulus sudah cukup menggembirakan hati saya berbanding sebiji kek coklat moist yang begitu lazat.=)

Ada apa dengan Hari Lahir ya?

Ketika zaman kecil-kecil dahulu, saya panggil Hari Jadi. Dalam fikiran, muncullah kek dan hadiah. Tentulah hati suka sekali.

Seiring usia menginjak dewasa, saya lebih suka menyebut Hari Lahir berbanding Hari Jadi.

Tiada lagi di fikiran muncul kek dan hadiah. Saya tidak kisah jika tidak dapat pun. Tetapi jika ada orang yang memberi, saya sangat gembira dan menghargainya.

Yang muncul di fikiran dan hati saya adalah pertamanya rasa takut kerana usia saya semakin bertambah. Bermaksud, masa saya untuk sampai ke waktu akhir itu semakin menghampiri. Ia adalah fakta yang saya perlu sentiasa sedar dan tidak boleh alpa.

Keduanya, rasa berterima kasih kepada emak saya kerana telah melahirkan saya ke dunia. Semua kesakitan melahirkan emak hadapi dengan sabar dan bersama jiwa yang berani . Tak pernah pun emak menceritakannya jauh sekali mengungkitnya kembali.

Bagi saya itulah ucapan yang terpenting semasa Hari Lahir saya iaitu berterima kasih kepada emak.

Ucaplah selagi kita ada masa untuk berbuat begitu sebelum kita ditinggalkan ataupun kita meninggalkan.Sebelum kita rasa kesal dengan ketidakupayaan diri kita sendiri untuk menyuarakan ketika masa masih ada.

Di usia 23 tahun ini, saya belajar banyak pengalaman baru, saya menemui ramai orang, dan saya mengalami pertemuan-pertemuan yang bermakna. Semoga pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui semakin mematangkankan saya dalam menghadapi cabaran yang menanti di hadapan, dapat saya terus ingat teladannya dan sempadannya.

Rakan-rakan membuat kejutan untuk menyambut Hari Lahir saya. Saya tidak menyangka yang mereka akan meraikan Hari Lahir saya kerana sudah 2 hari ia berlalu. Saya sangat gembira dan terkejut juga dengan pakatan rahsia mereka itu.=)

Kepada keluargaku yang menjadi kebahagiaanku,
Kepada pendamping hidupku yang dalam rahsia Ilahi, yang dengannya ku harap mawaddah,
Kepada sahabat-sahabatku yang menambah warna-warna indah hidupku,

Saya menyayangi dan mencintai kalian kerana Allah. Semoga kita dikurniakan keberkatan di kehidupan dunia ini dan dipertemukan semula di syurga abadi. Insya Allah, Amin.

Hadapilah hari-hari dengan penuh semangat! =)

-Cahayahati88-