Sunday, December 11, 2011

PemberianNya 'berbeza-beza'



Seorang rakan yang saya kenal baik memberitahu saya kisah beliau. Kisah yang boleh saya kategorikan sebagai privasi di kalangan kaum perempuan yang menjaga baik akhlaknya. Yang bercita-cita menjadi wanita solehah dalam berlautan mujahadah.

Suara beliau yang penuh rasa bimbang saya amati dengan empati. Bimbang jika saya terlepas butir bicaranya yang menagih ulasan demi ulasan buat menenangkan hati yang resah. Ulasan yang ditagih daripada diri yang punya banyak kelemahan ini cuba saya penuhi sebaiknya. Moga-moga hatinya tenang kembali.

Orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, dia sentiasa berasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya, tetapi orang yang keji memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang hanya dengan tepisan maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.

Begitulah hebatnya orang mukmin. Semoga saya dan kalian tergolong di dalam kalangan orang mukmin yang memandang hatta sekecil dosa pun seperti gunung yang bakal menghempap kita, bukan seperti lalat kecil yang berlegar-legar lalu hinggap di hidung, ditepis larilah ia dan kitapun selesa semula.

Kisah rakan saya itu bukanlah hendak saya ceritakan di sini. Kisahnya itu layak saya kagumi tetapi oleh kerana padanya kisah itu adalah privacy, jadilah ia amanah kepada saya.

Cuma beliau begitu resah lantaran dirinya memandang kepada gunung, tidak kepada lalat.

Berbahagialah beliau menjadi seorang mukmin.

Satu pemerhatian beliau nyatakan.Pemerhatian dalam lingkungan kehidupan beliau yang mengundang rasa kagum juga persoalan di hatinya.

Pemerhatian ini dapat saya kongsikan kerana mungkin ia juga berlaku di sekeliling kita samaada kita sedar atau tidak.

Beliau bertanya, mengapa ada wanita yang sangat menjaga agamanya dalam erti kata sangat menjaga pergaulannya dengan lelaki masih tidak kahwin-kahwin lagi sedangkan mereka adalah wanita yang sangat solehah. Umur mereka hampir mencecah 30 tahun.

Cemburunya pula rasa bila ada wanita yang semenjak kecil terpelihara kesolehahannya, mudah mendapat jodohnya dan soleh pula.

Ada wanita yang berhempas-pulas bermujahadah menjadi solehah tapi perlu juga melalui pengalaman yang tidak enak sebelum bertemu dengan pasangan idaman mereka yang soleh. Alangkah indahnya jika semuanya lancar-lancar sahaja.

Tak kurang juga ramai wanita paras agamanya begitu-begitu sahaja, tetapi jodohnya datang awal pula di usia muda.

Sahabat yang saya sayangi..

Pemberian Allah itu ‘berbeza-beza’ jalannya. Ada orang telah ditulis takdirnya untuk melalui jalan yang mudah. Ada juga orang yang telah ditulis takdirnya untuk menempuh jalan belukar.

Jika semua manusia didunia ini semuanya baik-baik belaka, tidak perlulah ada dunia. Tidak perlu ada neraka. Hanya perlu ada syurga sahaja.

Telah Allah ciptakan kita untuk menguji kita, siapakah di kalangan kita yang terbaik amalnya. Selayaknya kita diuji kerana kita hanya seorang hamba. Redhalah dengan takdirmu. Redhalah dengan apa yang telah kamu lalui dan hadapi. Hikmah itu pasti ada cuma ia belum terfikirkan oleh fikiran kita yang terbatas.

Usah mengeluh dengan jalanmu tatkala memandang ke jalan orang. Teruskan berjalan dan arahkan ke destinasi yang lebih baik dan cemerlang.

Tuhan kita terlalu ADIL sifatnya sehingga takdir yang dilakarkan untuk manusia itu kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran, jika terkadang buruk pada pandangan manusia itulah yang baik untuk keadaan dan situasi manusia, dan itulah yang terbaik pada pandangan Allah juga.

Jika kita tidak beroleh adil Allah di dunia, di akhirat sana sedang menanti adil Allah yang lebih besar untuk kita.

Allahlah yang lebih dan Maha Mengetahui, bukan kita.
Allahlah yang lebih dan Maha Bijaksana, bukan kita.

Yang penting, jangan pernah berhenti berdoa dan tetapkan arah untuk sentiasa menuju dan ingin sampai ke destinasi yang lebih baik. InsyaAllah, Allah pasti akan membantu.

Saya berfikir, lagi dan lagi..
Semoga resahmu pergi tidak kembali lagi.

-Cahayahati88-

Saturday, December 3, 2011

Istighfar

Beristighfarlah selalu
Bila ada yang melukakan
Bila kamu tidak dapat apa yang kamu harapkan

Beristighfarlah selalu
Dengan sedar kalimah itu
Ia mengubah sedih jadi suka
kurang jadi syukur
lemah jadi kuat
sempit jadi lapang

Beristighfarlah selalu
Selayaknya diri selaku hamba
KepadaNya buat selamanya...

-Cahayahati88-