Friday, March 22, 2013

Pesan Buat Diri



Allah akan menjagamu andai kau menjagaNya dalam hatimu, dalam tiap hirup nafas dan langkahanmu. =)

-Cahayahati88-

Wednesday, March 13, 2013

Bila Waktu Telah Memanggil

Busu adalah adik perempuan emak yang paling bongsu, tinggal bersama keluarga kami semasa saya dan Along masih kanak-kanak. Selepas Busu berkahwin, Busu tinggal bersama keluarganya dan nenek di kampung. Jadi setiap kali balik kampung, memang kami akan berjumpa dengan Busu.

Saya masih ingat lagi, sewaktu saya di sekolah rendah, Busu suka membawa saya dan Along berjalan-jalan ke Bandar Melaka menaiki bas. Kami tunggu bas di tepi jalan tidak jauh dari rumah. Jika bas tiada, kami akan berjalan ke simpang hadapan untuk menahan teksi. Jika Busu tidak bagi kami ikut, Busu akan berikan duit supaya kami berhenti meregek. Tapi kadang-kadang umpan Busu itu tidak jadi sebab kami nak ikut juga. Terpaksalah Busu bawa kami berdua berjalan di bandar.

Busu seorang yang tidak lokek walaupun beliau hanya seorang operator kilang. Jika Hari Raya, pelbagai jenis kuih raya yang sedap-sedap Busu beli. Oleh kerana sedap, kami sukalah makan sehingga nak habis, tetapi Busu tak pernah marah sedangkan kuih itu juga untuk tetamu yang datang.

Banyak kenangan keluarga kami bersama Busu. Kenangan itu akan saya kenang sampai bila-bila. Allah telah mentakdirkan, Jumaat 8 Mac 2013, Busu pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Walaupun sedih kerana saya tidak sempat berada di samping Busu ketika beliau sedang nazak, namun saya sangat bersyukur kerana Allah menggerakkan hati saya untuk segera pulang ke Melaka sehari sebelum Busu meninggal.

Hari itu hari pertama rawatan kimoterapi ke atas Busu yang menghidap kanser usus dan saya sempat berbual dengan Busu semasa di wad. Busu masih boleh tersenyum dan bercakap. Busu tanya bila saya akan pulang semula ke KL. Matanya merenung saya tanpa berkedip. Sebelum minta diri untuk pulang, saya menyalami Busu, mencium tangan dan dahinya. Saya menyangka insyaAllah Busu dapat menghabiskan rawatannya itu dan kembali sihat semula. Seperti tidak percaya..tetapi kami redha dengan apa yang telah Allah tetapkan. Rupanya itulah lambaian dan renungan Busu yang terakhir kepada saya..

Melihat jenazah Busu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan membuat kami insaf bahawa suatu hari nanti kami juga akan begitu..kubur itu bisa menjadi taman-taman syurga ataupun taman-taman neraka, hanya rahmat Allah yang menjadi penyelamat..

Semoga Busu tenang di alam sana dan ditempatkan di taman-taman syurga tempat idaman setiap mukmin..Semoga emak juga dikuatkan hati dengan kehilangan ini..

Tiada yang milik kita, semuanya milik Allah dan kepadaNya juga kita akan kembali……..



-Cahayahati88-