Tuesday, November 5, 2013

Hijrah Menuju Jannah

Hari ini telah pun masuk tahun baru Islam, 1 Muharram 1435H. Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah, yang masih memberi saya peluang untuk bernafas di bumiNya ini. Malu sungguh rasa diri yang berlumpur ini, apabila menulis tajuk Hijrah Menuju Jannah. Tapi ke mana lagi hendak ku tuju jika tidak ke Jannah Mu ya Allah...

Bermulanya tahun baru, kita semua berniat untuk memperbaharui dan memperbaiki segalanya. Doa akhir dan awal tahun dibaca, semoga Allah menerima semua amalan kita dan mengampunkan semua dosa-dosa kita pada tahun lalu. 

Biarlah niat kita bernyala-nyala pada awal tahun meskipun kita tidak tahu bagaimana momentumnya di pertengahan dan di penghujungnya. Yang penting kita telah berniat dan berazam. Alangkah ruginya jika seseorang itu tidak berniat langsung, kerana keazaman yang kuat dari hati akan mempengaruhi minda bawah sedar untuk menuju kepada apa yang kita azamkan..InsyaAllah. 

Allah telah menjelaskan bahawa iman di dalam hati mukmin boleh menjadi lemah dan boleh menjadi kuat. Dalam suatu peperangan, ketika Allah mewajibkan kepada kaum Muslimin agar setiap satu orang melawan sepuluh orang musuh daripada kaum kafir, mereka berasa sangat berat. Lalu dalam surah Al-Anfaal, ayat 65 dan 66, Allah telah meringankan arahan tersebut dengan mewajibkan satu orang tentera muslim hanya melawan dua orang musuh daripada kaum kafir. Allah Maha Mengetahui bahawa di kalangan tentera Islam ada yang lemah imannya. 

Namun begitu, mukmin yang kuat lebih Allah sukai daripada mukmin yang lemah. Sama-samalah kita meminta dan merayu pertolongan daripada Allah , memohon agar apa yang kita niatkan pada awal tahun baru hijrah ini diberikan semangat dan upaya yang berterusan untuk mencapainya. Rasulullah s.a.w bersabda, sekiranya pula kita ditimpa sesuatu musibah, maka janganlah kita berkata : Sekiranya aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah : Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya 'kalau' akan membuka pintu amalan syaitan. (Riwayat Muslim)

Puisi di bawah mengusik hati saya. Apa yang kita niatkan boleh ditamsilkan sebagai suatu perjuangan kepada diri kita sendiri. 

Andai perjuangan ini mudah,
Pasti ramai menyertainya,
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan,
Pasti ramai yang tertarik padaNya,
Tapi hakikat perjuangan bukan begitu,
Turun naiknya, sakit pedihnya,
Umpama kemanisan yang tak terhingga,
Andai rebah, bangkitlah semula,
Andai terluka, ingatlah janjiNya, 
Yakinlah dan bersangka baiklah padaNya =)


                        Don't worry about failure, worry about the chances we miss when we fail to try.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk diriku terus istiqamah
-melazimi membaca Al-Furqan setiap kali usainya solat, sebelum keluar kerja dan sebelum diriku tidur.
-memaafkan orang lain dan tidak menyebut kembali perkara tersebut.
-tidak menyusahkan orang lain.
-membantu semampunya dan mohon maaf jika diri tidak upaya dapat membantu.

Dekatkanlah kepadaku apa sahaja perkara yang boleh membawaku kepada kebaikan.. Amin Ya Rabb.

-Cahayahati88-