Monday, June 18, 2012

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 4)


Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Catatan saya kali ini adalah catatan perjalanan umrah saya yang terakhir. Diserang batuk dan selesema, mudah-mudahan ada rahmat disebaliknya. Jadual mengajar yang padat, peperiksaan akhir Sijil Pengajian Al-Quran yang semakin hampir, kelas Talaqqi Bersanad dan pengajian Master sangat menuntut komitmen dan tenaga. Doakanlah saya ya agar dapat terus istiqamah, terus diberikan kesempatan masa dan tenaga untuk mengajar anak-anak murid saya yang saya kasihi dan memerlukan.

Seterusnya, pada hari Khamis, 10.30 malam waktu Mekah, kami selamat tiba di Tanah Haram Mekah Al-Mukarramah. Perjalanan dari Mekah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 5-6 jam dengan menaiki bas. Perjalanan umrah ini sedari dari KLIA sehinggalah sampai di dua tanah suci, Mekah dan Madinah adalah kembara yang sangat menuntut kesabaran.

Lantaran Allah mencintai dan memberikan pahala terhadap orang-orang yang sabar dan itulah yang perlu diraih oleh tetamu-tetamuNya. Di dalam surah Al-Nahl, ayat 96, Allah berfirman:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

Di dalam perjalanan, kami bertalbiah , memperbanyakkan istighfar dan zikrullah. Rasa berdebar, juga rasa tidak sabar untuk melihat Kaabah yang suci. Ketika hampir sampai ke kota Mekah, kami membaca doa,

Ya Allah, tanah haram ini Tanah HaramMu dan negeri ini negeriMu dan keamanan ini keamananMu. Maka haramkanlah aku daripada api neraka dan amankanlah aku di hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.

Alhamdulillah, lebih kurang hampir pukul 2 pagi, kami selesai melakukan ibadah umrah. Rukun umrah dimulai dengan :

1.       Niat untuk mengerjakan umrah.
2.       Tawaf sebanyak 7 kali keliling Kaabah.
3.       Sa’ie dari Sofa ke Marwah, 7 kali pergi dan balik.
4.       Bercukur atau bergunting rambut di kepala.
5.       dan yang terakhir adalah tertib.

Saya memerhatikan sekitar Kaabah. Allahu Akbar..! Setiap saat dan detik bumi ini tidak pernah berhenti dengan pujian-pujian kepada Allah yang Esa. Disekitar Kaabah tidak akan pernah lekang oleh lautan manusia yang beribadah.

Ada sahaja orang yang bertawaf tidak kira masa, pagi, petang, tengah malam, tengah pagi malah ketika pancaran matahari sedang tengak di atas kepala pun sekitar kaabah tidak putus-putus dengan manusia yang bertawaf. Allahu Akbar..!

Tidak akan hilang sedikitpun daripada kekuasaan Allah jika tiada manusia di dunia ini yang memujiNya, tetapi manusia itulah yang akan rugi serugi-ruginya jika dia tidak memuji Ilahi.

Di Mekah, kami tinggal di Hotel Retaj Al-Hejrah. Ia agak jauh daripada Masjidil Haram, lebih kurang 
1 km. Sangat berbeza semasa kami di Madinah. Semasa di Madinah, hotel kami sangatlah dekat, bertentangan sahaja dengan pintu masuk ke Masjid Nabawi. Walaupun begitu, ia cuma perkara kecil sahaja. Sudah selamat sampai ke Mekah pun, kami sangatlah bersyukur. Semoga setiap banyaknya langkah perjalanan kami, kami bermohon agar Allah mengampunkan kami dan menambahkan ketaqwaan kami kepadaNya.

Sekarang, kawasan di sekitar Masjidil Haram sedang mengalami construction yang hebat. Kata mutawif, semua bangunan di sekitar dirobohkan, hanya tinggal dua hotel besar sahaja yang tidak dirobohkan. Masa akan datang nanti, sekitar Masjidil Haram akan dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih selesa untuk menampung bilangan jemaah haji yang semakin bertambah dari seluruh pelusuk dunia.



Kaabah yang suci

Jam besar di hadapan Masjidil Haram

Khemah-khemah untuk jemaah haji di Mina

Singgah di tempat unta-unta

Jabal Rahmah
Padang Arafah yang ditumbuhi pokok-pokok
Masjidil Haram pada waktu malam

Masjid Rahmah, Jeddah

Laut Merah


Setelah 7 hari berada di Mekah, tibalah waktunya untuk kami berangkat pulang. Mata saya seperti tidak mahu lepas-lepas memandang Kaabah yang suci. Rasa tenang dan damainya hati dan fikiran tatkala menatap kiblat yang satu itu…

Ya Allah, hambaMu ini akan pulang, bilakah lagi akan dapatku ke sini.. Jemputlah lagi dan rezekikanlah bagiku lagi untuk dapat sampai lagi ke rumahMu yang suci ini. Murahkanlah rezekiku agar dapat ku bawa ayahku dan adik-adiku pula ke sini..

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Rahmah di Jeddah. Jeddah adalah sebuah kota yang sangat membangun dan cantik. Kata mutawif, Masjid Rahmah itu dibina oleh seorang janda yang kaya. Sekarang beliau telah kembali ke rahmatullah. Berbahagialah beliau kerana barangsiapa yang membina masjid di dunia, akan Allah peruntukkan sebuah rumah untuknya di syurga.

Sungguh perjalanan dan ibadah umrah ini adalah suatu pengalaman yang sangat-sangat bermakna bagi saya.

Pulang dengan jiwa dan semangat yang lebih segar untuk menjadi hambaNya yang lebih cemerlang. 

Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan diberikan kesempatan oleh Allah untuk menjadi tetamuNya lagi dan lagi. =)

-Cahayahati88-

No comments: