Saturday, June 16, 2012

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 2)

Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Hari ini, saya sambung lagi menulis travelog yang paling-paling isimewa, paling-paling bermakna  bagi saya.

Perjalanan umrah kami menuju ke Madinah dahulu, kemudian baru kami ke Tanah Haram Mekah Al-Mukarramah. Dari KLIA, kami transit di Jakarta, Dubai, Yaman dan seterusnya ke Jeddah. Di Sana'a,Yaman masa transit kami agak lama lebih kurang 8 jam. Jadi kami tidur di Hotel Musafir yang disediakan oleh pihak airport. Dapatlah kami berjalan melihat keadaan di negara orang.

Selama beberapa jam berada di sana, saya melihat bandar Sana'a, Yaman. Kaum lelaki di sana tidak kira kecil mahupun yang sudah tua kebanyakkannya membawa pisau sebagai senjata yang diselitkan di pinggang mereka.

Sepanjang perjalanan kami menaiki van menuju ke hotel, keadaan jalan gelap-gelita.  Hotel kami juga bergelap pada malam itu kerana bekalan elektrik terputus. Mujurlah, suhu malam itu sejuk dan kami dapat bermalam dengan selesa.

Keesokan pagi, selepas bersarapan kami berlepas ke Jeddah menaiki Yemenia Airways. Kami diturunkan di pintu keluar Terminal Haji, Jeddah. Selepas pemeriksaan imigresen, kami keluar secara berkumpulan membawa beg masing-masing menuju ke bas. Mutawif telah sedia menanti ketibaan kami di Jeddah. Selepas itu, bas bergerak menuju ke Kota Madinah Al-Munawwarah.

Keadaan di luar hotel

Van yang kami naiki

Gembira betul pakcik-pakcik dan makcik-makcik =)

Ucapan selamat jalan oleh pihak hotel

Pintu luar Hotel Musafir

Sana'a International Airport, Yaman

Bersedia untuk bertolak ke Jeddah

-Cahayahati88-

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 1)

Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Alhamdulillah, hari ini selesai sudah saya mengemas beg-beg pakaian dan bekalan yang dibawa pulang dari umrah. Hati sudah tidak sabar-sabar untuk merakam detik-detik perjalanan umrah ini agar segala kenangan sepanjang berada di sana sentiasa segar dalam hati dan ingatan.

Sekembalinya saya ke Malaysia, saya rasakan perjalanan umrah ini bagaikan suatu mimpi. Manakan tidak, saya tidak pernah menyangka yang saya akan berpeluang menziarahi Baitullah pada usia muda begini, 24 tahun, dalam keadaan saya masih belajar dan belum lagi mempunyai pekerjaan. Dan bagaikan suatu mimpi juga apabila dapat membawa emak bersama. Terasa benar-benar Allah membantu perjalanan umrah ini dan memudahkannya. Subhanallah, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepadaku. Terasa seakan biaya ke arah perjalanan umrah ini begitu mudah dan melimpah sekali.

Ahad, 3 Jun 2012,  rombongan kami yang seramai 20 orang bertolak ke Tanah Suci pada pukul 4 petang dengan menaiki penerbangan Yemenia Airways. Ada sesuatu yang tidak diduga berlaku semasa saya dan keluarga di KLIA. Kejadian yang sedih tetapi kami terima dengan penuh rasa syukur dan saya rasakan apa yang berlaku bagaikan keajaiban dan pertolongan daripada Allah.

Sebenarnya mengikut jadual, penerbangan kami adalah pada pukul 12.30 tengahari. Jadi, kami tiba lebih kurang 3 jam lebih awal dari waktu berlepas sepertimana yang disarankan oleh pihak De Mawardah, Travel Agensi kami. Lebih kurang pada pukul 10 pagi, Aiman mula menunjukkan tanda-tanda dia tidak sihat. Badannya lemah dan kepalanya sakit sehingga ayah terpaksa mendukungnya. Kami gelisah, berdoa agar perkara itu tidak berlaku, tetapi Allah telah mentakdirkan, Aiman diserang sawan lagi pada pagi itu.

Saya dan abang ipar bergegas ke Information Center berhampiran untuk bertanya di mana klinik yang terdekat. Sementara emak dan ayah menguruskan Aiman, kak Long menjaga anaknya yang berumur 8 bulan dan adik-adik pula menjaga bagasi dan menemani nenek yang sudah tidak kuat berjalan.

Kami bukanlah biasa sangat dengan selok-belok di KLIA. Saya berlari di hadapan, bertanya dulu kepada orang di mana arah klinik. Sementara ayah mendukung Aiman di belakang. Terima kasih yang amat kepada abang ipar saya yang banyak menolong ketika situasi itu. Mujur ada abang ipar, beliau pula mengambil alih mendukung Aiman yang sudah tidak sedar daripada tangan ayah.

Setibanya di klinik, Aiman dirawat, dimasukkan ubat dan diberikan bantuan oksigen. Jam pula menunjukkan hampir pukul 12, dan kalau menurut pengalaman sememangnya kami sudah terlewat. Terlintas di fikiran adakah saya akan pergi seorang diri kerana Aiman tidak pernah sakit sebegitu tanpa emak di sisi. Saya menghubungi Encik Munir, petugas yang menguruskan perjalanan umrah kami untuk menanyakan bila waktu check-in kami. Sungguh pertolongan Allah saya rasakan dekat sekali saat Encik Munir memaklumkan bahawa penerbangan kami ditunda kepada pukul 4 petang.

Alhamdulillah, Segala puji bagiMu ya Allah..!

Selepas itu Aiman dihantar ke Hospital Putrajaya menaiki ambulans. Selepas berbincang, ayah ikut naik bersama. Di luar pintu ambulans, saya dan emak menyalami ayah dan mencium pipi ayah untuk kali yang terakhir sebelum kami berangkat ke Tanah Suci. Dalam keadaan seperti itu, air mata saya dan emak sudah tidak dapat ditahan lagi. Namun, kami berasa lega kerana Aiman sudah selamat mendapat bantuan kecemasan.

Saya meminta abang ipar membawa ahli keluarga yang lain ke Hospital Putrajaya. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Tidak perlulah menunggu kami sehingga sampai waktu check-in. Tinggallah saya dan emak di KLIA, menunggu waktu taklimat. Alhamdulillah, perasaan teruja untuk menunaikan umrah sedikit sebanyak membuatkan kami tenang atas kejadian yang berlaku tadi. Tambahan pula, penerbangan kami yang ditunda bagaikan suatu keajaiban dan pertolongan Allah yang sangat terasa.

Benarlah, perjalanan umrah ini adalah jemputan dan panggilan dari Ilahi dan Dialah juga yang berkuasa membuka dan memudahkan jalan kepada hati-hati yang dipilihNya. Bersyukurlah selalu, sentiasa..Terima kasih ya Allah..

-Cahayahati88-

Friday, April 6, 2012

No Escape

Renungan untuk kita yang masih meminjam udara milikNya...



Friday, March 16, 2012

Therapy Attitude

Jom baca satu persatu senarai di bawah =)

IMAN
IKHLAS
ILMUAN
FAHAM
AMANAH
RAJIN
ISTIQAMAH
TEKUN
FOKUS
JUHUD
JITU
KUAT
OPTIMIS
MAJU
SABAR
MUJAHADAH
UNGGUL
JIHAD
SEDAR
SENYUM
HEBAT
CEKAP
EMPATI
JELAS
IHSAN
CEPAT
PRODUKTIF
AKTIF
KREATIF
BAIK
DINAMIK
SENYUM
INFORMATIK

Kita tidak boleh menjadi manusia yang sempurna, tetapi setiap kali kita berusaha ke arah itu, Allah pasti akan membantu =)

Mari menjadi muslim yang cemerlang fiddunya wal akhirah. =)

-Cahayahati88-

Wednesday, February 29, 2012

Maafkanlah..

Kata-kata Ustazah Fatimah Syarha,

1. Maafkanlah supaya kita diampunkan.
"...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (an-nur:22)

2. Maafkanlah supaya Allah menjadi sayang.
"...dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."(at-Taghabun:14)

3. Maafkanlah supaya kita tidak sama dengan orang bodoh.
"Jadilah pemaaf dan suruhlah orang yang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang yang bodoh."(al-A'raf:199)

4. Maafkanlah kerana orang mulia sentiasa memaafkan.
"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia."(asy-Syura:43)

5. Maafkanlah agar kau termasuk di kalangan orang yang gagah menahan marah.
"...menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain."(Ali Imran:134)

Maafkanlah, kerana kita juga manusia biasa..

-Cahayahati88-

Thursday, February 23, 2012

Roh Yang Hidup



Daripada Miqdam bin Ma'di Karib katanya : Rasulullah SAW telah bersabda: " Bagi orang yang syahid itu di sisi Tuhannya ada enam keistimewaan : Allah mengampunkannya di awal (darahnya mengalir); diperlihatkan tempatnya di syurga; dilindungi dirinya daripada azab kubur; diamankan daripada kejutan besar kiamat; diletakkan di atasnya mahkota kesatria, sebutir batu yakut dari mahkota itu sahajapun sudah lebih baik daripada dunia dan seisinya; dikahwinkan dengan tujuh puluh dua orang isteri dari bidadari; dan diberikan syafaat kepada tujuh puluh orang kerabatnya.
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Buku yang dicetak buat pertama kalinya pada tahun 2008 ini sudah selesai saya membacanya. Alhamdulillah. Saya sangat suka membaca buku seperti ini, kisah perjalanan sebuah perjuangan yang sebenar.

Buku ini mengisahkan seorang anak Melayu, As-Syahid Fauzi yang telah dipilih oleh Allah untuk mendapat tiket syuhada di bumi Afghanistan. Sebagai seorang Melayu sudah semestinya saya berasa kagum dengan semangat dan keistimewaan yang Allah berikan kepada beliau.

Biar saya cerita serba sedikit. Selebihnya, hakcipta terpelihara. =)

Beliau seorang anak muda tipikal yang lahir dalam keluarga yang sederhana, berniaga secara runcitan di kedai kecil, manakala waktu terluang digunakan untuk mendalami ilmu agama. Keazaman beliau untuk mencari Redha Allah sangat luar biasa, bermotosikal meredah arus malam setiap malam untuk bertugas mengawal tapak pendidikan PAS Kedah,berkelana ke Perak untuk mencari biaya ke bumi Jihad, beliau sanggup menjual kedai runcit dan motorsikalnya semata-mata untuk menampung kos perjalanan ke sana.

Sungguh beliau seorang pejuang sejati yang namanya tidak diagungkan dalam sejarah negara. Saya tidak tahu langsung mengenai beliau sehinggalah saya terlihat rakan saya membaca buku ini.

Saya sambung semula kisah As-Syahid Fauzi.

Beliau seorang syahid yang dilahirkan di negara yang sarat dengan pesta hiburan dan masalah sosial remaja. Tetapi beliau telah berjaya menempah tiket syuhada.Kekayaan ilmu dan harta bukanlah syarat untuk mendapat tiket syuhada tetapi pemilihan Allah bergantung kepada keikhlasan seseorang yang berjuang untuknya, tanpa kompromi dengan segala sifat-sifat munafik. Keikhlasan kepada Allah sahaja yang boleh melahirkan manusia beriman yang bertanggungjawab. Kerana ada juga manusia yang beriman tetapi dia tidak bertanggungjawab terhadap agama dan nasib saudara seagama dengannya.

Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku perasaan belas kepada saudara seagamaku.
Ya Allah, kurniakanlah kepadaku perasaan cinta kepada agamaku.

Dan yang terakhir saya suka untuk berdoa,

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku zuriat yang soleh solehah yang menjadi pejuang agama yang Engkau redhai ini. Saya merindui mereka. Amin ya Allah..

Berbahagialah As-Syahid Fauzi di alam sana lantaran beliau telah menempah pengakhiran hidup yang sempurna fi sabilillah. Allahu akbar..

-Cahayahati88-

Saturday, February 4, 2012

The Totally Awesome Lover



'Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri,
yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu,
yang sangat inginkan kebaikan bagimu, dan
amat belas kasihan lagi penyayang kepada orang yang beriman.'
(9:128)

Semoga Allah membantu kita untuk mencintai insan teragung itu dengan sebenar-benar erti cinta.

-Cahayahati88-