Monday, September 27, 2010

Tiada Putusnya


Mungkin sahabat itu tidak kelihatan di hadapan..tapi ia mengiringi perjalanan hidupmu tanpa kamu lihat..tersembunyi tapi bermakna..Uniknya persahabatan tak perlu diucapkan..kerana hanya hati yang dapat merasai..Tiada kata yang tersurat hanya hadiah mewakili perasaan yang mengharap redha Tuhan..

Moga berkekalan kebaikan daripadanya biarpun roh dan jasad semakin menjauh..bukan disengajakan tapi tak siapa tahu rahsia Tuhan..

Moga berkekalan kebaikan daripadanya sehingga membawa ke syurga idaman..bukan kesedihan tapi tak siapa tahu rahsia Tuhan..

Hanya mengharap yang terbaik buatmu sahabat..

Tuesday, May 25, 2010

Kita Adalah Guru

Kini, sudah hampir sebulan saya duduk di rumah, menunggu hari konvokesyen yang menjadi impian setiap pelajar universiti. Tak sabar rasanya mahu menggenggam segulung ijazah dengan mak dan ayah di sisi tersenyum bangga dan bahagia.

Masa terluang yang ada saya isi dengan mengajar tuisyen di rumah. Seronok rasanya mengajar budak-budak sekolah rendah, lebih-lebih lagi apabila mereka faham apa yang diajar.

“ Cikgu, saya nak bagi cikgu sesuatu. Tapi cikgu jangan marah tau kalau tak cantik..” kata Qila yang duduk di sebelah saya.

“Qila nak bagi apa..? eeeh,tak kan la akak nak marah..” jawab saya. Persoalan bermain di fikiran.

“ Betul ni cikgu tak marah..? Janji tau..” kata Qila sambil tangannya mengambil sesuatu dari dalam begnya.

“Selamat Hari Guru, cikgu!” ucap Qila malu-malu.

Rupanya Qila hendak memberikan hadiah kepada saya. Terkejut, serba-salah pula mahu menerima pemberian tersebut.

“Susah-susah je.. Terima kasih ye. Akak baru dua hari ajar Qila, dah dapat hadiah..huhu..” kata saya. Tersenyum melihat telatahnya.

Itulah panggilan mereka kepada saya. Cikgu. Tapi saya lebih suka membahasakan diri sebagai akak. Lebih rapat rasanya. Lagipun saya bukan dari bidang pendidikan, hanya mengajar buat mengisi masa lapang. Walaupun hadiah itu kecil nilainya pada ringgit, tapi nilainya besar pada sebuah penghargaan. Ada sifat menghargai pada Qila, murid tahun 5 yang suka belajar. Semoga Qila juga menghargai ibu dan ayahnya dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“ Kenapa kakngah tak jadi cikgu?” tanya adik saya suatu hari. Tahun depan dia bakal menduduki peperiksaan UPSR.

Selalunya apabila ditanya kepada murid-murid sekolah rendah apakah cita-cita mereka, di antara pilihan-pilihan mereka, majoritinya pasti ada cikgu.

“ Kalau semua orang mahu jadi cikgu, siapa yang nak jadi doktor, polis, peguam, dan kerja-kerja yang lain...?” kata saya, cuba mencari-cari jawapan.

Dalam hati saya juga bertanya mengapa saya tidak menjadi guru, memilih bidang pendidikan sama macam kaklong. Terasa seronok mengajar mereka. Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu.

“Bioteknologi tu apa cikgu?” tanya adik-adik yang saya ajar, ingin tahu.

“Hem..bioteknologi tu kita belajar tentang benda-benda hidup macam haiwan, tumbuh-tumbuhan. Lagi satu, mikroorganisma yang baru kita belajar semalam..” jawab saya.

“Lepas tu, kita hasilkan sesuatu yang berguna daripada benda-benda hidup ni. Guna teknologi yang ada” saya cuba menerangkan dengan bahasa yang mudah untuk mereka faham.

“Ooh..macam tu..” mereka menganggukkan kepala.

Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu. Memilih jurusan Bioteknologi sebagai pilihan pertama. Jurusan yang saya minati. Aturan ini pastinya yang terbaik untuk saya kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Al-Alim dan al-Bari’, Maha Mengetahui dan Maha Perancang hanya Dia, ALLAH SWT.

Guru adalah pendidik. Secara tidak langsung dia juga mendidik dirinya. Guru adalah role-model, contoh ikutan kepada pelajar. Gelaran ‘cikgu’ kekal hingga ke akhir hayat. Ke mana pun pergi, dia tetap di panggil ‘cikgu’ oleh masyarakat.

Bagi saya, kita semua boleh jadi cikgu, kita semua boleh jadi guru walaupun bukan dari aliran pendidikan. Jika dia seorang kakak atau abang, dia adalah guru kepada adik-adiknya dengan menunjukkan teladan yang baik buat mereka. Jika dia seorang ibu atau ayah, dia adalah guru kepada anak-anaknya dengan mendidik dan mengasuh mereka menjadi insan yang berguna. Dan suatu kelebihan bagi lelaki, jika dia seorang suami, dia adalah guru kepada isterinya. Jadi kita semua boleh jadi guru. =)

-Cahayahati88-

Sunday, May 2, 2010

Kalam Ilahi Pelita Hati


Sekarang tinggal lagi dua paper untuk saya menamatkan semester akhir di bumi UM. Hari-hari menghadap nota-nota biotechnology, membaca dan memahami menyebabkan fikiran jadi penuh dengan teori. Uhh…

Tatkala ketepuan melanda, al-Quranlah yang menjadi penenang jiwa. Kitab suci itu, surat cinta saya dan surat cinta kamu. Kebenaran dan keindahan bergabung menjadi satu. Kekusutan terlerai, keresahan lenyap, kesedihan pasti kan terubat. Dalam al-Quran ada didikan dari Ilahi. Dalam al-Quran juga ada pujukan Rabbi.

Sedang saya membaca al-quran, sampai di suatu ayat dalam surah al-Furqaan, saya jadi terkesima. Sungguh indah kalam Ilahi. Indah sungguh. Dalam ingin mencari redhaNya, Dia memberitahu caranya. Subhanallah..

Di sini saya kongsikan sebahagian ayat daripada surah al-Furqan. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan =)

Bismillahirrahmanirrahim

Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi (61). Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat iaitu memikirkan kebesaranNya, atau mahu bersyukur akan nikmat-nikmatnya itu (62).

Dan hamba-hamba Allah yang diredhaiNya ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini (63).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (64).

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan” (65). “Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang sangat buruk” (66).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (67).

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak iaitu yang dibenarkan oleh syarak, dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian akan mendapat balasan dosanya (68). Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69). Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70). Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat (71).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya (72).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta (73).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa (74).

Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka (dalam menjalankan perkara-perkara yang tersebut khasnya, dan perintah Allah amnya) dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya (75).

Ya Muhaimin, jadikanlah kami termasuk dalam golongan hamba-hamba yang diredhaiMu..Amin.

-Cahayahati88-

Friday, March 19, 2010

Oh Tuhan..


















Masa semakin singkat
Air mata mengalir tapi tak kelihatan
Hati menjerit tapi tak kedengaran
Ku lihat arus dunia
Dan ku dengar hakikat itu
Sedari kecil Kau telah mengingatkanku
Betapa rahmatMu melimpah ruah
Tanpa cintaMu aku mati
Tanpa rinduMu aku tidak pasti
Bagaimana harus aku menjelaskan
Pada mereka-mereka yang bernafas
Bagaimana harus aku menjelaskan
Sedangkan diri sedang mujahadah
Berusaha mencapai redha Allah
Duhai mata hatiku, celiklah sentiasa
Jangan layu, jangan kabur
Subhanallah, Kau pilih diriku
Untuk menjelaskan keagunganMu
Semakin jauh langkahku
Semakin ia kuat diingatanku
Batapa Kau kasih padaku

Oh Tuhan
Ampuni diriku andai aku leka dengan arus dunia
Bantu diriku menjadi hambaMu
Yang sentiasa mensyukuri nikmatMu…

-Cahayahati88-

Sunday, March 7, 2010

Amanah Daripada Perkahwinan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..berbekalkan sedikit ilmu dan ilham daripadaNya saya menulis sebuah perkongsian.. ya Allah hambaMu ini berharap padaMu agar mengurniakan kepadaku kekuatan serta keyakinan yang mantap untukku mengamalkan dan berpegang pada setiap kata yang ku ucapkan.

Alhamdulillah, seminggu yang lalu kursus perkahwinan telah selamat saya hadiri bersama teman-teman sepengajian. Saat mereka mengajak untuk mengambil kursus itu, tak tahu mengapa hati ini dengan senangnya mengiyakan. Pada Allah dikembalikan segala urusan kerana pada kita ada tadbir (perancangan) tapi pada Allah letaknya segala takdir. Bagi saya,ia tidak terlalu awal untuk kita menghadirinya agar pemuda dan pemudi dapat melihat dan mengerti akan erti perkahwinan yang sebenarnya. Agar pemuda dan pemudi dapat membuat persediaan walaupun bukan 100% kerana bakinya boleh dibuat sepanjang perjalanan selepas perkahwinan.

Perkahwinan itu bukan hanya menghalalkan apa yang haram dilakukan oleh seorang lelaki dan wanita, tetapi hakikat kepada perkahwinan itu adalah perkongsian hidup, amanah dan tanggungjawab untuk membawa seluruh isi keluarga sama ada menuju ke syurga atau neraka. Kerana janji Allah itu pasti, kematian itu menanti, seksa kubur itu benar, syurga dan neraka itu ada, dan di situlah destinasi terakhir manusia. Kerana Allah telah berfirman :

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah at-Tahriim: ayat 6)

Tatkala lafaz “aku terima nikahnya” disahkan oleh para saksi, bermulalah perkongsian kehidupan di mana kita mempertaruhkan baki umur yang dipinjamkan oleh Allah Yang Maha Penyayang sama ada digunakan dengan sebaiknya atau sebaliknya. Kerana itulah persediaan kepada sebuah perkahwinan yang diredhaiNya, membina baitul muslim amat-amat diperlukan. Dunia remaja hanya sekali, ia bukan untuk seronok-seronok kerana yang ‘hanya sekali’ itu tak kan datang lagi. Andai tidak dipenuhkan dengan ilmu dan membina jati diri bersulamkan taqwa, pasti penyesalan yang akan menanti di kemudian hari.

Membina Baitul Muslim menjadi impian saya dan tentu juga kalian. Apakah Baitul Muslim? Baitul Muslim adalah satu konsep untuk kita nampak keperluan wujudnya keluarga yang diredhai ALLAH, keperluan mencari isteri atau suami yang diredhai ALLAH, keperluan mentarbiyah anak agar membesar dalam keredhaan ALLAH, seterusnya menjadikan keluarga kita keluarga contoh kepada masyarakat. Subhanallah indahnya =)

Apalah sangat yang saya tahu mengenai perkahwinan..huhu. Sekadar membaca dan mendengar cerita-cerita orang yang sudah berumahtangga tak sama dengan merasa dan mengalami. Sebelum masuk ke dunia itu, semua impian indah-indah belaka. Tapi mungkin sahaja berbeza di alam realiti. Tak seindah impian. Permulaan yang baik bukanlah jaminan untuk tiadanya ujian di sepanjang perjalanan. Andai ujian tak tertahan,bermuhasabahlah dan kembalilah kepada Tuhan.

Saat mendengar penceramah berbicara mengenai peranan suami dan isteri, pengurusan masa, wang dan ekonomi, pengurusan stress dan konflik, namun amanah menjadikan zuriat seorang yang ‘menjadi’ masih terletak di tangga nombor satu di hati saya. Anak adalah amanah daripada Allah dan kelak Allah akan bertanya setiap penanggungjawaban ke atas amanah tersebut sama ada kita telah memeliharanya atau mensia-siakannya.

“Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya. Seorang isteri pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab ke atas kepemimpinannya.” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Luqman Al-Hakim adalah salah satu contoh seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya. Allah sendiri telah merakamkan nasihatnya kepada anaknya:

“Wahai anak kesayanganku, jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah (untuk dihakimi atau dibalasNya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya, lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman: ayat 16)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan dan laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki mengambil berat melakukannya.” (Surah Luqman: ayat 17)

Jelas di sini Luqman seorang bapa yang sangat menyedari akan tanggungjawabnya dalam mendidik zuriatnya. Wahai anak kesayanganku, wahai anak kesayanganku Luqman memulakan bicaranya, lembut dan bermakna sungguh nasihatnya buat permata hatinya.

Setiap orang mengimpikan keluarga yang penuh dengan mawaddah, sakinah dan rahmah. Begitu juga saya dan semestinya kalian juga. Jika kita ingin jadi orang yang pertama sampai ke garisan penamat dalam larian 100 meter, sudah tentu kita perlu kepada latihan dan berlari dengan bersungguh-sungguh di hari pertandingan. Begitu juga dengan impian untuk memiliki sebuah keluarga yang penuh mawaddah, sakinah dan rahmah, ia haruslah bermula semenjak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumahtangga. Apabila batas pergaulan dipelihara dan keberkatan pertunangan dijaga, mudah-mudahan dengan kasih-sayang Allah, rumahtangga yang bakal dibina mendapat rahmatnya. Anak-anak pula menjadi dan mudah dididik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata
(Qurratu’ayun) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”(Surah al Furqan ayat 74)

Kita selalu melafazkan doa seperti di atas, meminta agar dikurniakan pasangan dan anak-anak yang soleh ataupun solehah, apabila melihat kepadanya sejuk mata memandang, dingin kalbu merasakan. Tapi, renunglah kembali ke dalam diri, tanyakan pada diri, adakah kita telah berusaha ke arah itu ? Bukan sekadar meminta tapi berusaha memperbaiki peribadi diri (peringatan untuk saya juga).

Anak-anak adalah harta yang paling berharga bagi ibubapa untuk kebahagiaan di akhirat sana. Hanya doa anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat menerangi alam kubur kita selain daripada ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Alangkah bahagianya kita jika anak-anak kita membesar menjadi seorang mujahid dan mujahidah yang dalam dirinya penuh dengan cinta kepada agama.

Sebesar hasrat kita, maka sebesar itulah kita perlu merancang. Perancangan yang teliti akan perihal didikan anak-anak sedari kecil lagi perlu dibuat oleh pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga. Kata-kata ini selalu mengingatkan saya, “kita telah membawa mereka lahir ke dunia, tapi bagaimana pula dengan pek bekal iman untuk mereka dihantar ke masa hadapan yang penuh cabaran?” ye..masa hadapan yang penuh cabaran..yang ketika itu kita telah tua..atau mungkin juga kita telah tiada lagi di dunia ini..masa hadapan itu yang penuh cabaran..

Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir.”(Surah Al-An’am : ayat 32)

Peringatan untuk diri saya sendiri dan kalian..
1.jika mahu anak-anak yang soleh dan solehah, berusahalah untuk menjadikan diri kamu soleh dan solehah dahulu (^_^)
2.sentiasa ingat bahawa anak adalah amanah Allah yang akan ditanya di akhirat kelak.

Jagalah batasan pergaulan selagi syariat tidak menghalalkan. Jauhilah perkara yang melalaikan agar hati sentiasa ingat pada Tuhan. Moga saya dan kalian dikurniakan teman hidup yang soleh ataupun solehah dalam membentuk baiti jannati =)

Moga bertemu lagi..insyaAllah.

-Cahayahati88-

Tuesday, February 23, 2010

Doa Solat Duha



“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”.

Monday, February 22, 2010

Tirai Rahsia Ilahi

Rezeki, jodoh dan mati adalah sebahagian daripada rahsia Allah yang Allah sahaja yang mengetahuinya. Ia diluar batasan fikiran kita sebagai hamba kepada suatu zat yang Maha Hebat, Allah Azzawajalla. Contohnya minuman yang baru sahaja siap dibuat, tertumpah ke lantai tanpa sempat dihirup..minta perhatian: pastikan adik kecil kalian tidak meletakkan cawan di tepi meja ye..(^_^) Aha..pasal jodoh..teringat cerita Ketika Cinta Bertasbih, walaupun Anna Althafunnisa telah bernikah dengan Furqan, tapi jodohnya lebih kuat dengan Khairul Azzam..masing-masing tidak menyangka ..(^_^).

Kematian pula, juga sesuatu yang tak diduga..teringat saya pada arwah Ustaz Asri, vokalis kumpulan Rabbani. Rasanya baru sahaja beberapa bulan yang lepas saya bertemu dengan arwah ketika kumpulan Rabbani datang ke kolej kami bagi memenuhi jemputan Festival Nasyid yang kami adakan. Sudah tersurat takdirNya, tak siapa menduga arwah kembali bertemu Ilahi pada tahun yang sama..sampai sekarang lagu Intifada menjadi alarm yang setia mengejutkan saya di waktu Subuh..(^_^)

Daripada ketiga-tiga rahsia Allah ini, ada dua rahsia yang perlu kita cari bagi menampung kehidupan di dunia ini iaitu rezeki dan jodoh. Manusia perlu rezeki kerana manusia perlu makan, minum dan menampung keperluan-keperluan lain. Manusia juga perlu mencari jodoh bagi memenuhi keperluan biologi, kasih-sayang dan keturunan yang berterusan.

Rezeki bukan hanya berbentuk wang, pekerjaan, rumah, kenderaan mahupun benda-benda yang berbentuk materialistic. Kesihatan, jiwa yang tenang dan ilmu yang bermanfaat juga merupakan rezeki. Saya suka mendengar lagu Hakikat Bahagia nyanyian UNIC (^_^), hakikat bahagia itu adalah suatu ketenangan, bahagia itu suatu kesyukuran, bila sihat tidak lupakan Tuhan, bahagia itu ada pada hati, kesannya zahir rupanya maknawi, terpendam bagai mutiara di lautan nurani..(^_^)

Salah satu cara untuk memudahkan kita mendapat rezeki adalah dengan melakukan solat duha. Bukan hanya bergantung pada usaha zahir sahaja ya..=) Aktiviti kerja adalah usaha dari segi zahir, manakala solat dhuha pula adalah usaha dari segi batin. Jadi, aktiviti kerja yang digandingkan dengan solat duha dapat memberikan kita keseimbangan dari segi rohani dan jasmani yang seterusnya memberikan kita kemudahan datangnya rezeki daripada setiap usaha yang kita kerjakan.

Jari ini bagai ringan untuk menaip mengenai solat dhuha = )

Dulu saya tidak melakukan solat sunat dhuha, tapi saya tahu yang solat ini pasti ada kelebihannya. Sampailah pada suatu masa, ketika menjalani latihan industry di Perak, Allah memberikan kesedaran pada hati ni tentang hakikat solat dhuha.alhamdulillah. Ketika di sana, pengarah urusan syarikat kami menyuruh para pekerja melakukan solat dhuha. Beliau sendiri mengamalkan solat dhuha..saya terkesan dengan tarbiyah yang diterapkan.. dari situlah hati ni terdidik dan mula terbuka untuk mengamalkan solat dhuha.

Jika 10 minit didarabkan dengan 60 orang pekerja, jadi, 10 jam masa telah terbuang, dan ini akan menjejaskan productivity syarikat, bagaimana pula jika 10 jam itu didarabkan dengan seminggu, sebulan?..tapi beliau tak kisah akan hal ini kerana yakinnya beliau akan kelebihan solat dhuha. Produk kesihatan yang dihasilkan terbukti kepada pelanggan, pelanggan juga bertambah.. inilah berkat dari pengamalan solat dhuha (^_^)

Pergi ke Mid Valley hari tu, masuk sekejap ke MPH (rasa tenang di situ)..(^_^), akhirnya tangan ni digerakkan untuk mencapai buku Magnet Rezeki Dengan Solat Duha..mungkin Allah mahu saya makin mengenali dan mencintai solat dhuha (^_^)

“ Dalam tubuh manusia terdapat 360 sendi yang setiap satu daripadanya wajib mengeluarkan sedekah. Lantas para sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, siapa yang mampu melakukan hal itu?’ Nabi menjawab, ‘Sepercik kahak di dalam masjid yang kau bersihkan dan benda di tengah jalan yang mengganggu laluan orang yang kamu singkirkan, adalah sedekah. Apabila kamu tidak mampu melakukannya, maka solat duha dua rakaat mencukupi kewajiban sedekahmu’. (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hiban daripada Buraidah)

“Setiap sendi kamu pada setiap hari mengeluarkan sedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap bacaan tahmid adalah sedekah, setiap bacaan tahlil itu adalah sedekah, setiap bacaan takbir adalah sedekah, mengajak kepada kebajikan adalah sedekah dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Semua amalan itu boleh diganti dengan mengerjakan solat duha dua rakaat” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Dzar)


Solat dhuha merupakan magnet rezeki. Moga kita dapat menyingkap tirai rahsia Ilahi (^_^)

-Cahayahati88-