Sunday, January 1, 2012

Menerima Untuk Membahagiakan


Sungguh panjang saya rasa cuti hujung minggu ini. Sehingga teringat yang esok adalah hari bekerja. Saya sudah merancang untuk pergi ke lab awal-awal pagi esok. Sungguh saya lupa esok adalah cuti umum sempena tahun baru 2012.

Di sebalik beratnya rasa yang saya tanggung, saya sangat-sangat bersyukur kerana Allah ada menemani saya. Rasa damai dan sejuk itu datang setiap kali saya usai mengajar mereka. Mereka membahagiakan.

Saya amat gembira and very grateful. Saya mendapat present, a holy Al-Quran. =)

Allah, sungguh besar kuasaMu..

Hari itu adalah pertemuan kami kali ketiga. Saya mengajar beliau setiap kali di pagi Jumaat. Beliau seorang nenek yang sentiasa optimis that she could improve her al-Quran recitation better. She shares with me her experiences, a lot and for sure I get much great benefit from it. =)

Pada pertemuan kami kali ketiga itu, beliau hendak memberikan saya sebuah Al-Quran with English translation. Saya segan untuk menerimanya plus at the same time saya rasa it is affordable for me to buy it myself. Saya pun mengatakan tak mengapa, saya boleh beli dan mencarinya sendiri.

Selepas beberapa kali begitu, beliau dengan suara yang tidak gembira berkata,
“I want to give you, why you don’t want?” . Dahinya sedikit berkerut.

Ya Allah, apa yang telah ku lakukan.

Sungguh ketika itu juga saya tersedar daripada kesilapan. Saya telah menghampakan beliau dan membuat beliau tidak gembira. Cepat-cepat saya menerima pemberian beliau dan mengucapkan terima kasih kepadanya beserta senyuman dan wajah yang ceria.

Sebelum pulang, seperti selalu saya menyalami beliau. What unexpected thing happened, just for an early meeting!

I got a kiss. She kissed me like a very adorable mother kisses her child! =)

In a way home, saya menyedari how easy it is to make someone happy. How bad I am for not taking the opportunity Allah offer to me. Opportunity to make a person in delight. =)

I learn from it.

Menerima untuk membahagiakan, bukan sekadar memberi untuk membahagiakan.

Thank you Ya Allah. =)

-Cahayahati88-

Sunday, December 11, 2011

PemberianNya 'berbeza-beza'



Seorang rakan yang saya kenal baik memberitahu saya kisah beliau. Kisah yang boleh saya kategorikan sebagai privasi di kalangan kaum perempuan yang menjaga baik akhlaknya. Yang bercita-cita menjadi wanita solehah dalam berlautan mujahadah.

Suara beliau yang penuh rasa bimbang saya amati dengan empati. Bimbang jika saya terlepas butir bicaranya yang menagih ulasan demi ulasan buat menenangkan hati yang resah. Ulasan yang ditagih daripada diri yang punya banyak kelemahan ini cuba saya penuhi sebaiknya. Moga-moga hatinya tenang kembali.

Orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, dia sentiasa berasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya, tetapi orang yang keji memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang hanya dengan tepisan maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.

Begitulah hebatnya orang mukmin. Semoga saya dan kalian tergolong di dalam kalangan orang mukmin yang memandang hatta sekecil dosa pun seperti gunung yang bakal menghempap kita, bukan seperti lalat kecil yang berlegar-legar lalu hinggap di hidung, ditepis larilah ia dan kitapun selesa semula.

Kisah rakan saya itu bukanlah hendak saya ceritakan di sini. Kisahnya itu layak saya kagumi tetapi oleh kerana padanya kisah itu adalah privacy, jadilah ia amanah kepada saya.

Cuma beliau begitu resah lantaran dirinya memandang kepada gunung, tidak kepada lalat.

Berbahagialah beliau menjadi seorang mukmin.

Satu pemerhatian beliau nyatakan.Pemerhatian dalam lingkungan kehidupan beliau yang mengundang rasa kagum juga persoalan di hatinya.

Pemerhatian ini dapat saya kongsikan kerana mungkin ia juga berlaku di sekeliling kita samaada kita sedar atau tidak.

Beliau bertanya, mengapa ada wanita yang sangat menjaga agamanya dalam erti kata sangat menjaga pergaulannya dengan lelaki masih tidak kahwin-kahwin lagi sedangkan mereka adalah wanita yang sangat solehah. Umur mereka hampir mencecah 30 tahun.

Cemburunya pula rasa bila ada wanita yang semenjak kecil terpelihara kesolehahannya, mudah mendapat jodohnya dan soleh pula.

Ada wanita yang berhempas-pulas bermujahadah menjadi solehah tapi perlu juga melalui pengalaman yang tidak enak sebelum bertemu dengan pasangan idaman mereka yang soleh. Alangkah indahnya jika semuanya lancar-lancar sahaja.

Tak kurang juga ramai wanita paras agamanya begitu-begitu sahaja, tetapi jodohnya datang awal pula di usia muda.

Sahabat yang saya sayangi..

Pemberian Allah itu ‘berbeza-beza’ jalannya. Ada orang telah ditulis takdirnya untuk melalui jalan yang mudah. Ada juga orang yang telah ditulis takdirnya untuk menempuh jalan belukar.

Jika semua manusia didunia ini semuanya baik-baik belaka, tidak perlulah ada dunia. Tidak perlu ada neraka. Hanya perlu ada syurga sahaja.

Telah Allah ciptakan kita untuk menguji kita, siapakah di kalangan kita yang terbaik amalnya. Selayaknya kita diuji kerana kita hanya seorang hamba. Redhalah dengan takdirmu. Redhalah dengan apa yang telah kamu lalui dan hadapi. Hikmah itu pasti ada cuma ia belum terfikirkan oleh fikiran kita yang terbatas.

Usah mengeluh dengan jalanmu tatkala memandang ke jalan orang. Teruskan berjalan dan arahkan ke destinasi yang lebih baik dan cemerlang.

Tuhan kita terlalu ADIL sifatnya sehingga takdir yang dilakarkan untuk manusia itu kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran, jika terkadang buruk pada pandangan manusia itulah yang baik untuk keadaan dan situasi manusia, dan itulah yang terbaik pada pandangan Allah juga.

Jika kita tidak beroleh adil Allah di dunia, di akhirat sana sedang menanti adil Allah yang lebih besar untuk kita.

Allahlah yang lebih dan Maha Mengetahui, bukan kita.
Allahlah yang lebih dan Maha Bijaksana, bukan kita.

Yang penting, jangan pernah berhenti berdoa dan tetapkan arah untuk sentiasa menuju dan ingin sampai ke destinasi yang lebih baik. InsyaAllah, Allah pasti akan membantu.

Saya berfikir, lagi dan lagi..
Semoga resahmu pergi tidak kembali lagi.

-Cahayahati88-

Saturday, December 3, 2011

Istighfar

Beristighfarlah selalu
Bila ada yang melukakan
Bila kamu tidak dapat apa yang kamu harapkan

Beristighfarlah selalu
Dengan sedar kalimah itu
Ia mengubah sedih jadi suka
kurang jadi syukur
lemah jadi kuat
sempit jadi lapang

Beristighfarlah selalu
Selayaknya diri selaku hamba
KepadaNya buat selamanya...

-Cahayahati88-

Monday, November 28, 2011

Lebih Baik Terhutang Budi

Lebih baik berasa ‘terhutang budi yang diberi’ daripada berasa ‘meminta budi kembali’.

Itulah kesimpulan saya seusai perbualan dengan adik di telefon.

Apabila kita meminta pertolongan daripada seseorang, dan orang tersebut pun menolong kita dengan rela hati, ‘sepatutnya’ kita mempunyai rasa yang kita telah terhutang budi kepada orang yang telah menolong kita itu.

Lebih-lebih lagi ‘sepatutnya’ jika orang yang menolong kita itu sanggup memenuhi permintaan kita sedangkan pada masa yang sama dia ada kerja lain yang perlu dibuat ataupun dia akhirnya memenuhi permintaan kita juga setelah kita memujuk dia.

Jika kita yang meminta pertolongan daripada seseorang ataupun kita meminta dan memujuk seseorang untuk memenuhi permintaan kita, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.

Dua patah perkataan itu, ‘terima kasih’ bukanlah susah sangat untuk dilafazkan dan dua patah perkataan itu tidak merendahkan maruah diri kita sedikit pun.

Jadilah seorang yang suka mengucapkan terima kasih jika anda ingin menjadi seorang yang disenangi.

Santunilah diri kita terlebih dahulu sebelum kita meminta seseorang menyantuni kita.

Keadaan itu adalah apabila kita yang meminta permintaan kita dipenuhi TETAPI jika kita yang memberikan budi kita kepada orang, jangan pula kita mengharapkan terima kasih daripadanya.

Jika kita mengharapkan terima kasih daripada manusia, kita boleh menjadi seorang yang sakit jiwa kerana tidak semua manusia tahu berterima kasih.

Haraplah keredhaan Allah terhadap kita semata-mata.

Di dalam situasi berhadapan dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu, jangan dilayan rasa sakit hati yang kita rasakan. Jika kita biarkan hati kita berasa sakit hati kerana apa yang kita berikan tidak dihargai, samalah ertinya dengan kita melukai hati kita sendiri.

Kita akan jadi tidak tenang dan mudah marah.

Haraplah agar Allah redha terhadap budi yang telah kita berikan kepadanya itu, bimbang diri kita terjatuh dalam jurang riak yang membakar hangus pahala dan membumbungkan rasa bangga diri.

Dalam masa yang sama, berwaspadalah dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu.

Jika mahu membenci, bencilah pada akhlaknya yang buruk itu, tetapi janganlah membenci dirinya kerana dia juga manusia yang boleh berubah.

Jadilah seorang yang sensible.

Sebagai contoh, jika kita mengajak rakan kita untuk keluar menemani kita makan kerana kita berasa tersangat lapar, bayarlah sekali harga makanan yang telah dipesan oleh rakan kita itu. Jangan meminta untuk dia membayar sendiri harga makanan yang telah dipesannya itu dan ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemani kita makan.

Jika rakan kita terhutang kita beberapa sen sahaja, janganlah kita berkira sangat.

Jika kita menumpang kereta rakan kita, berilah duit minyak kepadanya sebagai tanda kita seorang yang tahu berterima kasih.

Jika kita pula yang memberi tumpang, elakkanlah daripada meminta rakan kita itu membayar duit minyak kereta kita kecuali kita telah memberitahunya terlebih dahulu bahawa kos perjalanan perlu ditanggung bersama.

Di akhir perbualan, saya berpesan kepada adik saya supaya jangan mengharapkan terima kasih daripada orang dan berhati-hati lain kali dengan orang yang tidak tahu berterima kasih.

Lebih baik kita ‘rasa terhutang budi’ daripada ‘meminta budi kita kembali’.

InsyaAllah, kita akan disenangi penduduk langit dan bumi.

-Cahayahati88-

Sunday, November 27, 2011

Perniagaan Yang Tidak Ada Rugi



Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak ada kerugian." (Surah Faathir, ayat 29)

-Cahayahati88-

Saturday, November 26, 2011

Tahun 23 Yang Manis

22 November 2011 bersamaan 26 Zulhijjah 1432 Masihi, genaplah saya berumur 23 tahun.

Alhamdulillah, Allah memberikan saya kesempatan untuk terus bernafas lagi di atas bumiNya ini. Saya tidak tahu bila waktu saya akan berakhir. Mungkinkah esok, lusa, tahun hadapan, 10 tahun lagi, saya tidak tahu. Yang saya tahu, waktu akhir itu adalah pasti untuk saya.

Walau berapa lama pun kita hidup, ia hanya sia-sia jika umur itu tidak berkat.

Ya Allah, kurniakanlah aku serta mereka yang aku kasihi umur yang berkat serta pengakhiran hidup yang baik..amin..

Sebenarnya saya seorang yang tidak berapa kisah jika orang tidak mengingati Hari Lahir saya. Tetapi saya kisah juga bila orang yang saya sangat rapat dalam hidup ini dalam erti kata suami saya nanti dan sahabat karib saya tidak mengingati Hari Lahir saya.

'saya kisah juga’ tidak bererti ‘saya kisah sangat’, kerana saya sedar seorang bergelar insan tidak dapat lari daripada sifat kadang terlupa.

Sepotong ucapan yang lahir dari hati yang tulus sudah cukup menggembirakan hati saya berbanding sebiji kek coklat moist yang begitu lazat.=)

Ada apa dengan Hari Lahir ya?

Ketika zaman kecil-kecil dahulu, saya panggil Hari Jadi. Dalam fikiran, muncullah kek dan hadiah. Tentulah hati suka sekali.

Seiring usia menginjak dewasa, saya lebih suka menyebut Hari Lahir berbanding Hari Jadi.

Tiada lagi di fikiran muncul kek dan hadiah. Saya tidak kisah jika tidak dapat pun. Tetapi jika ada orang yang memberi, saya sangat gembira dan menghargainya.

Yang muncul di fikiran dan hati saya adalah pertamanya rasa takut kerana usia saya semakin bertambah. Bermaksud, masa saya untuk sampai ke waktu akhir itu semakin menghampiri. Ia adalah fakta yang saya perlu sentiasa sedar dan tidak boleh alpa.

Keduanya, rasa berterima kasih kepada emak saya kerana telah melahirkan saya ke dunia. Semua kesakitan melahirkan emak hadapi dengan sabar dan bersama jiwa yang berani . Tak pernah pun emak menceritakannya jauh sekali mengungkitnya kembali.

Bagi saya itulah ucapan yang terpenting semasa Hari Lahir saya iaitu berterima kasih kepada emak.

Ucaplah selagi kita ada masa untuk berbuat begitu sebelum kita ditinggalkan ataupun kita meninggalkan.Sebelum kita rasa kesal dengan ketidakupayaan diri kita sendiri untuk menyuarakan ketika masa masih ada.

Di usia 23 tahun ini, saya belajar banyak pengalaman baru, saya menemui ramai orang, dan saya mengalami pertemuan-pertemuan yang bermakna. Semoga pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui semakin mematangkankan saya dalam menghadapi cabaran yang menanti di hadapan, dapat saya terus ingat teladannya dan sempadannya.

Rakan-rakan membuat kejutan untuk menyambut Hari Lahir saya. Saya tidak menyangka yang mereka akan meraikan Hari Lahir saya kerana sudah 2 hari ia berlalu. Saya sangat gembira dan terkejut juga dengan pakatan rahsia mereka itu.=)

Kepada keluargaku yang menjadi kebahagiaanku,
Kepada pendamping hidupku yang dalam rahsia Ilahi, yang dengannya ku harap mawaddah,
Kepada sahabat-sahabatku yang menambah warna-warna indah hidupku,

Saya menyayangi dan mencintai kalian kerana Allah. Semoga kita dikurniakan keberkatan di kehidupan dunia ini dan dipertemukan semula di syurga abadi. Insya Allah, Amin.

Hadapilah hari-hari dengan penuh semangat! =)

-Cahayahati88-

Wednesday, October 19, 2011

Kunci Bahagia


Bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar dilafaz oleh lisan, tetapi hidupkannya dan suburkannya dengan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah.

-Cahayahati88-