Tuesday, November 5, 2013

Hijrah Menuju Jannah

Hari ini telah pun masuk tahun baru Islam, 1 Muharram 1435H. Alhamdulillah, segala pujian hanya bagi Allah, yang masih memberi saya peluang untuk bernafas di bumiNya ini. Malu sungguh rasa diri yang berlumpur ini, apabila menulis tajuk Hijrah Menuju Jannah. Tapi ke mana lagi hendak ku tuju jika tidak ke Jannah Mu ya Allah...

Bermulanya tahun baru, kita semua berniat untuk memperbaharui dan memperbaiki segalanya. Doa akhir dan awal tahun dibaca, semoga Allah menerima semua amalan kita dan mengampunkan semua dosa-dosa kita pada tahun lalu. 

Biarlah niat kita bernyala-nyala pada awal tahun meskipun kita tidak tahu bagaimana momentumnya di pertengahan dan di penghujungnya. Yang penting kita telah berniat dan berazam. Alangkah ruginya jika seseorang itu tidak berniat langsung, kerana keazaman yang kuat dari hati akan mempengaruhi minda bawah sedar untuk menuju kepada apa yang kita azamkan..InsyaAllah. 

Allah telah menjelaskan bahawa iman di dalam hati mukmin boleh menjadi lemah dan boleh menjadi kuat. Dalam suatu peperangan, ketika Allah mewajibkan kepada kaum Muslimin agar setiap satu orang melawan sepuluh orang musuh daripada kaum kafir, mereka berasa sangat berat. Lalu dalam surah Al-Anfaal, ayat 65 dan 66, Allah telah meringankan arahan tersebut dengan mewajibkan satu orang tentera muslim hanya melawan dua orang musuh daripada kaum kafir. Allah Maha Mengetahui bahawa di kalangan tentera Islam ada yang lemah imannya. 

Namun begitu, mukmin yang kuat lebih Allah sukai daripada mukmin yang lemah. Sama-samalah kita meminta dan merayu pertolongan daripada Allah , memohon agar apa yang kita niatkan pada awal tahun baru hijrah ini diberikan semangat dan upaya yang berterusan untuk mencapainya. Rasulullah s.a.w bersabda, sekiranya pula kita ditimpa sesuatu musibah, maka janganlah kita berkata : Sekiranya aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah : Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendakiNya, sesungguhnya 'kalau' akan membuka pintu amalan syaitan. (Riwayat Muslim)

Puisi di bawah mengusik hati saya. Apa yang kita niatkan boleh ditamsilkan sebagai suatu perjuangan kepada diri kita sendiri. 

Andai perjuangan ini mudah,
Pasti ramai menyertainya,
Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan,
Pasti ramai yang tertarik padaNya,
Tapi hakikat perjuangan bukan begitu,
Turun naiknya, sakit pedihnya,
Umpama kemanisan yang tak terhingga,
Andai rebah, bangkitlah semula,
Andai terluka, ingatlah janjiNya, 
Yakinlah dan bersangka baiklah padaNya =)


                        Don't worry about failure, worry about the chances we miss when we fail to try.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk diriku terus istiqamah
-melazimi membaca Al-Furqan setiap kali usainya solat, sebelum keluar kerja dan sebelum diriku tidur.
-memaafkan orang lain dan tidak menyebut kembali perkara tersebut.
-tidak menyusahkan orang lain.
-membantu semampunya dan mohon maaf jika diri tidak upaya dapat membantu.

Dekatkanlah kepadaku apa sahaja perkara yang boleh membawaku kepada kebaikan.. Amin Ya Rabb.

-Cahayahati88-

Friday, March 22, 2013

Pesan Buat Diri



Allah akan menjagamu andai kau menjagaNya dalam hatimu, dalam tiap hirup nafas dan langkahanmu. =)

-Cahayahati88-

Wednesday, March 13, 2013

Bila Waktu Telah Memanggil

Busu adalah adik perempuan emak yang paling bongsu, tinggal bersama keluarga kami semasa saya dan Along masih kanak-kanak. Selepas Busu berkahwin, Busu tinggal bersama keluarganya dan nenek di kampung. Jadi setiap kali balik kampung, memang kami akan berjumpa dengan Busu.

Saya masih ingat lagi, sewaktu saya di sekolah rendah, Busu suka membawa saya dan Along berjalan-jalan ke Bandar Melaka menaiki bas. Kami tunggu bas di tepi jalan tidak jauh dari rumah. Jika bas tiada, kami akan berjalan ke simpang hadapan untuk menahan teksi. Jika Busu tidak bagi kami ikut, Busu akan berikan duit supaya kami berhenti meregek. Tapi kadang-kadang umpan Busu itu tidak jadi sebab kami nak ikut juga. Terpaksalah Busu bawa kami berdua berjalan di bandar.

Busu seorang yang tidak lokek walaupun beliau hanya seorang operator kilang. Jika Hari Raya, pelbagai jenis kuih raya yang sedap-sedap Busu beli. Oleh kerana sedap, kami sukalah makan sehingga nak habis, tetapi Busu tak pernah marah sedangkan kuih itu juga untuk tetamu yang datang.

Banyak kenangan keluarga kami bersama Busu. Kenangan itu akan saya kenang sampai bila-bila. Allah telah mentakdirkan, Jumaat 8 Mac 2013, Busu pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Walaupun sedih kerana saya tidak sempat berada di samping Busu ketika beliau sedang nazak, namun saya sangat bersyukur kerana Allah menggerakkan hati saya untuk segera pulang ke Melaka sehari sebelum Busu meninggal.

Hari itu hari pertama rawatan kimoterapi ke atas Busu yang menghidap kanser usus dan saya sempat berbual dengan Busu semasa di wad. Busu masih boleh tersenyum dan bercakap. Busu tanya bila saya akan pulang semula ke KL. Matanya merenung saya tanpa berkedip. Sebelum minta diri untuk pulang, saya menyalami Busu, mencium tangan dan dahinya. Saya menyangka insyaAllah Busu dapat menghabiskan rawatannya itu dan kembali sihat semula. Seperti tidak percaya..tetapi kami redha dengan apa yang telah Allah tetapkan. Rupanya itulah lambaian dan renungan Busu yang terakhir kepada saya..

Melihat jenazah Busu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan membuat kami insaf bahawa suatu hari nanti kami juga akan begitu..kubur itu bisa menjadi taman-taman syurga ataupun taman-taman neraka, hanya rahmat Allah yang menjadi penyelamat..

Semoga Busu tenang di alam sana dan ditempatkan di taman-taman syurga tempat idaman setiap mukmin..Semoga emak juga dikuatkan hati dengan kehilangan ini..

Tiada yang milik kita, semuanya milik Allah dan kepadaNya juga kita akan kembali……..



-Cahayahati88-

Tuesday, December 25, 2012

Pemberi Kekuatan yang Terbaik

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah : 245)

Tiada kekuatan melainkan kekuatan yang dianugerahkan Allah 
Alhamdulillah, segala puji hanya kepada Allah yang telah memberikan nikmat Iman dan Islam kepada hambaNya, juga nikmat usia dan kesihatan sehingga kita masih lagi berpeluang menarik nafas,  melihat, mendengar dan merasa apa yang ada di dunia ini.

Allahlah yang memberikan kekuatan di saat dunia dan isinya amat melelahkan. Kadangkala terasa mahu menangis sepuas-puasnya di tempat yang tiada seorangpun dapat melihat kecuali DIA. Namun, apa yang terjadi adalah dengan izinNya jua. Mungkin, inilah masanya-masanya untuk meminta dengan penuh harap kepadaNya, semakin merasai dan mengenali erti sebenar yang Allah itu lebih dekat dari urat nadi.

Yakin, Allah tetap akan berikan 
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang cukup dengan yang sedikit dan bersyukur dengan yang banyak. Jadikanlah yang sedikit itu berkat dan yang banyak itu rahmat.

Alhamdulillah, sekarang saya sudahpun berada di akhir semester ke-3 pengajian MSc. Seminggu lagi, candidature defence perlu dihadapi. Alhamdulillah, semoga peluang melakukan oral presentation di international conferens dua minggu lepas dapat banyak membantu dan memberi saya view untuk menghadapi candidature defence nanti. Dalam masa yang sama kelas mengajar mengaji semakin padat. 

Alhamdulillah, meminta kekuatan hanya kepada Allah. Dalam penat ada rasa bahagia yang menyelinap ke dalam jiwa. Hati rasa puas bila dapat mencurahkan ilmu. Sungguh, hamba tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Engkau ajarkan kepada hamba. Akhir-akhir ini, seperti mahu menitis air mata dengan peluang dan rezeki yang Allah kurniakan. Siapa menyangka niat yang baik walaupun disimpan bertahun lamanya tetap Allah akan berikan. Pada mulanya saya hanya belajar talaqqi tetapi sungguh ia diluar jangkaan saya bila saya dapat belajar sedikit ilmu tarannum Hijaz dari guru yang sama. Hijaz alunannya menenangkan dan Nahwan alunannya lebih menginsafkan kita. Syukur padaMu ya Allah..

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Al-Baqarah : 245).

Adakan masa untuk Allah dan Allah akan memberikan masa kepada kita.
Jagalah Allah dan Allah akan menjaga kita.

Moga Allah sentiasa menjaga hati ini. 

-Cahayahati88-

Monday, September 3, 2012

Terima Kasih Emak!

When no one with me, my mum will always by my side.

Kisahnya begini. 

Sebelum Ramadhan yang lalu, saya telah menempah 2 tiket Seminar Langkah Mudah Didik Anak Hafaz Al-Quran. Satu tiket untuk teman serumah saya dan satu tiket lagi untuk saya sendiri. Lagi 2 hari menuju hari seminar, teman saya itu memberitahu bahawa beliau tidak dapat pergi kerana ada 2 events penting pada hari yang sama.

Bagaimana ni? Seminar dah nak dekat. Orang yang tahu jalannya pula tidak dapat pergi. Saya mengajak teman-teman yang lain, tetapi mereka telah pun ada aktiviti mereka sendiri walaupun mereka sebenarnya hendak pergi ke seminar tersebut. Last minute cancellation made me a little bit in trouble.

Ya Allah, dapatkan hambaMu ini untuk dapat menghadiri kursus itu…permudahkan ya Allah..

Saya menghubungi emak, menceritakan situasi yang berlaku. Emak dengan senang hatinya bersetuju mahu menemani saya. Secara tak langsung, dapatlah emak jadi peserta kursus dan dapatlah emak sedikit sebanyak input untuk diaplikasikan kepada adik bongsu saya. Syukur Alhamdulillah!

Selepas mengajar lewat petang itu, saya segera balik ke Melaka menaiki bas. Esoknya Ahad awal-awal pagi, saya memandu dari Melaka ke Shah Alam. Alhamdulillah kami sempat tiba sebelum ceramah pertama bermula jam 9 pagi. Syukur sangat padaMu Ya Allah kerana menyempatkan kami hingga akhirnya dapat sampai ke sini.

Seminar tamat lebih kurang jam 3.15 petang. Saya pulang semula ke Melaka, menghantar emak dan kembali semula ke Kuala Lumpur pagi esoknya. Dapatlah saya bersama-sama dengan adik-adik sedikit masa lagi.

Mak, terima kasih kerana temankan anak emak ni pergi seminar. (Oh ya, saya bukan anak emak yang ‘anak emak’ tu ya, saya pun tidak tahu saya lebih kepada siapa sebab saya anak emak 100% anak ayah 100%)  

Saya sangat tertarik dengan doa ini. Saya tidak tahu doa di bawah ini nukilan siapa. Yang pastinya, bukan nukilan saya. Apapun, semoga Allah memberikan pahala kepada insan yang menulis doa secantik ini.




Ya Allah

Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,

Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka padaku dan pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa'at untuk mereka, sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... 

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..

-Cahayahati88-

Monday, June 18, 2012

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 4)


Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Catatan saya kali ini adalah catatan perjalanan umrah saya yang terakhir. Diserang batuk dan selesema, mudah-mudahan ada rahmat disebaliknya. Jadual mengajar yang padat, peperiksaan akhir Sijil Pengajian Al-Quran yang semakin hampir, kelas Talaqqi Bersanad dan pengajian Master sangat menuntut komitmen dan tenaga. Doakanlah saya ya agar dapat terus istiqamah, terus diberikan kesempatan masa dan tenaga untuk mengajar anak-anak murid saya yang saya kasihi dan memerlukan.

Seterusnya, pada hari Khamis, 10.30 malam waktu Mekah, kami selamat tiba di Tanah Haram Mekah Al-Mukarramah. Perjalanan dari Mekah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 5-6 jam dengan menaiki bas. Perjalanan umrah ini sedari dari KLIA sehinggalah sampai di dua tanah suci, Mekah dan Madinah adalah kembara yang sangat menuntut kesabaran.

Lantaran Allah mencintai dan memberikan pahala terhadap orang-orang yang sabar dan itulah yang perlu diraih oleh tetamu-tetamuNya. Di dalam surah Al-Nahl, ayat 96, Allah berfirman:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang-orang yang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

Di dalam perjalanan, kami bertalbiah , memperbanyakkan istighfar dan zikrullah. Rasa berdebar, juga rasa tidak sabar untuk melihat Kaabah yang suci. Ketika hampir sampai ke kota Mekah, kami membaca doa,

Ya Allah, tanah haram ini Tanah HaramMu dan negeri ini negeriMu dan keamanan ini keamananMu. Maka haramkanlah aku daripada api neraka dan amankanlah aku di hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.

Alhamdulillah, lebih kurang hampir pukul 2 pagi, kami selesai melakukan ibadah umrah. Rukun umrah dimulai dengan :

1.       Niat untuk mengerjakan umrah.
2.       Tawaf sebanyak 7 kali keliling Kaabah.
3.       Sa’ie dari Sofa ke Marwah, 7 kali pergi dan balik.
4.       Bercukur atau bergunting rambut di kepala.
5.       dan yang terakhir adalah tertib.

Saya memerhatikan sekitar Kaabah. Allahu Akbar..! Setiap saat dan detik bumi ini tidak pernah berhenti dengan pujian-pujian kepada Allah yang Esa. Disekitar Kaabah tidak akan pernah lekang oleh lautan manusia yang beribadah.

Ada sahaja orang yang bertawaf tidak kira masa, pagi, petang, tengah malam, tengah pagi malah ketika pancaran matahari sedang tengak di atas kepala pun sekitar kaabah tidak putus-putus dengan manusia yang bertawaf. Allahu Akbar..!

Tidak akan hilang sedikitpun daripada kekuasaan Allah jika tiada manusia di dunia ini yang memujiNya, tetapi manusia itulah yang akan rugi serugi-ruginya jika dia tidak memuji Ilahi.

Di Mekah, kami tinggal di Hotel Retaj Al-Hejrah. Ia agak jauh daripada Masjidil Haram, lebih kurang 
1 km. Sangat berbeza semasa kami di Madinah. Semasa di Madinah, hotel kami sangatlah dekat, bertentangan sahaja dengan pintu masuk ke Masjid Nabawi. Walaupun begitu, ia cuma perkara kecil sahaja. Sudah selamat sampai ke Mekah pun, kami sangatlah bersyukur. Semoga setiap banyaknya langkah perjalanan kami, kami bermohon agar Allah mengampunkan kami dan menambahkan ketaqwaan kami kepadaNya.

Sekarang, kawasan di sekitar Masjidil Haram sedang mengalami construction yang hebat. Kata mutawif, semua bangunan di sekitar dirobohkan, hanya tinggal dua hotel besar sahaja yang tidak dirobohkan. Masa akan datang nanti, sekitar Masjidil Haram akan dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih selesa untuk menampung bilangan jemaah haji yang semakin bertambah dari seluruh pelusuk dunia.



Kaabah yang suci

Jam besar di hadapan Masjidil Haram

Khemah-khemah untuk jemaah haji di Mina

Singgah di tempat unta-unta

Jabal Rahmah
Padang Arafah yang ditumbuhi pokok-pokok
Masjidil Haram pada waktu malam

Masjid Rahmah, Jeddah

Laut Merah


Setelah 7 hari berada di Mekah, tibalah waktunya untuk kami berangkat pulang. Mata saya seperti tidak mahu lepas-lepas memandang Kaabah yang suci. Rasa tenang dan damainya hati dan fikiran tatkala menatap kiblat yang satu itu…

Ya Allah, hambaMu ini akan pulang, bilakah lagi akan dapatku ke sini.. Jemputlah lagi dan rezekikanlah bagiku lagi untuk dapat sampai lagi ke rumahMu yang suci ini. Murahkanlah rezekiku agar dapat ku bawa ayahku dan adik-adiku pula ke sini..

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Rahmah di Jeddah. Jeddah adalah sebuah kota yang sangat membangun dan cantik. Kata mutawif, Masjid Rahmah itu dibina oleh seorang janda yang kaya. Sekarang beliau telah kembali ke rahmatullah. Berbahagialah beliau kerana barangsiapa yang membina masjid di dunia, akan Allah peruntukkan sebuah rumah untuknya di syurga.

Sungguh perjalanan dan ibadah umrah ini adalah suatu pengalaman yang sangat-sangat bermakna bagi saya.

Pulang dengan jiwa dan semangat yang lebih segar untuk menjadi hambaNya yang lebih cemerlang. 

Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan diberikan kesempatan oleh Allah untuk menjadi tetamuNya lagi dan lagi. =)

-Cahayahati88-