Sunday, January 31, 2010

Jadikan Allah Cinta Pertama


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Melihat sekeliling dan mendengar cerita-cerita mengenai cinta yang melanda jiwa remaja menyebabkan hati saya tergerak untuk menulis mengenai cinta. Bimbang memikirkan adik-adik di rumah yang sedang membesar menjadi remaja, moga Allah menjadikan adik-adik saya, adik-adik kalian, saya dan kalian insan yang cemerlang di dunia dan akhirat..ameen.

Cinta itu adalah fitrah hati yang datang tanpa diminta dan dipaksa. Perasaan untuk menyayangi dan disayangi itu merupakan fitrah kurniaanNya. Lihatlah alam, kita akan dapat merasai betapa hebatnya kurniaan Allah ini. Cas positif dan negative akan saling menarik, medan magnet kutub utara dan selatan tak kan menolak, tanpa anther dan stigma flower pollination tidak boleh terjadi. Kejamlah kita jika menolak bulat-bulat akan kehadiran perasaan itu kerana tanpa cinta, manusia boleh bertukar menjadi syaitan, membunuh dengan kejam, dunia porak peranda, keganasan bermaharajalela. Dengan cinta, yang keras boleh menjadi lembut, yang jahat menjadi baik, duka menjadi suka, lemah menjadi kuat, buruk menjadi cantik.

Cinta itu boleh menjadi sesuatu yang sangat indah dan boleh juga menjadi sesuatu yang sangat menyakitkan. Memang setiap yang enak dan indah itu ‘memabukkan’. Apalagi jika diteguk keterlaluan dan tanpa peraturan. Gula yang manis itu pun, jangan diambil berlebihan. Begitulah juga dengan cinta. Bila mabuk kita tak sedar, tak nampak dan tak pasti. Yang dilihat hanya yang indah-indah sahaja. Umpama sesuatu yang amat dekat di mata, tidak akan jelas kelihatan, tapi apabila dijauhkan sedikit, barulah jelas kelihatannya.

Cinta yang suci adalah hubungan hati yang terbentuk atas asas yang konkrit, tujuan yang suci, pelaksanaan yang bersih dan hasilnya yang mulia. Seorang insan tak dapat lari daripada punyai naluri untuk menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah yang telah Allah berikan kepada kita, secebis dari sifatNya yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tidak salah jatuh cinta, yang salahnya adalah apabila kita tidak tahu untuk mengawal perasaan cinta itu dari menguasai dan beraja di hati. Sematkan dan selalu ingatkan hati agar mencintai Allah dan Rasul lebih daripada cinta kita kepada makhluk. Inilah cinta yang hakiki dan abadi. Tapi kita sering melihat ramai manusia telah terleka dengan cinta sesama manusia.

Seringkali saya berfikir, terfikir, dan merenung akan hakikat ini. Dalam hati, selalu berdoa agar fitrah yang ada itu dapat diuruskan dengan sebaiknya. Sering bertanya, adakah kita kuat untuk menghadapinya? Di dunia akhir zaman ini, iman kita hanyalah senipis kulit bawang..malah lebih nipis dari itu..

Cinta manusia diagung-agungkan dalam lagu..melodinya mampu membuai perasaan si pendengar. Jiwa remaja begitu mudah hanyut dengan lagu-lagu cinta. Kadangkala saya bimbang akan keadaaan ini..tanpa kita sedari, lirik lagu yang kita alunkan itu telah meletakkan Allah di tempat yang kedua! Orang yang dicintai dan dikasihi ditempat yang pertama..nauzubillah.

Kadangkala kita merasakan kuat menghadapinya. Kita sangkakan kita teguh, tapi rupanya kita rapuh..sedarlah wahai diri, bahawa kamu ada musuh, musuh yang sentiasa ada denganmu. Iaitu syaitan laknatullah, yang sentiasa dan tidak jemu berusaha untuk melalaikan hati-hati manusia. Apabila hati manusia berjaya dilalaikan daripada mengingati yang Esa dan lebih mengingati makhluk yang lain, maka syaitan pun bersorak gembira. Sedikit demi sedikit, kita jauh dariNya.

Tanyalah pada hati dengan sejujurnya, kerana kebaikan itu akan menyebabkan hati menjadi tenang dan tenteram, sedangkan kejahatan akan membawa kepada kegelisahan.Jika hati tidak tenang, maka selidiklah akan perbuatan dan amal kita, pasti ada yang tidak kena, kadangkala hati kita sendiri yang tidak mahu mengakuinya kerana nafsu telah mengusai iman. Jika apa yang kita lakukan itu mula terpesong dan melalaikan hati, maka pandai-pandailah tekan brek dan kawal stereng.

Padaku, cinta yang sejati tidak akan melalaikan, tidak akan melekakan
Sentiasa saling mengingatkan agar
lebih mencintai yang Maha Pencipta Cinta
Menjaga batas pergaulan selagi syariat tidak menghalalkan
Jelas dengan tujuan, syariat menjadi sandaran
Hati tenang dan tenteram, redha dengan segala kemungkinan..


-Cahayahati88-

No comments: