Saturday, June 16, 2012

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 3)


Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Doa masuk kota Madinah
Ya Allah Tuhanku, negeri ini adalah tanah haram Rasulullah, Muhammmad s.a.w., maka jadikanlah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan lindungiku dari penghisaban yang buruk di hari kemudian.

Alhamdulillah, kami selamat tiba di kota suci Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin malam. Kami berada lebih kurang 4 hari di Madinah dan pada hari Khamis kami bertolak ke Mekah pula.

Hati saya sudah tidak sabar-sabar untuk menziarahi makam Nabi di Raudhah. Terasa sangat ingin bertemu dan berbicara dengan baginda.

Rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah saat pertama kali melangkah masuk ke Masjid Nabawi. Subhanallah, masjid Nabawi sungguh cantik sekali! Rasa sangat tenang dapat bersolat di dalamnya. Perkarangan masjid Nabawi sungguh lapang dan luas.

Di Masjid Nabawi, jemaah wanita tidak dibenarkan membawa masuk kamera tetapi sebaliknya bagi jemaah lelaki. Setiap kali kami hendak masuk, pasti beg akan diperiksa oleh pengawal wanita yang menjaga di setiap pintu masuk. Mungkin mereka ada sebab tertentu untuk berbuat demikian. Jadi, untuk mengambil gambar Raudhah, saya meminta bantuan daripada seorang pakcik yang satu rombongan dengan kami.

Selepas solat Subuh, kami menziarahi makam baginda Rasulullah di Raudhah. Kami dikumpulkan mengikut negara sebelum dibenarkan masuk ke Raudhah. Jemaah Malaysia biasanya akan masuk ke Raudhah bersama jemaah Indonesia.

Berhampiran dengan makam Rasulullah terletak juga makam Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Saiyidina Umar Al-Khattab r.a.

Saya tidak banyak pengalaman berada di Madinah apatah lagi di Mekah. Tetapi masa yang sekejap itu, saya melihat dan memerhatikan bahawa jemaah Malaysia dan Indonesia lebih berbudi bahasa dan menghormati jemaah yang lain. Mujur, seorang ustazah daripada Indonesia itu lantang suaranya memarahi sebilangan jemaah negara lain yang memakai jubah hitam, yang memotong giliran dan melangkah kumpulan kami dengan tidak beradab.

Peluang yang diberikan Allah untuk dapat bersolat di Raudhah adalah suatu kenangan yang manis sekali. Sungguh rindu diri ini kepada Rasulullah, rindu sekali untuk bertemu dengan baginda. Seperti mimpi dapat bersolat sunat hingga selesai di kamar yang mulia itu.

Assalamualaika ya Rasulallah warahmatullahi wabarakatuh. Kesejahteraan ke atasmu wahai Rasullallah, rahmat Allah dan berkatNya untukmu. Kesejahteraan ke atasmu wahai nabi Allah. Kesejahteraan ke atasmu wahai sesuci-suci makhluk Allah. Kesejahteraan ke atasmu wahai kekasih Allah.

Semoga dengan ziarah kami ke makam Rasulullah, kami berdoa moga kami diberikan syafaat oleh baginda di padang Mahsyar nanti. Hari yang tidak berguna harta benda dan anak-pinak kecuali hambaNya yang datang menemui Allah dengan hati yang sejahtera.  

Selepas solat dan berdoa, saya menyampaikan kiriman ucapan salam kepada rasul dari sahabat yang memesan di Malaysia.

Wahai nabiku, aku rindu kepadamu
Akan aku terus jadikan akhlakmu sebagai ikutan
Dan penguat semangatku di dunia ini sehingga aku dapat bertemu denganmu di sana..

Masjid Nabawi dengan payung yang sudah terbuka

Salah satu pintu masuk Masjid Nabawi

Perkarangan Masjid Nabawi

Kubah Hijau yang memayungi makam Rasulullah s.a.w.


Rindu kepada Raudhah
-Cahayahati88-

No comments: