Sunday, December 11, 2011

PemberianNya 'berbeza-beza'



Seorang rakan yang saya kenal baik memberitahu saya kisah beliau. Kisah yang boleh saya kategorikan sebagai privasi di kalangan kaum perempuan yang menjaga baik akhlaknya. Yang bercita-cita menjadi wanita solehah dalam berlautan mujahadah.

Suara beliau yang penuh rasa bimbang saya amati dengan empati. Bimbang jika saya terlepas butir bicaranya yang menagih ulasan demi ulasan buat menenangkan hati yang resah. Ulasan yang ditagih daripada diri yang punya banyak kelemahan ini cuba saya penuhi sebaiknya. Moga-moga hatinya tenang kembali.

Orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, dia sentiasa berasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya, tetapi orang yang keji memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang hanya dengan tepisan maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.

Begitulah hebatnya orang mukmin. Semoga saya dan kalian tergolong di dalam kalangan orang mukmin yang memandang hatta sekecil dosa pun seperti gunung yang bakal menghempap kita, bukan seperti lalat kecil yang berlegar-legar lalu hinggap di hidung, ditepis larilah ia dan kitapun selesa semula.

Kisah rakan saya itu bukanlah hendak saya ceritakan di sini. Kisahnya itu layak saya kagumi tetapi oleh kerana padanya kisah itu adalah privacy, jadilah ia amanah kepada saya.

Cuma beliau begitu resah lantaran dirinya memandang kepada gunung, tidak kepada lalat.

Berbahagialah beliau menjadi seorang mukmin.

Satu pemerhatian beliau nyatakan.Pemerhatian dalam lingkungan kehidupan beliau yang mengundang rasa kagum juga persoalan di hatinya.

Pemerhatian ini dapat saya kongsikan kerana mungkin ia juga berlaku di sekeliling kita samaada kita sedar atau tidak.

Beliau bertanya, mengapa ada wanita yang sangat menjaga agamanya dalam erti kata sangat menjaga pergaulannya dengan lelaki masih tidak kahwin-kahwin lagi sedangkan mereka adalah wanita yang sangat solehah. Umur mereka hampir mencecah 30 tahun.

Cemburunya pula rasa bila ada wanita yang semenjak kecil terpelihara kesolehahannya, mudah mendapat jodohnya dan soleh pula.

Ada wanita yang berhempas-pulas bermujahadah menjadi solehah tapi perlu juga melalui pengalaman yang tidak enak sebelum bertemu dengan pasangan idaman mereka yang soleh. Alangkah indahnya jika semuanya lancar-lancar sahaja.

Tak kurang juga ramai wanita paras agamanya begitu-begitu sahaja, tetapi jodohnya datang awal pula di usia muda.

Sahabat yang saya sayangi..

Pemberian Allah itu ‘berbeza-beza’ jalannya. Ada orang telah ditulis takdirnya untuk melalui jalan yang mudah. Ada juga orang yang telah ditulis takdirnya untuk menempuh jalan belukar.

Jika semua manusia didunia ini semuanya baik-baik belaka, tidak perlulah ada dunia. Tidak perlu ada neraka. Hanya perlu ada syurga sahaja.

Telah Allah ciptakan kita untuk menguji kita, siapakah di kalangan kita yang terbaik amalnya. Selayaknya kita diuji kerana kita hanya seorang hamba. Redhalah dengan takdirmu. Redhalah dengan apa yang telah kamu lalui dan hadapi. Hikmah itu pasti ada cuma ia belum terfikirkan oleh fikiran kita yang terbatas.

Usah mengeluh dengan jalanmu tatkala memandang ke jalan orang. Teruskan berjalan dan arahkan ke destinasi yang lebih baik dan cemerlang.

Tuhan kita terlalu ADIL sifatnya sehingga takdir yang dilakarkan untuk manusia itu kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran, jika terkadang buruk pada pandangan manusia itulah yang baik untuk keadaan dan situasi manusia, dan itulah yang terbaik pada pandangan Allah juga.

Jika kita tidak beroleh adil Allah di dunia, di akhirat sana sedang menanti adil Allah yang lebih besar untuk kita.

Allahlah yang lebih dan Maha Mengetahui, bukan kita.
Allahlah yang lebih dan Maha Bijaksana, bukan kita.

Yang penting, jangan pernah berhenti berdoa dan tetapkan arah untuk sentiasa menuju dan ingin sampai ke destinasi yang lebih baik. InsyaAllah, Allah pasti akan membantu.

Saya berfikir, lagi dan lagi..
Semoga resahmu pergi tidak kembali lagi.

-Cahayahati88-

Saturday, December 3, 2011

Istighfar

Beristighfarlah selalu
Bila ada yang melukakan
Bila kamu tidak dapat apa yang kamu harapkan

Beristighfarlah selalu
Dengan sedar kalimah itu
Ia mengubah sedih jadi suka
kurang jadi syukur
lemah jadi kuat
sempit jadi lapang

Beristighfarlah selalu
Selayaknya diri selaku hamba
KepadaNya buat selamanya...

-Cahayahati88-

Monday, November 28, 2011

Lebih Baik Terhutang Budi

Lebih baik berasa ‘terhutang budi yang diberi’ daripada berasa ‘meminta budi kembali’.

Itulah kesimpulan saya seusai perbualan dengan adik di telefon.

Apabila kita meminta pertolongan daripada seseorang, dan orang tersebut pun menolong kita dengan rela hati, ‘sepatutnya’ kita mempunyai rasa yang kita telah terhutang budi kepada orang yang telah menolong kita itu.

Lebih-lebih lagi ‘sepatutnya’ jika orang yang menolong kita itu sanggup memenuhi permintaan kita sedangkan pada masa yang sama dia ada kerja lain yang perlu dibuat ataupun dia akhirnya memenuhi permintaan kita juga setelah kita memujuk dia.

Jika kita yang meminta pertolongan daripada seseorang ataupun kita meminta dan memujuk seseorang untuk memenuhi permintaan kita, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.

Dua patah perkataan itu, ‘terima kasih’ bukanlah susah sangat untuk dilafazkan dan dua patah perkataan itu tidak merendahkan maruah diri kita sedikit pun.

Jadilah seorang yang suka mengucapkan terima kasih jika anda ingin menjadi seorang yang disenangi.

Santunilah diri kita terlebih dahulu sebelum kita meminta seseorang menyantuni kita.

Keadaan itu adalah apabila kita yang meminta permintaan kita dipenuhi TETAPI jika kita yang memberikan budi kita kepada orang, jangan pula kita mengharapkan terima kasih daripadanya.

Jika kita mengharapkan terima kasih daripada manusia, kita boleh menjadi seorang yang sakit jiwa kerana tidak semua manusia tahu berterima kasih.

Haraplah keredhaan Allah terhadap kita semata-mata.

Di dalam situasi berhadapan dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu, jangan dilayan rasa sakit hati yang kita rasakan. Jika kita biarkan hati kita berasa sakit hati kerana apa yang kita berikan tidak dihargai, samalah ertinya dengan kita melukai hati kita sendiri.

Kita akan jadi tidak tenang dan mudah marah.

Haraplah agar Allah redha terhadap budi yang telah kita berikan kepadanya itu, bimbang diri kita terjatuh dalam jurang riak yang membakar hangus pahala dan membumbungkan rasa bangga diri.

Dalam masa yang sama, berwaspadalah dengan orang yang tidak tahu menghargai seperti itu.

Jika mahu membenci, bencilah pada akhlaknya yang buruk itu, tetapi janganlah membenci dirinya kerana dia juga manusia yang boleh berubah.

Jadilah seorang yang sensible.

Sebagai contoh, jika kita mengajak rakan kita untuk keluar menemani kita makan kerana kita berasa tersangat lapar, bayarlah sekali harga makanan yang telah dipesan oleh rakan kita itu. Jangan meminta untuk dia membayar sendiri harga makanan yang telah dipesannya itu dan ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemani kita makan.

Jika rakan kita terhutang kita beberapa sen sahaja, janganlah kita berkira sangat.

Jika kita menumpang kereta rakan kita, berilah duit minyak kepadanya sebagai tanda kita seorang yang tahu berterima kasih.

Jika kita pula yang memberi tumpang, elakkanlah daripada meminta rakan kita itu membayar duit minyak kereta kita kecuali kita telah memberitahunya terlebih dahulu bahawa kos perjalanan perlu ditanggung bersama.

Di akhir perbualan, saya berpesan kepada adik saya supaya jangan mengharapkan terima kasih daripada orang dan berhati-hati lain kali dengan orang yang tidak tahu berterima kasih.

Lebih baik kita ‘rasa terhutang budi’ daripada ‘meminta budi kita kembali’.

InsyaAllah, kita akan disenangi penduduk langit dan bumi.

-Cahayahati88-

Sunday, November 27, 2011

Perniagaan Yang Tidak Ada Rugi



Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak ada kerugian." (Surah Faathir, ayat 29)

-Cahayahati88-

Saturday, November 26, 2011

Tahun 23 Yang Manis

22 November 2011 bersamaan 26 Zulhijjah 1432 Masihi, genaplah saya berumur 23 tahun.

Alhamdulillah, Allah memberikan saya kesempatan untuk terus bernafas lagi di atas bumiNya ini. Saya tidak tahu bila waktu saya akan berakhir. Mungkinkah esok, lusa, tahun hadapan, 10 tahun lagi, saya tidak tahu. Yang saya tahu, waktu akhir itu adalah pasti untuk saya.

Walau berapa lama pun kita hidup, ia hanya sia-sia jika umur itu tidak berkat.

Ya Allah, kurniakanlah aku serta mereka yang aku kasihi umur yang berkat serta pengakhiran hidup yang baik..amin..

Sebenarnya saya seorang yang tidak berapa kisah jika orang tidak mengingati Hari Lahir saya. Tetapi saya kisah juga bila orang yang saya sangat rapat dalam hidup ini dalam erti kata suami saya nanti dan sahabat karib saya tidak mengingati Hari Lahir saya.

'saya kisah juga’ tidak bererti ‘saya kisah sangat’, kerana saya sedar seorang bergelar insan tidak dapat lari daripada sifat kadang terlupa.

Sepotong ucapan yang lahir dari hati yang tulus sudah cukup menggembirakan hati saya berbanding sebiji kek coklat moist yang begitu lazat.=)

Ada apa dengan Hari Lahir ya?

Ketika zaman kecil-kecil dahulu, saya panggil Hari Jadi. Dalam fikiran, muncullah kek dan hadiah. Tentulah hati suka sekali.

Seiring usia menginjak dewasa, saya lebih suka menyebut Hari Lahir berbanding Hari Jadi.

Tiada lagi di fikiran muncul kek dan hadiah. Saya tidak kisah jika tidak dapat pun. Tetapi jika ada orang yang memberi, saya sangat gembira dan menghargainya.

Yang muncul di fikiran dan hati saya adalah pertamanya rasa takut kerana usia saya semakin bertambah. Bermaksud, masa saya untuk sampai ke waktu akhir itu semakin menghampiri. Ia adalah fakta yang saya perlu sentiasa sedar dan tidak boleh alpa.

Keduanya, rasa berterima kasih kepada emak saya kerana telah melahirkan saya ke dunia. Semua kesakitan melahirkan emak hadapi dengan sabar dan bersama jiwa yang berani . Tak pernah pun emak menceritakannya jauh sekali mengungkitnya kembali.

Bagi saya itulah ucapan yang terpenting semasa Hari Lahir saya iaitu berterima kasih kepada emak.

Ucaplah selagi kita ada masa untuk berbuat begitu sebelum kita ditinggalkan ataupun kita meninggalkan.Sebelum kita rasa kesal dengan ketidakupayaan diri kita sendiri untuk menyuarakan ketika masa masih ada.

Di usia 23 tahun ini, saya belajar banyak pengalaman baru, saya menemui ramai orang, dan saya mengalami pertemuan-pertemuan yang bermakna. Semoga pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui semakin mematangkankan saya dalam menghadapi cabaran yang menanti di hadapan, dapat saya terus ingat teladannya dan sempadannya.

Rakan-rakan membuat kejutan untuk menyambut Hari Lahir saya. Saya tidak menyangka yang mereka akan meraikan Hari Lahir saya kerana sudah 2 hari ia berlalu. Saya sangat gembira dan terkejut juga dengan pakatan rahsia mereka itu.=)

Kepada keluargaku yang menjadi kebahagiaanku,
Kepada pendamping hidupku yang dalam rahsia Ilahi, yang dengannya ku harap mawaddah,
Kepada sahabat-sahabatku yang menambah warna-warna indah hidupku,

Saya menyayangi dan mencintai kalian kerana Allah. Semoga kita dikurniakan keberkatan di kehidupan dunia ini dan dipertemukan semula di syurga abadi. Insya Allah, Amin.

Hadapilah hari-hari dengan penuh semangat! =)

-Cahayahati88-

Wednesday, October 19, 2011

Kunci Bahagia


Bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar dilafaz oleh lisan, tetapi hidupkannya dan suburkannya dengan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah.

-Cahayahati88-

Friday, October 7, 2011

Jom Doa Supaya Sentiasa Berasa Bahagia! =)



Ya Allah, setiap apa yang aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang Engkau redhai. Setiap apa yang Engkau singkirkan daku daripada apa yang aku cintai, jadikanlah ia ketenangan dalam hatiku. =)

-Cahayahati88-

Sunday, October 2, 2011

Ibrah Minggu Ini dan Hari-hari Seterusnya



Tekak sudah terasa perit sejak dua hari lepas. Selesema menyerang dan badan pula sudah dedar-dedar. Terasa diri lemah untuk melakukan kerja.

Nikmat kesihatan yang ditarik buat sementara rupanya membawa ibrah yang tersendiri. Barulah saya tersedar rupanya diri kurang perhatian. Adanya tanah, air dan cahaya, pokok tetap boleh tumbuh jua tetapi tunbuhnya hanya biasa-biasa sahaja.

Cuba pula diletakkan baja, pasti tidak biasa-biasa lagi. Malah makin segar dan subur. Itulah ibaratnya dengan badan manusia. Amanah Allah yang perlu dijaga tapi seringkali diri ter ‘alpa’ atau adakah buat-buat lupa?.

Jadi, semalam selepas Zohor saya mahu tidur untuk merehatkan diri dan bangun semula sebelum Asar tiba. Jika bangun selepas Asar, kepala pasti akan pening. Baru dapat lena sekejap, adik serumah menghubungi. Meminta untuk beliau diambil di stesen LRT Taman Jaya.

Jika diikutkan rasa hati, mahu sahaja sambung tidur lagi.

“Tak boleh tidur lagi!”, mata hati mengingatkan. Jika tidur lagi, nanti pasti menyesal tidak memaknakan masa.

Selepas mengambil dan menghantar beliau pulang, saya pergi ke farmasi. Dalam keadaan kesihatan yang sebegini, motivasi diri jadi down sedikit. Jadi, saya masuk pula ke Book Excess dengan harapan saya beroleh sesuatu yang baik di sana. =)

Saya terlihat pada tajuk buku, Make Your Own Rules for Success.

Yup.!

MAKE YOUR OWN RULES FOR SUCCESS.

Kita perlu buat rules untuk diri kita sendiri walaupun kesihatan terganggu. Ubah rules yang ada, mengikut kesesuaian tahap kesihatan semasa. Bukan tidur memanjang. Sangat tidak memaknakan masa.

Bila ada rules, masa yang kita tidak sepatutnya tidur itu (keadaan bila dah tidur, nak tidur lagi) boleh digunakan untuk buat kerja lain sebenarnya, kerja yang kita dah tetapkan untuk perlu disiapkan pada sekian-sekian masa. Automatically, kita tiada kerja yang tertangguh. Semua dapat dibuat. =)

Apa-apapun, walaupun sudah ada rules, sudah ada maklumat, sudah ada ilmu, sudah ada kemahiran, semua itu hanya sia-sia jika kita tidak ada SIKAP yang POSITIF.

CREATE YOUR OWN ATTITUDE TO REALIZE THE VALUE OF YOUR RULES.

Tanpa sikap yang positif,
Walaupun kita ada rules, rules itu akan lompong-lompong sebab kita tidak ikut dengan betul.
Walaupun sudah ada maklumat, maklumat itu tak berguna sebab kita tak gunakan.
Walaupun sudah ada kemahiran, kemahiran itu tak dapat nak diaplikasikan sebab kita malas.
Walaupun sudah ada ilmu, ilmu itu hanya sekadar ilmu sahaja sebab kita tidak amalkan.

SIKAP adalah tenaga yang menggerakkan jiwa dan perasaan dalaman. Sikap yang positif akan menggerakkan jiwa dan perasaan dalaman ke arah yang positif. Seterusnya, melahirkan tingkah laku yang juga positif.

Sikap adalah INSIDE-OUT. Full-stop. Not outside-in.

Kerana sikap umpama pintu yang terkunci dari dalam. Tiada siapa yang dapat membukanya kecuali tuan punya pintu itu sendirilah yang perlu membukanya dengan rela. Inside-out. Barulah perubahan sikap itu menjadi hakiki.

Jadi, lahirkan sikap yang positif agar rules yang dibuat tidak ada yang lompong-lompong lagi.

Bila masa dapat dimaknai dengan lebih baik, jadi tiadalah sakit tekak, selesema dan dedar-dedar lagi!. =)

P/S : Baru saya lebih sedar, walaupun telah perasan pun selama ini yang saya kadang-kadang terlupa untuk makan madu yang emak saya kirim. Selepas ini, saya mesti menyempatkan diri untuk makan 2 sudu madu setiap hari. Jadi, bila pulang ke kampung, dengan senang hatinya bolehlah saya berkata “mak madu dah habis” bila mak tanya nanti. Tidaklah saya dibebel lagi. Oh ya, kadangkala bebelan adalah tanda kasih seorang ibu.=)

Jumpa lagi, InsyaAllah. =)

-Cahayahati88-

Monday, September 12, 2011

Rasa Hati

Ya Allah,
Kuatkan diriku ketika aku lemah
Ingatkan diriku ketika aku leka
Dan pelihara insan-insan yang aku kasihi tika aku lalai mendoakan mereka
Sedangkan mereka tidak pernah lalai mendoakanku..

-Cahayahati88-

Sunday, August 21, 2011

Pasti



Bila ada di depan mata, susah sekali untuk disyukuri. Bila hilang tidak kembali, baru terasa sangat bererti.

Hari ini, Allah telah mengingatkan saya mengenai beberapa perkara:

1)Hargai ayah dan ibu selagi mereka masih ada di dunia.
2)Berdoa agar diri dapat merasai kehadiran saat kematian sekiranya ia telah hampir
menjemput agar dapat membuat persediaan terakhir.
3)Berdoa agar mendapat khusnul khatimah, mati dalam keadaan yang Allah redha.

“Nanti bila kamu ada anak, didik anak kamu dengan agama. Pentingkan agama dahulu. Ajar mereka kenal Al-Quran. Ada duit yang banyak pun, kalau takde agama, tak guna juga..”.

Itu kata-kata daripada arwah ayah Kak Azrina di saat-saat akhir kehidupan ayah beliau di dunia. Pesanan itulah yang Kak Azrina sangat-sangat ingat.

Sedikit kisah mengenai arwah ayah Kak Azrina sebagaimana beliau menceritakannya kepada saya pagi tadi :

Arwah telah menghidap kencing manis selama lebih kurang 20 tahun dalam hidupnya. Dan selama itu, Arwah mengawal pemakanannya dengan baik , menggunakan caranya sendiri daripada memakan ubat-ubat pemberian doktor.

Tetapi apa yang telah tersurat sejak azali tiba jua. Ada ketuat kecil tumbuh di kaki. Arwah pun mencabutnya kerana ketuat itu sangat kecil. Tetapi lama-kelamaan kawasan itu bernanah dan luka yang terjadi semakin besar. Infection yang berlaku menyebabkan jantung juga mengalami masalah.

Arwah memang sejak dahulu sangat suka bercakap mengenai agama. Kalau bercakap sentiasa mengenai agama dan tak henti-henti.

Di saat kematian arwah, arwah seolah-olah dapat merasa bahawa ajalnya semakin dekat. Arwah berpuasa 3 bulan berturut-turut, Rejab, Syaaban, Ramadhan. Dalam keadaan yang kurang sihat, tambah pula di suatu hari, jatuh birthday cucu arwah, iaitu anak Kak Azrina yang bongsu, Sofea.

“Kenapa ayah puasa hari ni? Kan hari ni birthday Sofea.” Kak Azrina bertanya kepada ayah beliau kerana beliau mahu menyambut birthday Sofea pada hari itu dan mereka sekeluarga sememangnya sangat rapat.

Dan apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu tak perlu tahu kenapa ayah puasa. Ini urusan ayah dengan Allah”.

Semasa di hospital, arwah sedang tenat. Terpaksa memakai alat bantuan pernafasan sepanjang masa. Tetapi, kuasa Allah, dua tiga hari sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir, arwah sihat tiba-tiba dan dapat bercakap tak henti-henti seperti orang yang tidak menanggung sakit apa pun. Jadi, mereka sekeluarga sangat gembira dan menyangkakan arwah akan dapat pulang ke rumah tidak lama lagi.

Kak Azrina pun menyatakan nazar beliau, jika ayah beliau dah sihat dan dapat pulang ke rumah nanti, Kak Azrina mahu pakai tudung. Pada ketika itu, Kak Azrina masih belum memakai tudung.

Tapi apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu jangan berharap yang ayah akan pulang ke rumah lagi.”

Pada ketika arwah sihat tiba-tiba itulah, arwah menyampaikan banyak pesanan. Di antara pesanan arwah yang membuatkan air mata Kak Azrina mengalir saat beliau bercerita kepada saya ialah ayah beliau meminta untuk anak-anaknya membuatkan haji untuknya kerana arwah tidak sempat pergi haji.

Kak Azrina berkata, ketika ayah beliau masih ada, beliau tidak begitu ambil pusing akan apa yang ayah beliau kata. Dengar-dengar juga tapi tak begitu tersemat di hati. Tetapi kini, bila ayah beliau sudah tiada, beliau sangat merindui arwah dan sering teringat pesanan-pesanan arwah.

Perbualan kami pagi tadi, hampir-hampir membuatkan air mata saya juga mengalir, kalaulah saya tidak menahannya.

Saya sentuh tangan Kak Azrina, cuba menenangkan beliau dan berkata,

“Sungguh Kak, bila Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah pasti akan berikan kita sesuatu yang lain pula, kadang-kadang sesuatu yang lebih besar. Sekarang akak pun lihat kan, akak dah dapat pakai tudung dengan konsisten. Kakak akak pun dah berubah, jadi muslimah pula tu.. =)”

Walaupun saya tak pernah berjumpa dengan ayah Kak Azrina,namun saya berasa arwah seorang yang hebat dan sangat beruntung kerana dapat merasai akan kehadiran ajalnya beberapa bulan sebelum itu dan dapat membuat persediaan yang terakhir. Arwah dapat meninggalkan banyak pesanan, nasihat dan wasiat buat mereka yang masih hidup. Arwah juga dapat berpuasa bagi memudahkan jenazahnya diuruskan kelak. Suatu rahmat yang tidak semua orang memperolehnya. Subhanallah..

Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan hamba-hambaMu yang soleh.

Terima kasih ya Allah kerana mengingatkanku kepada hari yang pasti itu.

Terima kasih Kak Azrina kerana berkongsi cerita dengan saya.

Kami bersalam dan saya memeluknya. Tanda kasih seorang adik kepada kakak. Mereka sekeluarga akan berangkat ke London dan mungkin juga ke Paris seminggu selepas raya. Sebulan lebih kami tidak akan bertemu dan pasti saya akan merindui mereka sekeluarga lebih-lebih lagi Sofea, Adhlina dan Adhlan.

Semoga selamat perjananan dan kembaramu di bumi Allah ini. Amin.

-Cahayahati88-

Monday, August 15, 2011

Mencontohi Tawakal Ayah

Sebulan sekali saya mesti akan pulang. Seperti biasa, ayah akan menjemput saya di Stesen Bas Melaka Central. Boleh saja jika saya menaiki bas ‘ting tong’ yang akan berhenti di simpang tidak jauh dari rumah. Tapi saya lebih suka jika ayah menjemput saya terus di Melaka Central kerana lebih menjimatkan masa.

Kalau menaiki bas ‘ting tong’ mahu saja hampir 1 jam baru tiba di rumah sedangkan perjalanan sebenar hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja kalau menaiki kereta dengan syarat ayahlah yang bawa..huhu . Ayah memang pandu laju tapi cekap. Kami adik-beradik lebih rasa selamat berbanding kalau emak yang pandu. Namun emak tetap berani di hati kami ! =)

Di dalam kereta, ayah suka bercerita tentang apa yang telah berlaku. Selalunya ayah akan bercerita tentang hal-hal berkaitan keluarga kami, tentang perkembangan adik saya yang bongsu, Aiman, juga mengenai hal pekerjaan ayah.

Semasa zaman ayah budak-budak, datuk saya bukanlah orang senang. Tidak kaya tetapi tidaklah terlalu miskin. Ayah berhenti sekolah semasa di tingkatan satu dan pergi mengikut datuk dan paklong saya berdagang ke Negeri Sembilan. Mencari rezeki. Nenek dan adik-beradik ayah yang lain menjaga lembu di kampung. Walaupun ayah tidak berpelajaran tinggi, tidak masuk universiti dan tidak ada ijazah macam orang sekarang, tapi kami sekeluarga tetap cukup makan dan pakai hasil tulang empat kerat ayah bekerja.

Semasa saya dan kakak masih kecil, ayah bekerja mengambil upah membawa ‘bulldozer’ orang. Kami adik beradik memanggil benda itu ‘enjin bajak’..huhu. Ada orang memanggil benda itu ‘sodok’ kerana kerjanya asyik menyodok tanah. Daripada pengalaman bekerja makan gaji dengan orang, ayah memulakan perniagaan sendiri. Ayah membeli ‘bulldozer’ ayah sendiri melalui pinjaman bank.

Saya melihat banyak jatuh bangun ayah dalam perniagaan. Ayah pernah menanggung hutang yang mencecah puluhan ribu akibat sedikit kecuaian terhadap geran hak milik bulldozer yang ayah jual. Hutang tunggakan bayaran bulanan bulldozer kepada pihak bank dipalit kepada ayah oleh si pembeli yang tidak bertanggungjawab. Ayah terpaksa meninggalkan kami berhari-hari untuk menjejak kembali bulldozer tersebut di utara. Selepas susah payah turun naik bank, akhirnya masalah besar itu berjaya ayah selesaikan.

Suatu ketika akibat kemelesetan ekonomi negara, ayah bekerja mencari dan menjual besi-besi buruk. Tin-tin susu dan minuman kami kumpul untuk ayah jual. Ayah memang cekal dan berani menghadapi risiko.

Sekarang perniagaan ayah agak baik. Ayah sudah mempunyai lori kren yang jarang-jarang dipunyai oleh orang Melayu. Puas ayah cari tapi tiada satu pun orang Melayu yang ada lori kren seperti ayah di Melaka, yang ada kepunyaan orang Cina ataupun India. Ayah beli bulldozer secondhand, baiki mana yang rosak dan jual semula. Ayah beli mesin pembancuh simen dan forklift. Ayah jual semula forklift dan beli pula mesin pemecah batu. Pandai ayah bermain modal.

Saya kagum dengan sifat tawakal ayah. Dalam berniaga, ayah tidak akan mengambil duit muka dahulu walau satu sen pun. Katakan, ada orang meminta ayah untuk menghantar barang-barang menggunakan lori kren dari Melaka ke Shah Alam, selepas barang-barang selamat sampai dan diturunkan di Shah Alam, barulah ayah akan terima upah perkhidmatan sewa lori kren itu.

Begitu juga kalau ayah meratakan tanah orang menggunakan bulldozer, ayah akan mengambil bayaran hanya selepas kerja siap sempurna.

Pernah seorang customer berasa kagum dengan ayah. Rupa-rupanya customer tersebut ada ‘link’ dengan TNB . Dia memberitahu ayah yang selama ini dia menggunakan lori kren milik bangsa lain. Kadang-kadang dia tertipu. Duit muka sebanyak dua kali ganda telah dibayar, tapi lori yang ditunggu-tunggu untuk mengangkut barang masih tidak muncul. Dia terlihat iklan ayah di internet,jadi customer itu cuba-cuba untuk menggunakan perkhidmatan sewa lori kren ayah pula dengan harapan 'orang islam, moga-moga boleh dipercayai'.

Kebanyakkan tauke-tauke akan meminta dua kali ganda daripada bayaran sebenar. Selepas mesin dipulangkan barula duit muka itu akan dipulangkan.

Saya menduga ayah kenapa ayah tidak berbuat sebegitu. Tidakkah ayah takut jika ditipu?

Ayah menjawab, "Kalau ayah minta bayaran dahulu atau ambil duit muka dua kali ganda, akan bertambah beban kepada mereka yang tiada modal. Lain kali mereka tak nak sewa mesin atau lori ayah lagi. Ayah tawakal pada Allah, kita dah buat kerja. Kalau ada rezeki kita, Alhamdulillah, kalau katakan mereka nak tipu, berserah.."

Di dalam kereta, ayah bercerita mengenai customer itu. Mahu berlinang air mata saya pada sifat tawakal ayah dan limpahan rezeki Allah pada kami sekeluarga.

Ayah tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh, bukan tawakal yang tak tentu pasal. Terima kasih ayah. =)

Menggunakan lori inilah ayah mencari rezeki.

Antara salah satu mixer ayah.

Kenangan forklift ayah.

-Cahayahati88-

Monday, August 1, 2011

Ramadhan Pertama



Nenek tua itu perlahan-lahan melangkahkan kaki menaiki anak tangga. Tangannya memaut pada penghadang tangga yang sedikit sebanyak dapat memberikannya kekuatan untuk sampai ke atas. Ada 3 tingkat kesemuanya. Ruang solat jemaah lelaki dan wanita ada di tingkat kedua manakala di tingkat paling atas adalah ruang solat untuk wanita sahaja. Semalam kali pertama saya memasuki Masjid Bulat yang terletak di seksyen 14 Petaling Jaya, lebih kurang 10 minit sahaja dari rumah kalau menaiki kereta dan kalau tidak sesak.

Melihatkan nenek tua itu, hati saya terdetik..jika nenek yang sudah tidak berapa upaya ini pun masih boleh dan mahu pergi solat terawih, inikan pula orang muda seperti saya. Sungguh malu rasanya pada diri sendiri kalau punya rasa malas. Seperti sabda nabi kita, Muhammad S.A.W , "rebutlah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara, iaitu masa mudamu sebelum datangnya hari tua, masa sihatmu sebelum kamu dilanda sakit, masa kayamu sebelum jatuh miskin, masa lapangmu sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidupmu sebelum datangnya kematian" ..

Terasa damainya hati bersolat terawih. Di tambah pula dengan infrastruktur masjid yang telah dipertingkatkan. Ada air-cond dalam ruang solat. Kata kak Syahadah, kakak sebilik saya, “kalau tahun lepas panas ni.ada kipas je..huhu”. Alhamdulillah syukur dengan nikmat Allah pada tahun ini. Keadaan bertambah selesa, bak kata nazir masjid, Prof Zul, tiada lagi la alasan untuk kita balik awal.. kalau balik awal pun apa yang kita buat..borak-borak, makan lagi dan lepas tu tidur..ha siapa macam tu ye.. Don’t 3x . =)

Selamat mentarbiyah diri sendiri di bulan ramadhan ini. Moga bertemu lagi..InsyaAllah.

-Cahayahati88-

Kata Hikmah



Pandanglah ke bawah untuk sedar nikmat yang melimpah
Pandanglah ke atas untuk insaf amalmu yang terbatas..

-Cahayahati88-

Wednesday, June 29, 2011

Tak Mudah Tapi Tak Mustahil



Sabar pada lidah mudah untuk dituturkan....tapi pd zahirnya sukar untuk dilaksanakan...cuma pabila sabar senantiasa dipelusuk jiwa pasti pada akhirnya akan memberi suatu perasaan yg tidak dpt digambarkan dengan lidah dan zahir....

Subhanallah.. =)

-Cahayahati88-

Sunday, January 23, 2011

Indahnya Rasa Syukur

Bismillah..dengan namaMu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Dan barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Luqman : 12)

“…Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Ibrahim : 7)

Subhanallah..sangat indah nikmat rasa syukur yang dikurniakan Ilahi. Bersyukurlah walaupun dalam sekecil-kecil perkara, hatta walaupun ditimpa musibah dan kesedihan apatah lagi tika dalam kegembiraan. Ingin saya kongsikan bersama nukilan indah ini yang saya temui tika hati sedang lelah menanggung kesabaran..mari kita hayati =)

Bersyukurlah apabila kamu tidak tahu sesuatu. Kerana itu memberimu kesempatan untuk belajar.
Bersyukurlah untuk masa-masa sulit. Di masa itulah kamu tumbuh…
Bersyukurlah untuk keterbatasanmu. Kerana itu memberimu kesempatan untuk berkembang.
Bersyukurlah untuk setiap tentangan baru. Kerana itu akan membangun kekuatan dan karaktermu.
Bersyukurlah untuk kesalahan yang kamu buat. Itu akan mengajarkanmu pelajaran yang berharga.
Bersyukurlah bila kamu lelah dan letih. Karena itu kamu telah membuat suatu perbedaan.

Rasa syukur membuat hidup kita menjadi indah,
Rasa syukur membuat yang sedikit terasa cukup,
Rasa syukur mengubah apa yang kita miliki menjadi lebih berharga,
Rasa syukur mengubah masalah yang kita hadapi menjadi hikmah yang bernilai,

Rasa syukur mengubah makanan biasa terasa menjadi istimewa,
Rasa syukur mengubah rumah yang sempit terasa lapang dan nyaman,
Rasa syukur mengubah kegagalan menjadi pelajaran berharga,
Rasa syukur mengubah kekeruhan suasana menjadi kejernihan,

Rasa syukur membuat sesuatu yang tidak nyaman menjadi menyenangkan,
Rasa syukur membuat sesuatu penolakan menjadi penerimaan,
Rasa syukur mengubah kebencian menjadi kasih sayang,
Rasa syukur membuat kedamaian di hati kita,
Rasa syukur mengubah emosi kemarahan menjadi latihan kesabaran..

-Cahayahati88-