Tuesday, December 29, 2009

Menanti Doa Bersambut

Majalah ‘Ayu’ saya selak satu persatu, keluarannya bertarikh Jun 1996. Bila dikira-kira, saya masih darjah dua lagi waktu itu. Masya-Allah..dah begitu lama majalah ni, Alhamdulillah masih tersimpan lagi di rumah..pengisiannya sangat bermakna, bila dilihat, ketua pengarang kumpulan majalah ini rupanya adalah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, seorang penulis dakwah yang saya kagumi. Memang dah lama saya tak nampak majalah ni, mungkin sudah tidak diterbitkan lagi.

Sekarang, sudah banyak majalah-majalah yang berkonsepkan Islam di pasaran.. ada majalah Nur, Aniqah, Anis, Al-Islam, i-Islam, Solusi..tapi tak kurang juga hebatnya dengan lambakan majalah hiburan di pasaran yang mengagung-agungkan artis, dan tak lekang dengan gosip-gosip panas. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk memilih yang mana terbaik untuk diri masing-masing. Jika lapar, perut akan berbunyi..tapi jika yang laparnya adalah hati? Bagaimana ya? Jika hati ada suara, pasti ia akan menjerit minta dikenyangkan..renung-renungkan & sama-sama kita tarbiah our rohani : )
Ada monolog yang ingin saya kongsikan bersama kalian..mungkin ia nukilan penulis dalam ruangan majalah ni, Nurul Iman. Jom kita bangunkan hati yang tidur dan aktifkan iman yang lesu.

Menanti Doa Bersambut

Mengapa permintaanku masih belum diperkenankanNya?
Doa bagaikan tidak bersambut…rintihan dan munajat bagai tidak kesampaian.

Kerana Dia masih mahu terus mendengar rayuan dan rintihanmu.

Tapi sampai bila?
Sampai engkau terima, bahawa apa yang diinginkan oleh Tuhan itulah yang terbaik untukmu.

Tapi bukankah aku layak untuk berdoa, dan bukankah Tuhan suka hamba-hambaNya berdoa?
Ya, tapi berdoa dengan hati yang merendah, yang tahu diri maha hina dan lemah. Kerana yang kuat, yang mampu hanya Dia. Maka padanya kita meminta…bukan doa seorang tuan. Ibarat seorang pesuruh istana, tanpa adab sopan, menerjah ke ruang istana, meminta-minta pada Sultan, mungkinkah akan diperkenan?

Tapi aku amat memerlukan, kerana itu aku meminta-minta, merayu-rayu..
Berdoalah, merayu-rayulah terus, merintih dan adukanlah segalanya yang menjadi kesulitan hidupmu pada Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Tahu. Jadilah seperti pesakit yang mendedahkan segala derita dan penyakitnya kepada doctor. Urusan ubat, bukan pesakit yang menentukan, tetapi doctor.

Jadi?
Yang kita rasa perlu untuk kita, belum tentu itu yang Tuhan mahu untuk kita. Boleh jadi, apa yang kita tidak sukai itulah yang terbaik buat kita. Dan boleh jadi pula apa yang kita sukai itulah yang tidak baik bagi kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih, sedangkan kita maha lemah lagi jahil. Terimalah ketentuan Tuhan itu sebagai sahutan dari munajat dan doamu..

-Cahayahati88-

No comments: