Tuesday, May 25, 2010

Kita Adalah Guru

Kini, sudah hampir sebulan saya duduk di rumah, menunggu hari konvokesyen yang menjadi impian setiap pelajar universiti. Tak sabar rasanya mahu menggenggam segulung ijazah dengan mak dan ayah di sisi tersenyum bangga dan bahagia.

Masa terluang yang ada saya isi dengan mengajar tuisyen di rumah. Seronok rasanya mengajar budak-budak sekolah rendah, lebih-lebih lagi apabila mereka faham apa yang diajar.

“ Cikgu, saya nak bagi cikgu sesuatu. Tapi cikgu jangan marah tau kalau tak cantik..” kata Qila yang duduk di sebelah saya.

“Qila nak bagi apa..? eeeh,tak kan la akak nak marah..” jawab saya. Persoalan bermain di fikiran.

“ Betul ni cikgu tak marah..? Janji tau..” kata Qila sambil tangannya mengambil sesuatu dari dalam begnya.

“Selamat Hari Guru, cikgu!” ucap Qila malu-malu.

Rupanya Qila hendak memberikan hadiah kepada saya. Terkejut, serba-salah pula mahu menerima pemberian tersebut.

“Susah-susah je.. Terima kasih ye. Akak baru dua hari ajar Qila, dah dapat hadiah..huhu..” kata saya. Tersenyum melihat telatahnya.

Itulah panggilan mereka kepada saya. Cikgu. Tapi saya lebih suka membahasakan diri sebagai akak. Lebih rapat rasanya. Lagipun saya bukan dari bidang pendidikan, hanya mengajar buat mengisi masa lapang. Walaupun hadiah itu kecil nilainya pada ringgit, tapi nilainya besar pada sebuah penghargaan. Ada sifat menghargai pada Qila, murid tahun 5 yang suka belajar. Semoga Qila juga menghargai ibu dan ayahnya dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“ Kenapa kakngah tak jadi cikgu?” tanya adik saya suatu hari. Tahun depan dia bakal menduduki peperiksaan UPSR.

Selalunya apabila ditanya kepada murid-murid sekolah rendah apakah cita-cita mereka, di antara pilihan-pilihan mereka, majoritinya pasti ada cikgu.

“ Kalau semua orang mahu jadi cikgu, siapa yang nak jadi doktor, polis, peguam, dan kerja-kerja yang lain...?” kata saya, cuba mencari-cari jawapan.

Dalam hati saya juga bertanya mengapa saya tidak menjadi guru, memilih bidang pendidikan sama macam kaklong. Terasa seronok mengajar mereka. Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu.

“Bioteknologi tu apa cikgu?” tanya adik-adik yang saya ajar, ingin tahu.

“Hem..bioteknologi tu kita belajar tentang benda-benda hidup macam haiwan, tumbuh-tumbuhan. Lagi satu, mikroorganisma yang baru kita belajar semalam..” jawab saya.

“Lepas tu, kita hasilkan sesuatu yang berguna daripada benda-benda hidup ni. Guna teknologi yang ada” saya cuba menerangkan dengan bahasa yang mudah untuk mereka faham.

“Ooh..macam tu..” mereka menganggukkan kepala.

Sekarang saya adalah pilihan yang saya buat dahulu. Memilih jurusan Bioteknologi sebagai pilihan pertama. Jurusan yang saya minati. Aturan ini pastinya yang terbaik untuk saya kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Al-Alim dan al-Bari’, Maha Mengetahui dan Maha Perancang hanya Dia, ALLAH SWT.

Guru adalah pendidik. Secara tidak langsung dia juga mendidik dirinya. Guru adalah role-model, contoh ikutan kepada pelajar. Gelaran ‘cikgu’ kekal hingga ke akhir hayat. Ke mana pun pergi, dia tetap di panggil ‘cikgu’ oleh masyarakat.

Bagi saya, kita semua boleh jadi cikgu, kita semua boleh jadi guru walaupun bukan dari aliran pendidikan. Jika dia seorang kakak atau abang, dia adalah guru kepada adik-adiknya dengan menunjukkan teladan yang baik buat mereka. Jika dia seorang ibu atau ayah, dia adalah guru kepada anak-anaknya dengan mendidik dan mengasuh mereka menjadi insan yang berguna. Dan suatu kelebihan bagi lelaki, jika dia seorang suami, dia adalah guru kepada isterinya. Jadi kita semua boleh jadi guru. =)

-Cahayahati88-

1 comment:

umair said...

betul...sgt setuju. kita semua hakikatnya adalah guru, yang ada hak perlu ditunaikan. walau dgn ape background skali pn, hakikatnya tugas kita mendidik dan dididik.