Sunday, May 2, 2010

Kalam Ilahi Pelita Hati


Sekarang tinggal lagi dua paper untuk saya menamatkan semester akhir di bumi UM. Hari-hari menghadap nota-nota biotechnology, membaca dan memahami menyebabkan fikiran jadi penuh dengan teori. Uhh…

Tatkala ketepuan melanda, al-Quranlah yang menjadi penenang jiwa. Kitab suci itu, surat cinta saya dan surat cinta kamu. Kebenaran dan keindahan bergabung menjadi satu. Kekusutan terlerai, keresahan lenyap, kesedihan pasti kan terubat. Dalam al-Quran ada didikan dari Ilahi. Dalam al-Quran juga ada pujukan Rabbi.

Sedang saya membaca al-quran, sampai di suatu ayat dalam surah al-Furqaan, saya jadi terkesima. Sungguh indah kalam Ilahi. Indah sungguh. Dalam ingin mencari redhaNya, Dia memberitahu caranya. Subhanallah..

Di sini saya kongsikan sebahagian ayat daripada surah al-Furqan. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan =)

Bismillahirrahmanirrahim

Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi (61). Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat iaitu memikirkan kebesaranNya, atau mahu bersyukur akan nikmat-nikmatnya itu (62).

Dan hamba-hamba Allah yang diredhaiNya ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan-santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini (63).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (64).

Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan” (65). “Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang sangat buruk” (66).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (67).

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak iaitu yang dibenarkan oleh syarak, dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian akan mendapat balasan dosanya (68). Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69). Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70). Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal salih, maka sesungguhnya ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat (71).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya (72).

Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta (73).

Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa (74).

Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka (dalam menjalankan perkara-perkara yang tersebut khasnya, dan perintah Allah amnya) dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya (75).

Ya Muhaimin, jadikanlah kami termasuk dalam golongan hamba-hamba yang diredhaiMu..Amin.

-Cahayahati88-

No comments: