Saturday, June 16, 2012

Travelog Paling-paling Istimewa, Paling-paling Bermakna (Part 1)

Labbaikallah humma labbaik, hambaMu datang menyambut panggilanMu ya Allah.

Alhamdulillah, hari ini selesai sudah saya mengemas beg-beg pakaian dan bekalan yang dibawa pulang dari umrah. Hati sudah tidak sabar-sabar untuk merakam detik-detik perjalanan umrah ini agar segala kenangan sepanjang berada di sana sentiasa segar dalam hati dan ingatan.

Sekembalinya saya ke Malaysia, saya rasakan perjalanan umrah ini bagaikan suatu mimpi. Manakan tidak, saya tidak pernah menyangka yang saya akan berpeluang menziarahi Baitullah pada usia muda begini, 24 tahun, dalam keadaan saya masih belajar dan belum lagi mempunyai pekerjaan. Dan bagaikan suatu mimpi juga apabila dapat membawa emak bersama. Terasa benar-benar Allah membantu perjalanan umrah ini dan memudahkannya. Subhanallah, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepadaku. Terasa seakan biaya ke arah perjalanan umrah ini begitu mudah dan melimpah sekali.

Ahad, 3 Jun 2012,  rombongan kami yang seramai 20 orang bertolak ke Tanah Suci pada pukul 4 petang dengan menaiki penerbangan Yemenia Airways. Ada sesuatu yang tidak diduga berlaku semasa saya dan keluarga di KLIA. Kejadian yang sedih tetapi kami terima dengan penuh rasa syukur dan saya rasakan apa yang berlaku bagaikan keajaiban dan pertolongan daripada Allah.

Sebenarnya mengikut jadual, penerbangan kami adalah pada pukul 12.30 tengahari. Jadi, kami tiba lebih kurang 3 jam lebih awal dari waktu berlepas sepertimana yang disarankan oleh pihak De Mawardah, Travel Agensi kami. Lebih kurang pada pukul 10 pagi, Aiman mula menunjukkan tanda-tanda dia tidak sihat. Badannya lemah dan kepalanya sakit sehingga ayah terpaksa mendukungnya. Kami gelisah, berdoa agar perkara itu tidak berlaku, tetapi Allah telah mentakdirkan, Aiman diserang sawan lagi pada pagi itu.

Saya dan abang ipar bergegas ke Information Center berhampiran untuk bertanya di mana klinik yang terdekat. Sementara emak dan ayah menguruskan Aiman, kak Long menjaga anaknya yang berumur 8 bulan dan adik-adik pula menjaga bagasi dan menemani nenek yang sudah tidak kuat berjalan.

Kami bukanlah biasa sangat dengan selok-belok di KLIA. Saya berlari di hadapan, bertanya dulu kepada orang di mana arah klinik. Sementara ayah mendukung Aiman di belakang. Terima kasih yang amat kepada abang ipar saya yang banyak menolong ketika situasi itu. Mujur ada abang ipar, beliau pula mengambil alih mendukung Aiman yang sudah tidak sedar daripada tangan ayah.

Setibanya di klinik, Aiman dirawat, dimasukkan ubat dan diberikan bantuan oksigen. Jam pula menunjukkan hampir pukul 12, dan kalau menurut pengalaman sememangnya kami sudah terlewat. Terlintas di fikiran adakah saya akan pergi seorang diri kerana Aiman tidak pernah sakit sebegitu tanpa emak di sisi. Saya menghubungi Encik Munir, petugas yang menguruskan perjalanan umrah kami untuk menanyakan bila waktu check-in kami. Sungguh pertolongan Allah saya rasakan dekat sekali saat Encik Munir memaklumkan bahawa penerbangan kami ditunda kepada pukul 4 petang.

Alhamdulillah, Segala puji bagiMu ya Allah..!

Selepas itu Aiman dihantar ke Hospital Putrajaya menaiki ambulans. Selepas berbincang, ayah ikut naik bersama. Di luar pintu ambulans, saya dan emak menyalami ayah dan mencium pipi ayah untuk kali yang terakhir sebelum kami berangkat ke Tanah Suci. Dalam keadaan seperti itu, air mata saya dan emak sudah tidak dapat ditahan lagi. Namun, kami berasa lega kerana Aiman sudah selamat mendapat bantuan kecemasan.

Saya meminta abang ipar membawa ahli keluarga yang lain ke Hospital Putrajaya. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Tidak perlulah menunggu kami sehingga sampai waktu check-in. Tinggallah saya dan emak di KLIA, menunggu waktu taklimat. Alhamdulillah, perasaan teruja untuk menunaikan umrah sedikit sebanyak membuatkan kami tenang atas kejadian yang berlaku tadi. Tambahan pula, penerbangan kami yang ditunda bagaikan suatu keajaiban dan pertolongan Allah yang sangat terasa.

Benarlah, perjalanan umrah ini adalah jemputan dan panggilan dari Ilahi dan Dialah juga yang berkuasa membuka dan memudahkan jalan kepada hati-hati yang dipilihNya. Bersyukurlah selalu, sentiasa..Terima kasih ya Allah..

-Cahayahati88-

No comments: