Sunday, August 21, 2011

Pasti



Bila ada di depan mata, susah sekali untuk disyukuri. Bila hilang tidak kembali, baru terasa sangat bererti.

Hari ini, Allah telah mengingatkan saya mengenai beberapa perkara:

1)Hargai ayah dan ibu selagi mereka masih ada di dunia.
2)Berdoa agar diri dapat merasai kehadiran saat kematian sekiranya ia telah hampir
menjemput agar dapat membuat persediaan terakhir.
3)Berdoa agar mendapat khusnul khatimah, mati dalam keadaan yang Allah redha.

“Nanti bila kamu ada anak, didik anak kamu dengan agama. Pentingkan agama dahulu. Ajar mereka kenal Al-Quran. Ada duit yang banyak pun, kalau takde agama, tak guna juga..”.

Itu kata-kata daripada arwah ayah Kak Azrina di saat-saat akhir kehidupan ayah beliau di dunia. Pesanan itulah yang Kak Azrina sangat-sangat ingat.

Sedikit kisah mengenai arwah ayah Kak Azrina sebagaimana beliau menceritakannya kepada saya pagi tadi :

Arwah telah menghidap kencing manis selama lebih kurang 20 tahun dalam hidupnya. Dan selama itu, Arwah mengawal pemakanannya dengan baik , menggunakan caranya sendiri daripada memakan ubat-ubat pemberian doktor.

Tetapi apa yang telah tersurat sejak azali tiba jua. Ada ketuat kecil tumbuh di kaki. Arwah pun mencabutnya kerana ketuat itu sangat kecil. Tetapi lama-kelamaan kawasan itu bernanah dan luka yang terjadi semakin besar. Infection yang berlaku menyebabkan jantung juga mengalami masalah.

Arwah memang sejak dahulu sangat suka bercakap mengenai agama. Kalau bercakap sentiasa mengenai agama dan tak henti-henti.

Di saat kematian arwah, arwah seolah-olah dapat merasa bahawa ajalnya semakin dekat. Arwah berpuasa 3 bulan berturut-turut, Rejab, Syaaban, Ramadhan. Dalam keadaan yang kurang sihat, tambah pula di suatu hari, jatuh birthday cucu arwah, iaitu anak Kak Azrina yang bongsu, Sofea.

“Kenapa ayah puasa hari ni? Kan hari ni birthday Sofea.” Kak Azrina bertanya kepada ayah beliau kerana beliau mahu menyambut birthday Sofea pada hari itu dan mereka sekeluarga sememangnya sangat rapat.

Dan apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu tak perlu tahu kenapa ayah puasa. Ini urusan ayah dengan Allah”.

Semasa di hospital, arwah sedang tenat. Terpaksa memakai alat bantuan pernafasan sepanjang masa. Tetapi, kuasa Allah, dua tiga hari sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir, arwah sihat tiba-tiba dan dapat bercakap tak henti-henti seperti orang yang tidak menanggung sakit apa pun. Jadi, mereka sekeluarga sangat gembira dan menyangkakan arwah akan dapat pulang ke rumah tidak lama lagi.

Kak Azrina pun menyatakan nazar beliau, jika ayah beliau dah sihat dan dapat pulang ke rumah nanti, Kak Azrina mahu pakai tudung. Pada ketika itu, Kak Azrina masih belum memakai tudung.

Tapi apa yang arwah jawab?

Arwah berkata, “Kamu jangan berharap yang ayah akan pulang ke rumah lagi.”

Pada ketika arwah sihat tiba-tiba itulah, arwah menyampaikan banyak pesanan. Di antara pesanan arwah yang membuatkan air mata Kak Azrina mengalir saat beliau bercerita kepada saya ialah ayah beliau meminta untuk anak-anaknya membuatkan haji untuknya kerana arwah tidak sempat pergi haji.

Kak Azrina berkata, ketika ayah beliau masih ada, beliau tidak begitu ambil pusing akan apa yang ayah beliau kata. Dengar-dengar juga tapi tak begitu tersemat di hati. Tetapi kini, bila ayah beliau sudah tiada, beliau sangat merindui arwah dan sering teringat pesanan-pesanan arwah.

Perbualan kami pagi tadi, hampir-hampir membuatkan air mata saya juga mengalir, kalaulah saya tidak menahannya.

Saya sentuh tangan Kak Azrina, cuba menenangkan beliau dan berkata,

“Sungguh Kak, bila Allah ambil sesuatu daripada kita, Allah pasti akan berikan kita sesuatu yang lain pula, kadang-kadang sesuatu yang lebih besar. Sekarang akak pun lihat kan, akak dah dapat pakai tudung dengan konsisten. Kakak akak pun dah berubah, jadi muslimah pula tu.. =)”

Walaupun saya tak pernah berjumpa dengan ayah Kak Azrina,namun saya berasa arwah seorang yang hebat dan sangat beruntung kerana dapat merasai akan kehadiran ajalnya beberapa bulan sebelum itu dan dapat membuat persediaan yang terakhir. Arwah dapat meninggalkan banyak pesanan, nasihat dan wasiat buat mereka yang masih hidup. Arwah juga dapat berpuasa bagi memudahkan jenazahnya diuruskan kelak. Suatu rahmat yang tidak semua orang memperolehnya. Subhanallah..

Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan hamba-hambaMu yang soleh.

Terima kasih ya Allah kerana mengingatkanku kepada hari yang pasti itu.

Terima kasih Kak Azrina kerana berkongsi cerita dengan saya.

Kami bersalam dan saya memeluknya. Tanda kasih seorang adik kepada kakak. Mereka sekeluarga akan berangkat ke London dan mungkin juga ke Paris seminggu selepas raya. Sebulan lebih kami tidak akan bertemu dan pasti saya akan merindui mereka sekeluarga lebih-lebih lagi Sofea, Adhlina dan Adhlan.

Semoga selamat perjananan dan kembaramu di bumi Allah ini. Amin.

-Cahayahati88-

No comments: