Monday, August 15, 2011

Mencontohi Tawakal Ayah

Sebulan sekali saya mesti akan pulang. Seperti biasa, ayah akan menjemput saya di Stesen Bas Melaka Central. Boleh saja jika saya menaiki bas ‘ting tong’ yang akan berhenti di simpang tidak jauh dari rumah. Tapi saya lebih suka jika ayah menjemput saya terus di Melaka Central kerana lebih menjimatkan masa.

Kalau menaiki bas ‘ting tong’ mahu saja hampir 1 jam baru tiba di rumah sedangkan perjalanan sebenar hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja kalau menaiki kereta dengan syarat ayahlah yang bawa..huhu . Ayah memang pandu laju tapi cekap. Kami adik-beradik lebih rasa selamat berbanding kalau emak yang pandu. Namun emak tetap berani di hati kami ! =)

Di dalam kereta, ayah suka bercerita tentang apa yang telah berlaku. Selalunya ayah akan bercerita tentang hal-hal berkaitan keluarga kami, tentang perkembangan adik saya yang bongsu, Aiman, juga mengenai hal pekerjaan ayah.

Semasa zaman ayah budak-budak, datuk saya bukanlah orang senang. Tidak kaya tetapi tidaklah terlalu miskin. Ayah berhenti sekolah semasa di tingkatan satu dan pergi mengikut datuk dan paklong saya berdagang ke Negeri Sembilan. Mencari rezeki. Nenek dan adik-beradik ayah yang lain menjaga lembu di kampung. Walaupun ayah tidak berpelajaran tinggi, tidak masuk universiti dan tidak ada ijazah macam orang sekarang, tapi kami sekeluarga tetap cukup makan dan pakai hasil tulang empat kerat ayah bekerja.

Semasa saya dan kakak masih kecil, ayah bekerja mengambil upah membawa ‘bulldozer’ orang. Kami adik beradik memanggil benda itu ‘enjin bajak’..huhu. Ada orang memanggil benda itu ‘sodok’ kerana kerjanya asyik menyodok tanah. Daripada pengalaman bekerja makan gaji dengan orang, ayah memulakan perniagaan sendiri. Ayah membeli ‘bulldozer’ ayah sendiri melalui pinjaman bank.

Saya melihat banyak jatuh bangun ayah dalam perniagaan. Ayah pernah menanggung hutang yang mencecah puluhan ribu akibat sedikit kecuaian terhadap geran hak milik bulldozer yang ayah jual. Hutang tunggakan bayaran bulanan bulldozer kepada pihak bank dipalit kepada ayah oleh si pembeli yang tidak bertanggungjawab. Ayah terpaksa meninggalkan kami berhari-hari untuk menjejak kembali bulldozer tersebut di utara. Selepas susah payah turun naik bank, akhirnya masalah besar itu berjaya ayah selesaikan.

Suatu ketika akibat kemelesetan ekonomi negara, ayah bekerja mencari dan menjual besi-besi buruk. Tin-tin susu dan minuman kami kumpul untuk ayah jual. Ayah memang cekal dan berani menghadapi risiko.

Sekarang perniagaan ayah agak baik. Ayah sudah mempunyai lori kren yang jarang-jarang dipunyai oleh orang Melayu. Puas ayah cari tapi tiada satu pun orang Melayu yang ada lori kren seperti ayah di Melaka, yang ada kepunyaan orang Cina ataupun India. Ayah beli bulldozer secondhand, baiki mana yang rosak dan jual semula. Ayah beli mesin pembancuh simen dan forklift. Ayah jual semula forklift dan beli pula mesin pemecah batu. Pandai ayah bermain modal.

Saya kagum dengan sifat tawakal ayah. Dalam berniaga, ayah tidak akan mengambil duit muka dahulu walau satu sen pun. Katakan, ada orang meminta ayah untuk menghantar barang-barang menggunakan lori kren dari Melaka ke Shah Alam, selepas barang-barang selamat sampai dan diturunkan di Shah Alam, barulah ayah akan terima upah perkhidmatan sewa lori kren itu.

Begitu juga kalau ayah meratakan tanah orang menggunakan bulldozer, ayah akan mengambil bayaran hanya selepas kerja siap sempurna.

Pernah seorang customer berasa kagum dengan ayah. Rupa-rupanya customer tersebut ada ‘link’ dengan TNB . Dia memberitahu ayah yang selama ini dia menggunakan lori kren milik bangsa lain. Kadang-kadang dia tertipu. Duit muka sebanyak dua kali ganda telah dibayar, tapi lori yang ditunggu-tunggu untuk mengangkut barang masih tidak muncul. Dia terlihat iklan ayah di internet,jadi customer itu cuba-cuba untuk menggunakan perkhidmatan sewa lori kren ayah pula dengan harapan 'orang islam, moga-moga boleh dipercayai'.

Kebanyakkan tauke-tauke akan meminta dua kali ganda daripada bayaran sebenar. Selepas mesin dipulangkan barula duit muka itu akan dipulangkan.

Saya menduga ayah kenapa ayah tidak berbuat sebegitu. Tidakkah ayah takut jika ditipu?

Ayah menjawab, "Kalau ayah minta bayaran dahulu atau ambil duit muka dua kali ganda, akan bertambah beban kepada mereka yang tiada modal. Lain kali mereka tak nak sewa mesin atau lori ayah lagi. Ayah tawakal pada Allah, kita dah buat kerja. Kalau ada rezeki kita, Alhamdulillah, kalau katakan mereka nak tipu, berserah.."

Di dalam kereta, ayah bercerita mengenai customer itu. Mahu berlinang air mata saya pada sifat tawakal ayah dan limpahan rezeki Allah pada kami sekeluarga.

Ayah tawakal selepas berusaha bersungguh-sungguh, bukan tawakal yang tak tentu pasal. Terima kasih ayah. =)

Menggunakan lori inilah ayah mencari rezeki.

Antara salah satu mixer ayah.

Kenangan forklift ayah.

-Cahayahati88-

No comments: