Saturday, October 24, 2009

Ahli Politik yang Ikhlas

Selepas Nabi Muhammad dan empat orang sahabat karib baginda, iaitu Abu Bakar, Umar bin Khatab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abu Talib meninggal dunia, Umar bin Abdul Aziz adalah pemerintah yang mula-mula berusaha mengamalkan dasar-dasar pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda.

Walaupun beliau lahir sebagai putera kepada seorang raja yang kaya raya, sebaik-baik beliau menjadi pemimpin, beliau dan isterinya menyerahkan semua hartanya kepada perbendaharaan negara dan hidup sebagai seorang yang miskin.

Beliau juga mengarahkan supaya semua kaum keluarganya yang memiliki harta kekayaan yang diperoleh dengan cara-cara yang salah supaya menyerahkan harta-harta itu ke perbendaharaan negara. Akibatnya ramai yang membenci tindakannya itu dan akhirnya beliau dibunuh.

Umar bin Abdul Aziz adalah cicit kepada Umar bin Khatab. Semasa pertabalan beliau sebagai ketua negara menggantikan ayahnya, ramailah rakyat jelata berkunjung mengucapkan tahniah kepada beliau. Antara yang berkunjung adalah para utusan daripada seorang tokoh yang bernama Hijaj.

Seorang kanak-kanak yang berusia belasan tahun tampil menjadi jurucakap rombongan utusan Hijaj itu. Kanak-kanak itu cuba memulakan ucapannya tetapi ditahan Umar bin Abdul Aziz.

“Saudara duduk. Berikan peluang kepada orang yang lebih tua bercakap dahulu,” kata Umar tegas.

Sebelum duduk kanak-kanak itu sempat berkata, “Tuan, Tuhan menguatkan tuan dengan kelembutan hati dan lidah. Apabila Tuhan menjadikan lidah untuk bercakap dan hati bagi memelihara diri, maka saya berhak bercakap.”

Kemudian, dia meneruskan lagi, “Dan apabila yang dipersoalkan adalah usia, sudah tentu ada orang lain yang lebih layak menggantikan tuan sebagai pemimpin,” tegur kanak-kanak itu kepada Umar bin Abdul Aziz.
Umar terkejut mendengar kata kanak-kanak itu. Kata-katanya menyentuh jiwa Umar yang dididik dengan kerendahan diri dan kemuliaan. Lalu Umar membalas dengan gaya bersyair:

“Belajarlah
Sebab manusia itu tidak dilahirkan pandai,
Dan tidak sama orang berilmu dengan orang yang bodoh,
Seorang pembesar negara,
Apabila dia tidak berilmu,
Dia kecil
Di mata rakyatnya.”

Melalui kisah ini, kita dapat lihat bagaimana seorang yang masih kanak-kanak berani menegur seorang pembesar negara, dia yakin dengan apa yang diyakininya dan berani mengatakan hakikat kebenaran. Kanak-kanak yang sebeginilah yang bakal menjadi seorang remaja muslim dan pejuang agama yang kuat jati dirinya.

Melalui kisah ini juga kita dapat lihat kerendahan hati seorang pembesar negara. Seorang ahli politik yang mentadbir dengan ikhlas, akan dapat menerima suatu teguran dengan hati yang lapang tanpa sifat kesombongan. Kedudukan dan jawatan adalah suatu amanah bukan suatu anugerah. Politik dilihat sebagai suatu peluang untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Alangkah makmur dan berkatnya sesebuah negara jika ahli-ahli politiknya ikhlas dan benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat…

-Cahayahati88-

No comments: