Friday, October 30, 2009

Apa Khabar Mata Hati?

Ketika sedang menunggu bas selepas habis kuliah, saya terlihat seorang lelaki yang buta penglihatannya, berjalan berseorangan menggunakan tongkat. Kelihatan seperti dia akan menuju ke library. Sampai di suatu selekoh ada lori yang mahu lalu…bimbang juga kalau ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, mujur lelaki itu berhenti. Seakan dia tahu akan kehadiran lori tadi, tangannya menyentuh objek-objek yang berada dekat dengannya..tangan digunakan untuk merasa, telinga digunakan untuk mendengar..

Benarlah firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 46 :

“Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati).”

Walaupun matanya buta, dia masih mampu untuk berjalan berseorangan, dia masih ada semangat untuk belajar kerana hatinya celik akan kepentingan ilmu. Melihatkannya, ada satu rasa menyelinap ke dalam jiwa….

Kalau mata hati kita buta, kaki kita masih boleh berjalan tetapi hakikatnya kita lumpuh!! Orang yang celik mata hatinya, sedar tentang dari mana dia datang, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Dia mendapat matlamat yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dalam fikiran, jiwa dan emosinya ada perjuangan untuk memperbaiki diri. Jika kita sedar, dalam hidup ini akan sentiasa berlaku perubahan. Jika tidak menaik, kita pasti akan menurun. Usaha memperbaiki diri adalah suatu perjalanan, ia bukan suatu suratan.

Adakah kita mempunyai hati yang hidup? Apa khabar hati kita?

Dalam surah Al-Anfal, ayat 2 :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.”

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ketika mereka ditimpa waswas daripada syaitan, maka mereka akan segera mengingati Allah dan ketika itu juga mereka menyedari kesilapan mereka.” (Al-A’raaf : 201)

Pandangan mata hati yang hidup mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang celik mata hati bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah. Hamba Allah tak kan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menyatakan bahawa tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Mari kita berusaha celikkan mata hati… : )

Kerana Nabi kita telah bersabda :

“Allah tidak menilai rupa lahir kamu, tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.” (Riwayat Muslim)

-Cahayahati88-

No comments: