Friday, October 16, 2009

Final Exam


Final exam is just around the corner. Semakin hampir dengan final, semakin banyak pula assignment yang perlu disiapkan. Mulalah kerisauan dan kebimbangan datang bermain dalam diri.. Kadangkala merasakan masa tak cukup, seperti banyak lagi yang perlu diulangkaji dan difahami. Tapi itulah lumrah menjadi seorang pelajar, ujian demi ujian , peperiksaan demi peperiksaan silih berganti..

Teringat saya pada kata-kata ayahanda pengetua kolej kami, juga bekas pensyarah saya semasa di asasi sains dahulu. Ayahanda seorang yang ‘mesra rakyat’..pagi tadi beliau melambai kami yang sedang menunggu bas di hadapan kolej. Setiap butir bicaranya berisi nasihat dan pandangan yang berguna. Saya masih ingat lagi pada kata-kata ayahanda, lebih kurang begini, “Ujian yang sebenarnya bagi setiap mukmin adalah ujian menghadapi saat kematian.” Terima kasih ayahanda kerana mengingatkan.

Kita sibuk mempersiapkan diri dengan final exam yang kita tahu tarikhnya, dan seharusnya kita lebih lagi mempersiapkan diri untuk menghadapi ‘final exam’ yang kita tidak tahu bila ia akan tiba. Sekiranya berlaku emergency, mudah-mudahan kita telah bersedia untuk ‘final exam’ itu.

Pernahkah kita bayangkan bagaimana sakitnya sakaratulmaut? Kesakitannya adalah kesakitan yang luar biasa melebihi kesakitan seorang ibu ketika melahirkan, melebihi kesakitan di tetak 300 mata pedang yang berkilau tajam. Saat itu diri akan didatangi malaikat maut samaada dengan berwajah indah atau bengis. Pada saat itu juga, diri akan didatangi oleh segerombolan syaitan yang tujuannya hanya satu, untuk menukar akidah kita! Nauzubillah..sama-sama kita berlindung dengan Allah daripada ujian yang hebat itu.

Imam Syafie pernah berkata:

“Sesiapa yang mahukan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali, maka hendaklah juga dengan ilmu.”

Rasulullah pernah bersabda:

“Sesiapa yang merintis jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan untuk ke syurga.”

Dalam Al-quran pula, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“….dan Allah akan meninggikan orang yang beriman daripada kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat..” (Al-Mujadilah:11)

Subhanallah..sayangnya Allah pada kita semua. Allah telah memberikan kita motivasi melalui Al-quran untuk kita meraih ilmu sebanyak yang boleh. Dengan meraih ilmu, kita akan menjadi orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan ditinggikan Allah beberapa darjat.

Jadi, jangan tension-tension..tenangkan fikiran dan jadikan ayat itu sebagai motivasi untuk kita belajar dengan lebih rajin dan focus tanpa mengeluh dan berasa putus asa.. dan sebagai seorang Islam ada satu perkara yang perlu kita ingat, ada ‘final exam’ yang lebih penting sedang menunggu kita. Sama-sama kita mempersiapkan diri…

-Cahayahati88-

No comments: